RUAI BM: Kasih-MU mengubah hidupku

with No Comments

Saya dilahirkan daripada keluarga denominasi Anglican. Sejak umur saya 4 tahun saya dijaga dan dibesarkan oleh datuk dan nenek saya. Sebab ibu saya ialah ibu tunggal semasa dia melahirkan saya. Sejak saya dilahirkan saya tidak pernah mengenali bapa saya yang sebenarnya mahupun tempat dia berada sekarang dan bangsanya kerana tiada sesiapa beritahu tentang peribadinya kepada saya.

Oleh sebab itu saya sering kali diganggu dengan perasaan ini “mengapa saya dilahirkan sebegini?” Persoalan ini telah menguasai dan mengikat kehidupan saya sekian lama sehingga saya tidak menghargai kehidupan saya. Akibatnya saya mulai terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang tidak berfaedah dengan membuang masa bersama dengan kawan-kawan yang tidak mengenali Tuhan.

Setelah 15 tahun berada di Miri, maka datuk dan nenek saya pun berpindah ke Kuching. Kami tinggal di kampung Desa Wira. Saya sangat menyayangi datuk dan nenek saya kerana merekalah yang telah membesarkan dan menjaga saya sehingga hari ini.

Namun begitu, hati saya tetap tidak ada kedamaian, saya sering kali merasa kekosongan dalam hidup saya. Oleh sebab itu, saya mula mencari sesuatu untuk memenuhi hati saya. Saya juga berfikir mungkin perasaan ini timbul kerana saya kekurangan kasih sayang daripada seorang bapa.

Oleh sebab anugerah Tuhan, saya menemui apa yang saya inginkan dalam kehidupan saya secara peribadi. Tuhan membawa saya ke Kuching sebab Dia ada rancangan yang sangat indah untuk hidup saya. Saya bersekolah di SMK Batu Kawa. Di sekolah ini, saya dipertemukan dengan pelajar-pelajar Kristian yang sangat giat dalam persekutuan ISCF. Mereka menjemput saya untuk ikut serta dalam perjumpaan mereka. Mula-mula saya tidak mahu tetapi setelah itu saya pun pergi bersama-sama dengan mereka sebab saya tidak tahu perkara yang harus saya lakukan untuk hidup saya.

Saya mula mengikut persekutuan ISCF, dan belajar Alkitab. Saya mengalami hal-hal yang baharu untuk hidup saya, sehingga semuanya mengubah kehidupan saya dan akhirnya membawa saya melayani di Gereja Methodist City Mall sejak 2017. Selama ini, hati saya sangat rindu untuk melayani Tuhan terutamanya dalam muzik. Melalui pelayanan ini saya dapat merasakan kasih dan hadirat Tuhan. Selain itu, saya juga boleh bergaul dengan Tuhan secara peribadi.

Kerinduan saya hari ini adalah untuk terus melayani Tuhan seumur hidup saya sebab dalam Tuhan saya dapat merasakan hidup ini bererti dan berharga.

Oleh Gregory Dunggie, 
City Mall Methodist Preaching Point, Kuching