Saya beragama kristian selama 15 tahun, tetapi saya tidak pernah membaca alkitab. Saya hanya tahu alkitab adalah penting dan mesti di bawa ke gereja setiap hari minggu. Masalah saya terbesar adalah tidak pandai membaca dan menulis ayat cina. Pada tahun lepas, saya mencubai untuk menyertai “menjawab soalan alkitab” di bahagian gereja cina selama setengah tahun, tetapi selama saya menyertainya, saya tertanya-tanya pada diri sendiri, adakah saya faham apa yang saya pelajari atau memahaminya untuk “menjawab soalan alkitab”?
Pada satu malam, saya merenung pada alkitab, saya tertanya-tanya pada diri sendiri, pernahkah saya memahami ajaran Tuhan? Pernahkah saya membacanya? Pernahkah saya menghargainya? Dan adakah alkitab itu penting untuk kehidupan saya ini sebagai seorang Kristian? Pada saat itulah, hati saya berasa bersalah kerana selama 15 tahun ini, saya tidak pernah menghargai ajaran Tuhan yang telah di tulis dalam alkitab.
Pada keesokan hari, saya mencari Pastor Roslind dan memberitahunya bahawa saya mahu menyertai kelas pemuridan pada tahun ini. Tidak sampai seminggu, kelas pemuridan sudah dimulakan. Pada hari pertama, saya berasa amat gementar dan saya juga berdoa kepada Tuhan, supaya saya dapat mempelajari semua ajarannya dalam alkitab dan juga pimpinlah saya pada saat saya membuat kerja rumah ataupun dalam pemuridan.
Pada hari pertama di kelas pemuridan, saya mempelajari perjanjian lama yang bermula dari “Firman Tuhan” dan tujuannya bagi semua murid adalah membina murid–murid Yesus Kritus untuk mengenali dan mengasihi firman Yesus.
Bermula dari bab inilah, memberikan saya banyak persoalan dan juga banyak menarik perhatian saya untuk mempelajarinya sehinggalah sekarang.
Pemuridan juga memberikan saya banyak bantuan untuk menjawab soalan yang saya tidak pandai. Dalam ajaran alkitab, saya banyak menjumpai kekejaman, perselisihan, kesedihan, kasih sayang, pertobatan dan sebagainya.
Selama ini, dalam pemikiran saya hanya tahu bahawa Tuhan mengajar kebaikan, kasih sayang, dan sebagainya. Tetapi semakin lama saya mempelajari, baru saya faham bahawa alkitab juga mengatakan kekejaman dan juga pembunuhan. Saya juga mempelajari ciptaan Tuhan di dunia ini, seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, air, udara, tanah dan sebagainya. Tetapi manusia yang dicipta Tuhan tidak pernah menghargai segala ciptaan sehingga kita membunuh, membakar dan menghancurkan segala ciptaan-Nya. Saya tertanya-tanya, bilakah semua manusia seperti kita akan menghargai setiap penciptaan-Nya? Setiap kali saya tertanya-tanya, jikalaulah perkara yang sekecil seperti ini pun tidak dapat kita hargai apatah lagi kepercayaan kita kepadanya.
Tuhan menyayangi kita sepertimana dia menyayangi Yesus Kritus, tetapi kita tidak menghargainya dan selalu membuat kesalahan yang tidak dikehendakinya. Berdoa kita selalu bertaubat kerana kesalahan yang telah kita lakukan, berjanji kepada-Nya untuk mengikuti perintah-Nya, mengikut ajaran-Nya supaya kita dapat menjadi seorang murid yang berguna dan dapat menjadi hamba-Nya.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuhan Bapa kita kerana Dia memberikan saya satu peluang lagi untuk mempelajari ajaran-Nya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru pemuridan iaitu Pastor Roslind, Lovinna dan Patricia kerana sudi mengajar saya di kelas pemuridan. Semoga Tuhan akan memberkati kami semua yang sedang mempelajari pemuridan sehingga kami tamat dalam pengajaran-Nya.