RUAI BM: Pelayanan BM Gereja Mei Ann Di Ulu Belaga

with No Comments

Pelayanan Misi Jangka Pendek (MJP) di Long Menapa

Sejarah: Pelayanan tersebut bermula sejak tahun 2009. Mula-mula Gereja Mei Ann mengadakan pelayanan di rumah panjang Long Menapa (Satu blok sahaja) di Ulu Belaga, kira-kira 313 km dari Miri. Gereja Mei Ann telah menubuhkan sebuah komiti yang terdiri daripada Steven Lee Su Kong (Penasihat), Lau Ka Ling (Pengerusi), James Wong Teck Yong (naib pengerusi), dan AJK yang terdiri daripada ahli-ahli kumpulan penginjilan persekutuan masing-masing. Masa MJP ialah 2 hari 1 malam. Dalam setahun rombongan MJP ke situ sebanyak 3-4 kali dan kemudiannya 5 kali dalam tahun 2016.

Pemindahan: Pada bulan November 2013, petempatan orang Penan di alamat tersebut terpaksa berpindah ke Metalun atas sebab pembinaan Empangan Murum. Alamat yang baru sejauh 355 km dari Miri. Di situ terdapat 5 blok rumah panjang (A,B,C,D,E)yang berjumlah 42 pintu (setiap blok ada 8 pintu kecuali blok B ada 10 pintu ). Di petempatan baru terdapat sebuah balai serbaguna, sebuah rumah penginapan MJP, sebuah sekolah rendah, bekalan elektrik dan air. Oleh kerana jaraknya lebih jauh, komiti pun melanjutkan MJP ke 3 hari 2 malam. Pada tahun 2017 Komiti bercadang mengadakan MJP ke situ sebanyak 6 kali, iaitu 2 bulan sekali.

Pemasangan Salib: Pada 8hb Mac 2014, bumbung balai serbaguna telah dipasang salib manakala ruang ibadah juga dipasang dengan sebuah salib atas doa berkat Rev. Eric Hii Wen Haur pada keesokan harinya.

Jumlah penduduk di Long Menapa (mengikut statistik yang dibuat pada tahun 2016) ialah 212 orang (101 orang lelaki dan 111 orang perempuan). Di antaranya 116 orang telah dibaptis. Baptis dewasa dan baptis kecil masing-masing ada 98 dan 8 orang, manakala 10 orang lagi yang dibaptis kurang maklumat.

Pelayanan yang dijalankan di Long Menapa termasuk memberi khutbah pada hari kebaktian, lawatan ke setiap pintu, memberi doa untuk mereka yang perlu didoakan, sekolah minggu untuk kanak-kanak, membuat pelayanan wanita iaitu mengadakan kelas belajar membuat kuih-muih, mengadakan persekutuan orang dewasa, mengadakan kenduri semasa Hari Natal, memberi rawatan kepada pesakit, gotong-royong dan sebagainya.

Pelayanan Misi Jangka Pendek (MJP) di Long Luar

Sejarah: Pada 13-15 Ogos 2016, Gereja Mei Ann mula mengadakan MJP ke Long Luar juga. Jarak Long Luar dari Long Menapa kira-kira 3.5 km.Di situ terdapat 6 blok rumah panjang (Blok A, B, C, D, E, F). Pastor Ladeq telah mula berkhutbah di situ pada 14 Ogos 2016. Kehadiran pada hari Kebaktian adalah kira-kira 63 orang. Ketua sembahyang Long Luar bernama Azam.

Menubuhkan AJK Pemimpin: Pastor Ladeq telah menubuhkan komiti AJK Pemimpin Gereja , AJK wanita, AJK muda-mudi, AJK sekolah minggu di Long Menapa dan Long Luar. Jumlah pemimpin di kedua-dua kampung tersebut sebanyak 52 orang. Pastor Ladeq memberi latihan kepada para pemimpin pada setiap MJP mulai Ogos 2016.

Visi pemimpin: Para pemimpin telah bersetuju untuk memulakan persekutuan doa pada bulan Mac 2017 di kampung masing-masing. Walaupun kehadiran tidak memuaskan, namun mereka akan tetap akan teruskan pelayanan tersebut. Mereka juga bercadang mengadakan sekolah minggu.

Pelayanan sekolah minggu di Long Luar: MJP mula mengadakan sekolah minggu di Long Luar pada 23 April 2017. Kira-kira 41 orang kanak-kanak telah hadir.

Pemasangan salib di Long Luar diadakan pada 23 April 2017 atas permintaan Ketua Sembahyang, Azam dan penduduk kampung.

