RUAI BM: Bersyukurlah

with No Comments

Pendahuluan
Bersyukur kepada Allah yang memimpin pelayanan BM di Gereja Gloria, dapat menempuhi 10 tahun. Lagi bersyukur kepada Allah kerana membolehkan saya berjalan bersama-sama dengan pelayanan BM selama 10 tahun. Sepanjang 10 tahun ini, penuh dengan belas kasihan dan anugerah-Nya. Setiap jejak kaki dan langkah, tangan Allah tetap menjaga dan memelihara kami.

Untuk mengenang kebaikan dan anugerah Allah yang melimpah, pelayanan BM Gereja Gloria telah menentukan Bersyukurlah sebagai tema ulang tahun 10 ini.

Hati yang penuh bersyukur, dan menjadi seorang yang berucap syukur adalah karakter seorang Kristian. Tidak kira dalam keadaan yang lancar atau sebaliknya, kita sepatutnya bersyukur. Bersyukur kepada Allah kerana Dia yang bertakhta, melindungi, membimbing dan memimpin.

Rasul Paulus dalam suratnya, banyak mendorong jemaah-jemaah untuk bersyukur. Surat beliau kepada jemaah di Filipi berkata, Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. (Flp 4:6) Beliau mengesa jemaah di Korintus untuk bersyukur: Marilah kita bersyukur kepada Allah bagi pemberian- Nya yang tidak terhingga (2 Kor 9:15). Dia juga mendorong jemaah di Efesus, ”kamu harus bersyukur kepada Allah”. (Ef 5:4b)

Rasul Paulus bukan sahaja mendorong jemaah untuk bersyukur, bahkan dia sendiri juga merupakan seorang yang bersyukur. Dalam setiap suratnya, tidak terkecuali tentang kesyukuran. Sekiranya bukan bermula dengan kesyukuran, maka penutupnya pastilah ucapan syukur. Kehidupan Paulus walaupun melewati ombak badai,sampai dia dikritik, dipenjarakan, dianiaya, tidak dihargai. Namun, dia tetap mengamalkan hidup yang bersyukur.

Mengapa bersyukur?
Dalam 1 Tesalonika 5:18, “Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.

1/ Inilah yang dikehendaki oleh Allah Ramai yang suka bertanya, bagaimanakah saya tahu itu kehendak Allah? Senang saja. Pertama sekali, bersyukur dalam segala keadaan, inilah yang dikehendaki oleh Allah. Kita lebih suka untuk bersungut-sungut daripada bersyukur.

1 Korintus 10:10, Paulus berkata, “Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut.” Ertinya, bersungut-sungut itu tidak mendatangkan faedah kepada hidup, bahkan akan menyebabkan kita terancam. Patutlah Alkitab berkata, “Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat.” Kehendak Allah itu senang, iaitu tidak mahu kita dibinasakan. Biarlah kita menjadikan sungutan itu kesyukuran. Apabila kita melakukan demikian, bukan sahaja kita tidak akan diancam, melainkan kita dapat menamalkan cara hidup yang memberkati orang lain.

2/ Cara hidup yang memberkati orang lain Seseorang yang mempunyai hati yang bersyukur, hidupnya akan membawa semangat yang positif kepada orang di sekelilingnya. Bersama dengan orang-orang ini, emosi akan menjadi positif, dan penuh dengan pengharapan. Bahkan kemurungan juga bertukar menjadi kesukacitaan, kehuatiran dan kerisauan menjadi hati yang tenang. Ada orang pernah melakukan eksperimen dengan dua batang pokok. Salah satunya dikutuk setiap hari, manakala satu lagi dipuji-puji setiap hari.

Akhirnya, pokok yang dikutuk itu layu, manakala sepohon lagi berbunga dan berbuah. Begitu besarnya respons eksperimen ini pada tumbuh-tumbuhan, apatah lagi kalau pada manusia? Jadi,hendaklah lebih banyak ucapan bersyukur, janganlah menyebut kata-kata yang tidak membina. Menjadikan kesyukuran sebagai gaya hidup yang memberkati orang lain.

