Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya peluang untuk mengkongsikan kesaksian sebelum dan selepas saya mengenal Tuhan Yesus, dan kehidupan saya selepas menjadi seorang Kristian.
Ada 2 perkara yang berlaku kepada diri saya sebelum saya menjadi seorang kristian. Yang pertama saya tidak mengenali diri saya. Saya hanya tahu bahawa saya adalah anak kepada ibu bapa saya, iaitu sebagai anak yang harus mendengar dan menurut kehendak ibu bapa.
Yang kedua, saya tidak mempunyai tujuan hidup. Ketika saya masih darjah, saya selalu ditanyakan mengenai cita-cita saya apabila saya sudah besar nanti. Pada masa yang sama juga ketika rakan saya ditanyakan soalan yang sama, rakan saya menjawab bahawa dia mahu menjadi seorang ahli bomba. Saya pun tidak ragu-ragu untuk menggunakan jawapan yang sama iaitu “Saya pun mahu menjadi ahli bomba apabila saya sudah dewasa nanti.”
Saya mula datang ke gereja Xin Fu Yuan ketika saya darjah 4 iaitu tahun 2005. Pada masa itu, saya masih kecil dan masih mengikuti sekolah minggu. Pada usia sebegini, saya masih belum mengenal siapakah Tuhan Yesus dan siapakah Dia bagi manusia? Saya hanya ikut dan belajar begitu sahaja tanpa mengenal Tuhan Yesus.
ketika saya berumur 14 tahun iaitu tahun 2009, saya terus datang ke gereja dan menyertai ibadah dan setiap persekutuan yang ada di gereja dalam pelayanan BM. Saya semakin mengenal dan mula tahu Tuhan Yesus dan tujuan Dia hadir dalam hidup saya. Saya juga sudah mendapat cita-cita.
Tahun 2010, saya dibaptiskan dan menyerahkan hidup saya kepada Tuhan sepenuhnya. Saya mula melayani di gereja dan sangat suka datang ke gereja. Hal ini kerana ketika saya berada di gereja saya akan berasa tenang.
Namun, keinginan saya datang ke gereja hanya sampai tahap ini sahaja, saya mula menjauhkan diri daripada Tuhan kerana saya merasa sudah cukuplah saat saya datang kepada Tuhan.
Saya mula meninggalkan Tuhan ketika saya berumur 16 tahun, saya menghadapi pelbagai pergumulan; yang pertama saya berhenti sekolah. Saya merasakan bahawa saya sudah tidak memerlukan Tuhan lagi kerana saya sudah mendapatkan apa yang saya perlu untuk hidup, iaitu saya sudah tahu sebab saya perlu hidup, iaitu untuk menerima dan percaya kepada Yesus; yang kedua saya sudah mendapat cita-cita saya. Jadi saya tidak memerlukan Tuhan lagi.
Saya pun mula tidak datang ke gereja, saya juga tidak pergi ke sekolah. Apa yang saya buat? Saya tidak bekerja, saya pergi berfoya-foya dan menggunakan masa muda saya untuk melakukan hal yang tidak berfaedah.
Selama 1 tahun saya meninggalkan Tuhan, saya sedar akan kesalahan yang saya lakukan tetapi saya tetap lakukan sehingga suatu hari saya mendapat tahu pastor yang melayani di gereja ketika itu sudah bertukar, seorang jemaat menghubungi saya dan menjemput saya kembali ke gereja dan dia menyatakan hasratnya untuk melawat saya ke rumah dan membawa pastor yang baru melayani di gereja. Saya tidak menolak hasrat mereka itu, sehingga mereka datang dan ingin membawa saya kembali ke gereja semula.
Tanpa berfikir panjang, saya pun mula kembali ke gereja. Dan kebetulan pada ketika itu saya memang tidak bekerja, saya bersyukur kerana pastor menjemput saya untuk bekerja di gereja; ketika itu saya berumur 17 tahun. Pada tahun itu juga, saya memulihkan jiwa saya yang sudah jauh daripada Tuhan dan membaiki hubungan saya dengan Tuhan lagi. Tuhan tetap mengampuni saya sehingga saya diterima kembali untuk menghadap-Nya.
Pada tahun 2012, saya menyerahkan diri saya kepada Tuhan selepas setahun dipulihkan, saya menerima peneguhan jemaat. Saya mula melayani sehingga sekarang, saya menghadapi pelbagai cubaan dan menempuhinya dengan kasih Tuhan. Tuhan mengubah hati saya menjadi yang baru dan mahu saya tetap setia kepada-Nya. Saya mahu berlari mencapai tujuan saya iaitu menjadi pengikut-Nya yang setia sampai akhir, melupakan segala yang di belakang. Saya juga mengambil teladan dari Paulus bahawa saya mahu hidup untuk Kristus.