RUAI BM: Refleksi Forum Pelayanan BM ke-6

with No Comments

Bukan Dari
Segi Kewangan

Segala puji dan syukur kembali kepada Tuhan, kerana berkat dan pimpinan-Nya bagi saya untuk menyertai Forum Pelayanan BM ke-6 di Gereja Methodist Mei Ann, Miri.

Inilah kali pertama saya mengikuti Forum Pelayanan BM. Dalam forum ini, saya dapat berjumpa dengan teman sepelayan dan Jemaah dari gereja-gereja yang lain seperti dari Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu. Sepanjang masa berlangsungnya forum ini, saya sungguh diberkati melalui puji penyembahan, doa, kebenaran Firman Tuhan, dan bengkel-bengkel.

Tahun ini setiap peserta forum digalakkan untuk menghadiri dua jenis bengkel yang berbeza. Dan saya mengambil bengkel Penyembahan dan bengkel Kebajikan.

Kami diajar erti penyembahan, sikap dan cara penyembahan yang benar. Kita harus menyembah dalam Roh dan Kebenaran sebab penyembah yang sedemikianlah yang berkenan kepada Allah.

Bengkel Kebajikan mengajar kami cara menolong sesama insan dengan keikhlasan hati bukan dengan paksaan. Kita hendaklah menolong sesama insan tanpa mengira suku, kaum, bangsa dan agama. Menolong sesama insan dalam kebajikan sebagai anak Tuhan bukan sekadar menolong dari segi kewangan atau kebendaan, tetapi sebaliknya kita hendaklah menggunakan masa sebaik mungkin untuk melawat mereka, berkongsi Firman Tuhan, berdoa untuk keperluan atau masalah yang dihadapi oleh mereka, yakinkan mereka bahawa Tuhan Yesus akan campur tangan dalam pelbagai cubaan atau pergumulan mereka. Sebab Allah yang kita sembah adalah Allah yang menyediakan. Dengan kata lain Allah adalah sumber segalanya. Amin.
Andi Pasulu
Pelayanan BM Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu

Keberanian
Muda-mudi

Bagi saya, terdapat 2 perkara yang menyentuh hati saya, iaitu:
1) keberanian muda-mudi pribumi kami: pada saat kami bertolak dari Sibu ke Miri untuk menghadiri Forum Pelayanan BM. Walaupun dalam bas itu ada orang lain (termasuk yang bukan Kristian) bersama kami, muda-mudi kami berani memulakan doa permulaan untuk menerima berkat perlindungan Tuhan. Hai ini adalah satu saksi kepercayaan yang sangat tersentuh kerana mereka tidak berasa malu untuk berdoa di depan khalayak orang. Tahniah! Puji Tuhan!

2) perkara kedua adalah semasa pelawatan kami ke MEC (Malaysia Evangelical College), saya ternampak bilik Kanak-kanak yang disediakan oleh mereka untuk budak pra sangat lengkap dan penuh kasih, itu akan menghasilkan satu suasana yang mesra untuk memupuk minat kanak-kanak pra agar mereka (belum tahu tulis dan baca) suka datang ke Sekolah Minggu tiap-tiap minggu. Bilik tersebut penuh dengan patung-patung yang comel, permainan kecil dan buku rohani budak yang berwarna-warni. Puji Tuhan. Ini adalah seperti yang tersurat dalam Al KitabSuci~ Matius 25:40 (AVB) Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.’ Puji Tuhan kerana Cikgu Luna ada keinginan untuk mengadakan bilik sebegini pada masa akan datang di gereja kami.
Lim kui kee
Pelayanan BM Gereja Methodist Xin
Fu Yuan, Sibu

Berani Menabur Benih Di Sekolah

1) Bagaimanakah Tuhan berkata kepada anda melalui tema mesej?
Tema bagi Forum BM kali ini ialah “Lintas Budaya Dalam Kepelbagaian Dan Keseragaman“. Pada mulanya saya tidak memahami tujuan sebenarnya Forum BM ini diadakan, memandangkan ini adalah kali pertama saya mengikutinya. Melalui mesej yang disampaikan, saya kemudian memahami bahawa penganjuran forum ini adalah untuk memberi kesedaran kepada jemaah Cina yang menjalankan pelayanan dalam kalangan suku kaum bumiputera. Pada masa yang sama, sesuai dengan Amanat Agung dalam Injil Matius 28:19-20, saya juga mempunyai kesedaran akan kepentingan saya sebagai gembala untuk menjadikan bangsa-bangsa lain (termasuk orang Cina), dengan cara menjangkaui mereka melalui perhubungan, bekerjasama dan berkomunikasi.

