RUAI BM: Refleksi Konvensyen Doa Methodist 2018: Buang masa bersama dengan Tuhan

with No Comments

Konvensyen Doa 2018 kali ini banyak menyegarkan jiwa dan roh saya khususnya tentang beberapa sudut pandangan yang sangat membuka minda dan selama ini tidak pernah terlintas di fikiran tentangnya.

Pengkhutbah Rev Dr. Thomas dengan penyampaiannya yang sederhana dan senang difahami tetapi sangat memberkati. Beberapa hal telah yang sangat memberkati dijadikan renungan bersama agar juga dapat menjadi inspirasi kepada yang lain:

Rev Dr. Thomas melalui khutbahnya yang pertama, beliau menekankan bahawa salah satu cara untuk membangunkan keintiman dengan Allah ialah membuang masa bersama dengan-Nya (Wasting time with God). Selama ini tidak pernah terlintas di fikiran bahawa berdoa dan membangunkan perhubungan yang intim dengan Tuhan itu juga boleh dipanggil membuang masa. Kita sentiasa diajar untuk meluangkan masa emas, mengambil waktu yang berharga bersama Tuhan. Kita juga memahami bahawa masa untuk Tuhan itu penting dan sangat bermanfaat. Selama ini frasa membuang masa atau menghabiskan masa hanya digunakan untuk melakukan sesuatu yang tidak berfaedah dan tidak mendatangkan manfaat. Contohnya, kita selalu membuang masa dengan permainan elektronik, menghabiskan masa melepak, atau melakukan sesuatu yang sia-sia. Tidak pernah terfikir bahawa untuk membangunkan perhubungan dengan Tuhan itu perlu membuang masa atau menghabiskan masa dengan-Nya. Dengan kata lain, membangunkan keintiman dengan Allah itu haruslah menghabiskan banyak masa bersama-Nya.

Selain itu, Rev Dr. Thomas juga menekankan bahawa untuk membina perhubungan yang intim dan dalam, salah satunya kita harus mengikuti-Nya. Yesus juga memanggil kita untuk mengikut-Nya. Beberapa perkara penting telah ditonjolkan tentang bagaimana mengikut. Beliau menekankan bahawa mengikut haruslah mempunyai momentum dan pergerakan (Momentum and Movement). Selain itu, mengikut juga haruslah menumpukan perhatian (attentive). Dengan kata lain, mengikut melibatkan seluruh peribadi dan harus dicerminkan melalui perbuatan, pemikiran dan kehidupan kita. Untuk mengikut Yesus kita harus percaya dengan iman melalui seluruh hidup kita. Mengikut juga bermaksud percaya.

Beliau merumuskan mengikut dengan 3 ayat yang sangat mudah difahami:
1) I am Yours (Aku milik-Mu)
2) I am with You (Aku bersama-Mu)
3) I trust You (I percaya kepada-Mu).

Walaupun ramai yang digelar pengikut Yesus ataupun Kristian tetapi hanya kulit sahaja. Nama sahaja Kristian dan pengikut Yesus tetapi perbuatan, pemikiran, percakapan dan penampilan adalah sebaliknya. Kita lebih cenderung mengikut dunia daripada mengikut Tuhan. Kita lebih percaya kepada semua benda-benda duniawi yang fana daripada mempercayai Tuhan yang kekal. Kita lebih percaya kepada wang, harta daripada Allah yang mencukupkan. Kita lebih percaya kepada pandangan mata kasar daripada memandang dengan mata rohani. Dan akhirnya, kita kecundang di tengah-tengah gelombang dan arus duniawi.

Rev. Dr. Thomas juga mengingatkan kita bahawa untuk mengikut Yesus harus mengambil perhatian kepada 3 perkara iaitu Bersatu dengan Yesus [Communion with Jesus]; Bersatu dengan Orang [Community with people]; Misi ke dunia [Mission to the world]. Sekiranya ketiga perkara ini kita perhatikan maka kita sudah dikatakan sedang mengikuti Yesus. Ketiga ini juga mencerminkan bahawa kita telah melaksanakan Perintah dan Amanah Agung Tuhan Yesus.

Oleh Bulan Yiong, Gereja Methodist Gloria, Bintulu