Nama saya Siman anak Jugah. Suami saya ialah Cassidy Ak Agan dan kami mempunyai dua orang anak perempuan. Kami sekeluarga menetap di Bandar Baru Permai jaya, Tudan. Saya ingin berkongsi satu kesaksian dalam hidup saya sebagai Kristian dengan anda semua.
Hidup sebagai Kristian memang banyak cabarannya tetapi kita haruslah bersandar kepada Tuhan supaya kita tidak jatuh ke dalam percubaan. Bukan Kristian namanya jika seseorang itu tidak menghadapi cubaan. Kadang-kadang Tuhan menguji seseorang melalui penyakit, pekerjaan, rumah tangga dan sebagainya. Itu kerana Tuhan mahu melihat sejauhmana kita mengasihi Dia. Sebagaimana cerita tentang Si Ayub yang dicubai oleh si penggoda, begitu juga dengan diri saya. Saya selalu lupa akan kebaikan Tuhan kepada saya kerana saya mengganggap diri saya kuat walaupun pada hakikatnya saya seorang yang lemah.
Beberapa tahun yang lalu, saya telah menghadapi cubaan yang sangat berat dalam hidup saya. Saya dan beberapa orang kawan sering minum minuman keras. Boleh dikatakan hampir setiap hari kami bertemu dan minum minuman keras bersama. Namun begitu, tujuan kami minum minuman keras ini bukan kerana kami adalah kaki botol tetapi kerana salah seorang daripada rakan saya mengalami masalah rumah tangga.
Pada awalnya, kami ingin membantunya untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi kami sudah mengggunakan cara yang salah. Sebagai seorang Kristian saya sangat menyesali tindakan saya kerana tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
Dipendekkan cerita, setelah banyak minum, kami pun menjadi mabuk. Semasa kejadian ini berlaku, suami kami bekerja jauh di rantau orang. Kami berkaraoke, menyanyi, menari dan bercakap kotor sehingga jiran bersebelahan tidak senang hati dengan kelakuan kami. Kami tidak mempedulikan teguran mereka. Selesai pesta mabuk, kami balik ke bilik masing-masing. Tiba–tiba Tiffany menjerit dan memarahi saya kerana dia tidak suka saya minum minuman keras.
Berlakulah pergaduhan antara kami, bertikam lidah dan saya telah menampar pipi anak saya itu. Semasa saya tampar dia, saya dalam keadaan separuh sedar. Dia menangis dengan suara yang kuat. Masa itulah iblis masuk ke dalam hati saya, dan berbisik “lakukanlah apa yang mahu kau lakukan”. Beberapa saat selepas itu saya hilang kewarasan dan kesedaran diri. Saya tidak dapat melihat wajah peny lagi, tetapi saya terus menengking dia. Dia menangis kerana ketakutan. Tanpa saya sedari, dengan berjalan terhuyung – hayang saya telah masuk ke dapur, lalu mencapai sebilah pisau pemotong sayur, saya terus mendekati peny. Saya melibas-libaskan pisau itu di depan muka dia.
Dia menangis semakin kuat sambil menjerit “Jangan mak, jangan nanti saya luka”. Iblis semakin kuat menghasut dalam hati saya, “lakukan lagi” kata si iblis. Lalu saya memiliki keberanian, tanpa saya sedari saya telah meletakkan pisau itu ke bahagian leher peny, seolah-olah saya mahu mengelar leher dia. Mendengar jeritan dan tangisan peny, kawan sekaki minum saya datang dan meleraikan pergaduhan kami. Jika dia terlambat datang, mungkin saya sudah membunuh anak saya sendiri.
Keesokan pagi barulah kawan saya menceritakan peristiwa yang terjadi kepada saya. Saya sangat menyesali atas perbuatan saya itu. Saya bertaubat dan tidak mahu minum dan mabuk lagi .
Apabila saya teringat hal ini saya akan menangis dan mohon pengampunan dari Tuhan. Saya hampir menjadi seorang pembunuh.
Saudara Saudari yang saya kasihi,
Mengapa hal seperti ini boleh terjadi kepada saya? Hal ini kerana saya yang membenarkan iblis berkuasa dalam diri saya. Saya hampir mencederakan anak saya sendiri bahkan hampir membunuh dia. Kalaulah saya melakukannya seperti Abraham, iaitu mengorbankan Ishak, itu peristiwa yang sangat terpuji tetapi saya sebaliknya.
Oleh sebab itulah, saya mahu memberikan kesaksian ini kepada anda semua supaya kejadian ini menjadi iktibar dan pengajaran untuk kita semua. Jangan biarkan diri anda menjadi seperti saya dulu dengan membiarkan iblis berkuasa dalam hidup kita. Biarlah Tuhan yang bertakhta di hati kita untuk selama-lamanya, agar kita sentiasa melakukan segala yang baik.
Harapan saya kepada mereka yang masih mabuk-mabuk, tolonglah kembali ke jalan yang benar. Doa saya, “Semoga Tuhan kita, Yesus Kristus mengurniakan anda dengan kebijaksanaan supaya dapat menyelesaikan masalah kemabukan” AMIN. Tuhan mengasihi kita dan mengampuni setiap orang yang mahu bertaubat. Jika ada masalah dalam hidup, carilah Tuhan.
Siman Jugah
Gereja Methodist Tudan, Miri