Pembukaan Pusat Pembelajaran di Long Menapa dan Long Luar

Sejarah: Pada 13 Ogos 2016, satu perjumpaan dengan pemimpin di Long Menapa telah diadakan. Pada 14 Ogos 2016, satu mesyuarat telah diadakan dengan pemimpin dari Long Menapa dan Long Luar. Kehadiran seramai 50 orang pemimpin termasuk ketua rumah kampung masing-masing iaitu Lian Buek dan Madai .

Syarat pembukaan Pusat Pembelajaran:
1. Persetujuan para pemimpin untuk membuka sebuah pusat pembelajaran di kampung masing-masing.
2. Perlu bekerjasama dengan guru-guru dari Tadika KEMAS (mengajar kanak-kanak yang berumur 6 tahun).
3. Para pemimpin perlu menyediakan bilik darjah.
4. Semua penduduk kampung perlu memberi kerjasama kepada guru yang dipilih dari kampung mereka.(Masing-masing ada 2 orang guru yang dipilih)
5. Pastor Ladeq akan bertanggungjawab untuk melatih guru-guru tersebut supaya mereka boleh mendidik kanak-kanak dalam lingkungan umur 3 hingga 5 tahun dari segi rohani dan kurikulum.

Langkah-langkah untuk membuka pusat pembelajaran:
1. Kurikulum: Kanak-kanak yang berumur 3 tahun akan diajar dengan Bahasa Penan, kanak-kanak yang berumur 4 tahun akan diajar dengan Bahasa Penan dan Bahasa Malaysia manakala kanak-kanak yang berumur 5 tahun akan diajar dengan Bahasa Penan, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Pelajaran alkitab juga diajar setiap hari.

2. Latihan guru-guru: Mereka akan mendapat sijil selepas latihan selama setahun pada cuti sekolah.

3. Sistem penggajian: Guru-guru akan memperolehi subsidi semasa latihan.Mereka juga akan diberi tambang pengangkutan, penginapan dan makanan semasa latihan di Miri. Gaji (RM400 sebulan) akan ditambah secara berperingkat.

4. Infrastruktur: Gereja Mei Ann akan berusaha sedaya upaya untuk memberi alatan pengajaran. Para pemimpin perlu memberi kerjasama seperti menyediakan bilik darjah (mengecat dinding), menjaga kebersihan bilik darjah dan tandas.

Ibu bapa harus memberi dorongan kepada anak-anak mereka agar pembelajaran mereka tidak terbantut. Orang tua Penan juga boleh dipelawa untuk bercerita tentang identiti kaum mereka kepada kanak-kanak agar mereka tidak terasa tersisih pada zaman moden ini.

5.Guru-guru yang dipilih pada Ogos 2016:
•Long Menapa: Lian Mai, Pollin (sepasang suami isteri); Long Luar: Moryen, Urai (sepasang adik-beradik)

• Penduduk diseru agar bekerjasama dengan guru-guru tersebut di samping memberi dorongan dan galakan kepada mereka. Guru-guru tersebut perlu mempersiapkan diri untuk menerima ajaran, teguran dan terus maju dalam cita-cita untuk kemuliaan Tuhan.

• Nama pusat pembelajaran: Pusat Pembelajaran Long Menapa dan Pusat Pembelajaran Long Luar.

• Tarikh pembukaan pusat pembelajaran: September 2016. Guru-guru diberi latihan lagi pada cuti sekolah. Jika semua urusan berjalan dengan lancar, maka pusat pembelajaran tersebut akan beroperasi pada 2017.

• Murid-murid dan guru-guru di Pusat Pembelajaran telah diberi pakaian seragam pada 25 Februari 2017.

• Setakat April 2017, kemudahan yang disediakan oleh Gereja Mei Ann untuk dua Pusat masing-masing ialah: 10 buah meja murid, 20 buah kerusi murid, sekeping papan putih, sebuah almari kecil, sebuah almari besar, sebuah meja guru, 2 buah rak alat permainan, buku-buku bacaan untuk sudut bacaan (diderma oleh Tadika Methodist Krokop, Miri), alat-alat pembersihan tandas, penyapu, alas kaki dan tong sampah. Lantai pusat-pusat telah dibentangkan dengan alas lantai. Bahan-bahan lain yang disediakan termasuk buku-buku aktiviti murid-murid dan sebagainya.

• Pada 24 April 2017, jumlah kehadiran murid-murid di Pusat Pembelajaran Long Menapa dan Long Luar masing-masing ada 16 dan 10 orang.

• Pastor dan wakil-wakil dari MJP akan melawat ke pusat-pusat tersebut pada setiap kali MJP untuk membuat penilaian para guru dan murid-murid. Mereka juga akan membawa makanan (biskut, susu dan Milo) untuk waktu rehat persekolahan. Guru-guru akan diberi gaji dan alatan pengajaran yang diperlukan.

/ Wong Chew Hoon
Gereja Methodist Mei Ann, Miri