3/ Pemikiran positif
Kesyukuran menyebabkan seseorang itu mempunyai pemikiran yang positif. Ada seorang gembala yang tua, dia terkenal dengan sifatnya  suka bersyukur. Asalkan buka mulut, ucapan syukur. Ada satu kali, gerejanya telah dilanda banjir, dan seluruh gereja penuh dengan air. Kebetulan hari itu Hari Minggu, dan waktu kebaktian, jemaah sungguh menantikan, apa yang akan dikatakan oleh gembala ini. Ucapan syukur yang macam mana dia akan katakan. ”Sekali buka mulut, gembala tua ini berkata, Syukur kepada Allah untuk pengalaman yang luar biasa ini. Cara pemikiran berpositif gembala tua ini telah memberkati dan mendorong jemaahnya.

4/ Pernyataan iman kepada Allah
Bersyukur dalam apapun keadaan adalah pernyataan iman kepada Allah daripada umat Kristian. Di mana kita percaya pimpinan-Nya, percaya bahawa Dia tidak pernah salah dan percaya bahawa Dia tetap berkuasa. Lirik sebuah lagu pujian cina sungguh baik, begini. Iman itu adalah, walaupun tidak pernah melihat, tetapi tetap melihat kepada salib. Iman itu adalah penyerahan yang sepenuhnya, kerana sungguh dalam, percaya bahawa Dia sudah berkuasa. Bagaimana kita menyatakan iman ini? Salah satu caranya adalah, bersyukur dalam segala keadaan. Tidak kira ditimpa apapun perkara, yang lancar dan yang sebaliknya, tetap berkata, ”Ya Tuhan, terima kasih.”

5/ Tanda penerimaan
Seorang ibu mempunyai dua orang anak perempuan. Pada suatu hari, dia dia mereneh sup ayam untuk kedua orang anak kesayangannya kerana mereka kelihatan lemah tubuh badan. Anak sulung berkata, mak, kamu sendiri minumlah sup ini, hari-hari makan ayam, nanti muka pun jadi seperti ayam. Anak kedua berkata, mak, terima kasih kerana begitu mengasihi aku, sampai sudah tua pun masih harus menolong begitu banyak. Kedua-dua orang anak ini bertujuan berbelas kasihan kepada mak mereka dan tidak mahu menyusahkan mak mereka. Cara pernyataan mereka berlainan, namun cara anak kedua itu telah mendorong maknya. Ucapan terima kasih itu, nampaknya senang, tetapi ucapan ini dapat membawa kepada orang, suatu tanda penerimaan yang dekat di hati orang.

Syukur kepada Allah kerana Dia membawa saya melayani di ladang Pelayanan BM Gloria sepanjang 10 tahun. Dari kurus menjadi gemuk, dari gemuk menjadi kurus. Dari tidak rabun dekat, sekarang rabun dekat. Bermula dengan berseorangan diri, dan sekarang banyak anak-cucu, bahkan cicit pun ada.

Ada orang berkata, jikalau tiada Pendeta Bulan, pelayanan BM tidak seperti yang ada pada hari ini. Ada juga yang berkata, biarpun tiada Pendeta Bulan, Pelayanan BM tetap akan bangkit, kukuh dan bertumbuh. Hari ini, biarlah saya akan berkata, ”Pendeta Bulan suka 2 benda, iaitu suka marah orang dan suka makan ubat. Syukur kepada Allah, selama 10 tahun ini, dengan pendeta yang seperti ini, Pelayanan BM Gloria masih wujud.” Sebenarnya, seharusnya berterima kasih kepada semua jemaah di Gereja Gloria, terutamanya AJK Pelayanan BM, tidak menolak Pendeta Bulan. Terima kasih atas pengorbanan anda dan komitmen anda sehingga adanya Pelayanan BM seperti hari ini.:

Akhir sekali, saya mahu berkata, Pelayanan BM Gloria tetap wujud hari ini kerana adanya anda semua. Thank you for giving to the Lord.

Rev Bulan Yiong
Gereja Methodist Gloria, Bintulu