RUAI BM: Berkat Hujan KETIKA MENABUR BENIH

with No Comments

Buat pertama kali penginjilan pada Perayaan Hari Natal melibatkan Jemaah BM dan beberapa komiti Gereja Methodist Mei Ann pada 18-19 Disember 2018. Seramai 21 orang Jemaah terdiri daripada orang dewasa, muda-mudi bahkan kanak-kanak juga terlibat dalam pemberitaan Injil. Fokus dan sasaran kami adalah penduduk di kawasan penggembalaan gereja kami sendiri.

Secara manusiawi saya agak risau apabila ada jemaah yang memberitahu saya “Pastor, ada orang kah kalau kita pergi menginjil pada hari dan masa ini? Macam orang banyak kerja.” Namun saya mengimani, bahawa tidak melihat kepada kuantiti orang yang kami injili namun melihatkan kepada injil yang disampaikan meskipun hanya kepada seorang sahaja.

Hari pertama berjalan dengan agak luar biasa. Kami pergi menginjil penduduk di kawasan yang berdekatan dengan gereja. Jika kami tidak mengambil langkah untuk pergi ke rumah dan menginjil, kami tidak akan tahu bahawa sebenarnya masih ada penduduk yang status mereka sebagai suri rumahtangga masih ada di rumah.

Masuk kepada hari yang kedua selepas sesi pujian, doa dan evaluasi kami dikejutkan dengan hujan yang lebat. Pada saat itu juga, saya berdoa dalam hati agar Tuhan memberikan kami cuaca yang baik supaya kami dapat keluar untuk menginjil. Selepas beberapa minit kemudian, hujan masih lebat dan mula berhenti pada sebelah petang kira-kira jam 2 petang. Tibalah masanya untuk kami keluar mengikut kumpulan masing-masing untuk pergi memberitakan Injil. Kejutan bagi kami sekali lagi apabila semua penduduk yang kami lawati di satu tempat pembinaan bangunan masih berada di rumah dan tidak turun bekerja kerana hari hujan. Barulah saya terfikir bahawa hujan yang turun sebentar tadi adalah supaya mereka tidak bekerja dan kami boleh menginjil kepada mereka. Sehingga pada satu tahap, kami tidak dapat untuk cover-up pergi ke semua rumah penduduk kerana masa sangat tidak mengizinkan oleh sebab kami perlu balik ke gereja untuk persiapan Karoling pada malam itu. Pada malam karoling, kami telah pergi ke 64 buah keluarga dengan penuh sukacita memberitakan berita kelahiran Tuhan Yesus ke bumi ini. Cuaca hujan telah memberkati misi penginjilan kami pada hari tersebut.

Puji Tuhan penginjilan selama 2 hari berjalan dengan baik dengan ada bantuan Jemaah sendiri yang tinggal di kawasan penggembalaan memudahkan pasukan penginjilan untuk masuk ke rumah dan berkongsi Injil. Muda-mudi sangat bersemangat menginjil meskipun ada yang pertama kali mengikuti misi penginjilan namun tidak membatasi mereka untuk turut serta kerana telah dilengkapi dan dilatih terlebih dahulu pada hari pertama penginjilan ini dijalankan. Segala yang dipelajari telah dipraktikkan dengan baik sekali bahkan ada dalam kalangan mereka yang diinjili dan diberkati terlebih dahulu semasa latihan diberikan. Seramai 62 orang yang telah kami kunjungi dan injili. 32 orang daripada telah menerima Tuhan Yesus dalam kehidupan mereka secara peribadi melalui doa menerima Yesus. Benih Injil yang telah kami tabur telah membawa sebahagian daripada mereka untuk menghadiri kebaktian Hari Natal gereja kami pada 25 Disember dan seramai 212 jemaah yang hadir termasuk beberapa jemaah yang telah kami injili dan kunjungi semasa penginjilan selama 2 hari. Semua ini adalah kerana pekerjaan Tuhan secara peribadi saya melihat peserta penginjilan juga secara tidak langsung mengalami pembaharuan dalam iman mereka. Rencana Tuhan indah pada waktu-Nya.

Pastor Susanty Kedal
Gereja Methodist Mei Ann, Miri