Mungkin salah satu cabaran untuk melayani suku kaum berbeza ialah bahasa. Hal inilah cabaran bagi jemaah Cina terutama hamba Tuhan dalam gereja Methodist yang mempunyai hati yang mengasihi jiwa suku kaum bumiputera, iaitu mereka harus mempelajari dan berani berkomunikasi dalam bahasa Malaysia. Selain itu, mereka mungkin perlu mempelajari budaya dan melihat keperluan fizikal, mental, rohani dan sebagainya dalam menjangkaui bangsa-bangsa ini. Jemaah Cina sangat diberkati oleh Tuhan dalam segala hal: pendidikan, ekonomi, sosial dan juga kerohanian. Inilah masanya, jemaah Cina menjadi saluran berkat bagi pelayanan BM SCAC. Saya percaya dengan pelayanan kasih mereka, suku kaum bumiputera akan memuliakan Tuhan dan akan mengubah bangsa-bangsa ini dalam segala aspek kehidupan.

2) Apakah bengkel yang anda hadiri? Apakah inspirasi yang paling mendalam kepada anda yang ingin anda amalkan dalam pelayanan di gereja tempatan?
Bengkel pertama yang saya hadiri ialah bengkel “Penginjil Tempatan BM dan Pelengkapan Pelayanan” oleh Rev. Law Hui Seng. Dalam bengkel ini, saya melihat bahawa keperluan sumber tenaga manusia yang mencukupi khususnya dalam menjadi gembala sepenuh masa amatlah penting. Apatah lagi, pelayanan BM semakin berkembang pesat setiap tahun dalam gereja Methodist. Sehubungan dengan itu, dalam melengkapi para gembala dan penginjil tempatan BM, saya haruslah menggalakkan jemaah khususnya golongan belia untuk belajar teologi di seminari supaya mereka dapat dilengkapi baik secara teori mahupun secara praktikal ke arah menjadi seorang gembala atau penginjil. Gereja tempatan, ibu bapa dan semua jemaah diharap dapat menyokong, berdoa dan bersama-sama membangkitkan golongan ini demi masa depan pelayanan BM.

Bengkel kedua yang saya hadiri ialah bengkel “Pelayanan BM Sekolah” oleh Cikgu Wong Kung Kui. Memandangkan saya mempunyai beban dan ingin menjangkaui jiwa golongan remaja khususnya mereka yang berada di bangku sekolah, ISCF adalah salah satu jambatan untuk saya berhubung dengan mereka. Kami melihat sekolah sebagai ladang pelayanan kami yang siap untuk dituai dan pelajar-pelajar sebagai domba kami. Guru-guru Kristian harus berani menabur benih di sekolah, berani, kreatif dan berusaha untuk bekerjasama dengan pihak gereja / hamba Tuhan yang berdekatan sekiranya memerlukan tenaga. Di sekolah, terdapat pelajar-pelajar Kristian sering kali ditanya mengenai soal iman kepercayaan mereka. Selain itu, mereka didatangi oleh pelajar beragama lain yang cuba untuk menarik mereka. Melalui pelayanan BM di sekolah, kami dapat membantu pelajar Kristian sedaya upaya dalam membentuk kerohanian remaja Kristian yang teguh, tidak goyah, dan giat melayani Tuhan di mana-mana. Pelayanan BM di sekolah bukan hanya bermanfaat untuk mereka sewaktu dalam sekolah menengah sahaja, bahkan mempersiapkan mereka untuk menang dalam menghadapi perlumbaan hidup luar yang penuh cabaran.
Pastor Tann Kedal
Pelayanan BM Gereja Methodist Tian En, Sibu