RUAI BM: Cuti Sekolah berhiaskan dengan Kelas Alkitab

with No Comments

Kelas Alkitab semasa cuti sekolah untuk muda-mudi sangat berfaedah bagi pertumbuhan kerohanian mereka secara peribadi. Pada cuti sekolah baru-baru ini, selama seminggu, Muda-mudi pelayanan BM City Mall telah merancangkan agar masa cuti sekolah kali ini akan diadakan penyelidikan Alkitab selama 4 hari dari pukul 2-5 petang. Setelah 4 hari belajar kelas Alkitab, pemuda-pemudi akan mengadakan program outing ke gunung Singai. Anak-anak muda akan didedahkan dengan 14 perhentian jalan salib, yang ada di sepanjang perjalanan ke puncak gunung Singai.

Kelas Alkitab semasa cuti telah menarik seramai 17 orang muda-mudi, program kelas telah dimulakan setiap petang dengan diajar oleh 4 orang pengajar iaitu Pr Patrick, Dr Wong KK, Cikgu Susan Chow dan Dr Ling. Dengan adanya tenaga pengajar yang mencukupi, maka semua program dapat diselesaikan dengan baik. Pengajar-pengajar yang terlibat juga sangat bersemangat untuk membentuk kerohanian para muda-mudi. Setelah program kelas Alkitab selesai selama 4 hari, semua anak-anak muda tidak sabar untuk pergi ke gunung singai bagi program yang terakhir. Program mendaki gunung singai dimulakan dari awal pagi lagi, kira-kira pukul 7:30 pagi. Rombongan pemuda-pemudi yang mendaki gunung singai ini dipimpin oleh Dr Wong KK.

Program mendaki gunung singai juga banyak membuka mata rohani para pemuda-pemudi tentang 14 perhentian jalan salib. Mereka berapi-api menceritakan pengalaman mereka dari kelas Alkitab dan 14 perhentian jalan salib, sehingga mereka tidak sabar untuk menantikan kelas Alkitab semasa cuti yang akan diadakan pada bulan Ogos nanti. Program ini telah memberikan mereka pengalaman yang baharu, kerana para muda-mudi didedah dengan perkara yang baharu iaitu pengertian 14 perhentian jalan salib secara praktikal dan bukan teori.

Setelah mendaki gunung singai para muda-mudi dibawa terus ke rumah Dr Lee Nyati bagi mengucap syukur atas pencapaian pemuda-pemudi yang telah menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Semua pemuda-pemudi yang mengikuti kelas Alkitab dan outing ke gunung Singai dijamu dengan makan malam bersama-sama. Semasa makan malam, Dr Lee Nyanti menyampaikan kata dorongan kepada muda-mudi untuk mengambil serius terhadap Tuhan dalam hidup mereka dan juga pendidikan mereka.

Acara kelas Alkitab semasa cuti berakhir kira-kira pukul 10 malam. Semua pemuda-pemudi sangat bersyukur kepada Tuhan atas segala yang dilakukan oleh Tuhan sepanjang program kelas Alkitab semasa cuti. Secara umumnya, kita boleh melihat perubahan secara rohani dalam kehidupan mereka, sebab Tuhan telah menyentuhkan hati mereka dengan kebenaran-Nya (Yohanes 8:32 “…dan kamu akan mengetahui kebenaran dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu) dengan mengenal kebenaran itu dalam hidup mereka maka mereka dapat menikmati waktu yang indah dalam hidup ini. Anak-anak muda memerlukan aktiviti yang sihat seperti ini semasa cuti sekolah. Agar mereka tidak membazirkan waktu mereka dengan hal-hal yang tidak berfaedah.

Oleh Pastor Patrick Taie
Gereja Methodist Trinity, Kuching