RUAI BM: Perjalananku Bersama Abba

with No Comments

Menjadi Kristian itu mudah tetapi untuk menjalani hidup sebagai seorang Kristian itu tidak semudah yang difikirkan. Sememangnya hidup kita berubah tetapi tidak semuanya indah kerana seperti yang rasul Paulus katakan “Sebab kepada kamu dikaruniakan bukan sahaja untuk percaya kepada Kristus, melainkan juga untuk menderita untuk Dia.”

Dari usia 9 tahun lagi, saya sudah mengenali dan belajar tentang iman kepercayaan dan pada usia 13 tahun, saya menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat.

Mengenal dan menerima Dia bukan berarti tidak ada badai dan ombak yang menimpa kehidupan saya bahkan saya merasakan lebih banyak yang pahit daripada yang manis. Meskipun tidak menderita dianiaya secara fizikalnya tetapi hidup saya tidak lari dari tantangan di kalangan keluarga yang belum percaya, pergumulan, kepahitan, penolakan, kekecewaan, kesakitan dan kesesakan.

Terkadang, apabila bebanan ini menimpa hidup saya, saya merasakan sepertinya Tuhan itu tiada, tidak melihat, tidak mendengar, saya mulai mempersoalkan keberadaanya sang Bapa. Terkadang, saya menggunakan akal fikiran, kekuatan secara jasmaniah saya untuk mengatasi semua ombak badai di dalam hidup saya. Saya merasakan saya mampu tetapi hakikatnya saya tidak dapat berbuat apa-apa.

Namun, saya bersyukur kerana hidup saya dikelilingi oleh beberapa peribadi/orangorang yang menjadi pendorong, pembimbing saya iaitu ibu rohani dan rakan-rakan seiman dan sepelayanan saya. Nama-nama mereka tidak usah saya coretkan melalui pena tetapi saya sematkan dalam lubuk hati saya yang paling dalam. Bahkan saya merasakan mereka ini lebih memahami saya lebih dari keluarga sendiri, mereka-mereka ini tidak asing bagi diri saya.

TETAPI ada satu peribadi yang namanya di atas segala nama, Dia tidak pernah meninggalkan saya, Dia lebih lagi mengerti tentang saya dan di dalam ombak badai serta warna warni dalam kehidupan saya. Saya tahu saya ada sauh yang kuat dan aman iaitu pengharapan di dalam-Nya dan di saat saya merasakan tidak ada jalan, di situ Dia buka jalan; di saat saya merasa saya tidak mampu untuk berdiri, di situ Dia menopang saya. Dia sumber segala-galanya dalam hidup saya dan karya terbesar Dia dalam kehidupan saya adalah ketika Dia sudah memilih dan memanggil saya untuk menjadi anak-Nya dan itu tidak mampu saya bayar dengan apa-apa.

Saya mungkin salah dalam banyak hal tetapi saya tidak pernah salah ketika membuat pilihan untuk mengikuti dan percaya kepada Dia. Saya mahu tetap berjuang sampai akhirnya dan mempersembahkan hidup ini untuk dipakai oleh-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Saya mahu tetap setia berjalan bersama-Nya meskipun saya tidak tahu hari-hari di depan saya tetapi saya tahu satu hal yang pasti, iaitu Dia sentiasa menyertai saya dan pengharapan, iman saya itu bukan sia-sia. Inilah Dia, peribadi yang luar biasa iaitu Yesus Kristus, Tuhan dan penyelamat saya yang hidup dan kekal.

Liza Emba, Gereja Methodist Gloria, Bintulu (sekarang belajar di STS, Sabah)