Shalom kepada gembala serta saudara-saudari yang saya kasihi di dalam Kristus. Sebelum itu saya ingin menperkenalkan keluarga saya. Saya seorang ibu tunggal yang mempunyai 5 orang anak, suami saya sudah meninggal dunia. Seorang anak saya sudah berkahwin, 2 orang sudah bekerja dan 2 orang masih bersekolah . Saya juga melayani di Pusat Khidmat Kasih Methodist, Bintulu. Kadang-kadang saya juga berniaga kecil-kecilan iaitu menjual sayur dan sebagainya. Terima kasih kerana memberikan peluang ini untuk saya melayani dan juga bersaksi tentang kehidupan saya.
Sejak dari sekolah menengah, saya sudah percaya Tuhan Yesus. Saya juga percaya bahawa Tuhan akan menjaga dan memberkati hidup saya. Saya berasa aman dalam pegangan tangan Tuhan.
Anak saya banyak mengajar saya tentang iman kepada Tuhan Yesus Saya begitu kagum dengan iman anak saya, Bryan. Walaupun kami serba kekurangan, dia tetap beriman kepada Tuhan. Melalui dia, saya berasa kasih Tuhan itu adalah kasih sejati. Oleh itu saya juga ingin mencari kedamaian itu, saya ingin hidup saya dipimpin oleh kuasa Tuhan. Anak saya yang membawa saya untuk mengalami Tuhan dan disembuhkan dari kepahitan masa-masa silam.
Demikianlah hari demi hari saya mula mendekati Tuhan lalu mengikut pelayanan di gereja. Saya merasakan keluarga besar pelayanan BM ini sungguh luar biasa. Saya mulai bertumbuh dan disembuhkan serta dipulihkan, malah juga diberkati dan mendapat pelepasan daripada kepahitan hidup. Yesus membuat saya berharga dimata-Nya. Tanpa dijangka, saya semakin rindu untuk membawa jiwa kepada Tuhan dan semakin mahu melayani-Nya. Saya semakin cinta Yesus dan saya membuat keputusan menyerahkan seluruh kepercayaan saya kepada-Nya.
Saya juga percaya bahawa anak saya menjadi alat Tuhan untuk menyatakan kasih Allah yang nyata dalam hidup saya. Dahulu, saya pernah melalui masa-masa dalam kegelapan. Saya pernah mabuk setiap hari, membiarkan anak-anak saya tanpa dijaga bukan sebab apa kerana tertekan sejak suami saya meninggal. Pada masa itu saya berasa kesendirian, hilang haluan, sepertinya hilang segala-segalanya, hanya anak-anak sahajalah kekuatan saya. Tetapi sekarang hidup saya sudah jauh berbeza . Tuhan bagaikan cahaya bagiku. Sejak Yesus muncul sebagai penyelamat hidup saya, saya dipulihkan dan dilepaskan. Sekarang jauh dilubuk hati saya ingin menginjil kepada lebih ramai lagi jiwa bersama seluruh ahli keluarga saya.
Akhir sekali, semoga perkongsian saya memberkati semua, bukan hanya mendengar malah anda juga mengalaminya bersama-sama saya. Mungkin yang pernah anda alami selama ini lebih hebat atau lebih teruk daripada saya. Tetapi pernahkah anda mencari Tuhan, percaya dan menanti anugerah–Nya serta ingin diberkati? Mungkin anda menganggap bahawa Tuhan adalah kecil, tetapi bagi saya pekerjaan Tuhan itu hebat dalam diri saya.
Mahukah anda dibentuk dan diubah? Seperti bejana yang indah, melewati proses. Masalah hidup memang tidak akan habis, tapi kasih karunia damai sejahtera Allah jauh lebih membahagiakan hidup kita semua.
Petuanya ialah:
Pertama: Tetap berdoa dan percaya walaupun tidak mengerti
Kedua: Taat kepada perintah Tuhan ketika mengalami kesulitan
Ketiga: Serahkan hidup sepenuhnya kepada Tuhan