Saya berasal dari Roban. Mula-mula saya mengenali Tuhan Yesus semasa saya di sekolah menengah. Kawan-kawan saya yang memperkenalkan Tuhan Yesus kepada saya. Selepas saya habis sekolah, saya mula bekerja. Disebabkan ada kerja pada hari Ahad maka saya tidak dapat menghadiri kebaktian di gereja. Masa itu, saya sangat jauh dengan Tuhan tetapi selepas beberapa tahun kemudian, saya kembali lagi kepada Tuhan.
Ketika itu saya masih tinggal di kampung saya, saya menjadi jemaah di Gereja Good News di Saratok. Pada masa itu juga, satu peristiwa telah berlaku menyebabkan saya sangat bersyukur dan bersukacita adalah bapa dan ibu saya mahu menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat mereka.
Pada akhir tahun 2015, saya dan anak-anak saya memilih untuk tinggal di Sibu kerana ketika itu saya mengalami sakit yang kritikal sehingga menyebabkan saya tidak dapat berjalan dan saya sering ulang-alik untuk berjumpa dengan doktor di hospital Sibu. Sekali lagi saya mencari-cari Tuhan. Saya sangat bersukacita kerana anak kakak saya memperkenalkan Gereja Xin Fu Yuan kepada kami. Pada masa yang sama juga, jemaah pelayanan BM berserta dengan pendetanya selalu datang melawat saya dan berkongsikan tentang kasih Tuhan kepada saya. Saya juga selalu berdoa dan saya percaya bahawa saya boleh disembuhkan oleh Yesus, Juruselamat saya dan dalam janji-Nya kemenangan bagi saya. Berkat dari kepercayaan saya kepada Yesus, besar kasih-Nya dalam hidupku dan Tuhan telah melakukan mukjizat kesembuhan dari penyakit serta saya dapat berjalan seperti biasa.
Mulai hari itu sehinggalah sekarang saya dan anak-anak beribadah dan melayani dalam Pelayanan BM di Gereja Xin Fu Yuan. Saudara-saudari, kita jangan menjauhkan diri daripada Tuhan, tanpa Dia hidup kita sia-sia.
Oleh Selina Anak Leng,
Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu