Persidangan Paroki BM Gereja Methodist Sabah telah diadakan pada pukul 10.25 pagi hari ini, iaitu 4 Oktober (Hari Jumaat) di Gereja Methodist Sy En Sandakan. Persidangan ini telah dihadiri oleh pendeta- pendeta dan wakil-wakil daripada 11 buah pusat penginjilan dari daerah bandar dan luar bandar di negeri Sabah.
Dengan firman Tuhan, iaitu ayat Markus 10:45, Presiden Sabah Annual Conference, Rev. Dr. Hii Kong Hock menasihati para hadirin agar berusaha mencontohi teladan dan sikap pelayanan Yesus Kristus. Seperti yang dikatakan oleh Tuhan Yesus bahawa: “Kerana Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani dan untuk memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang.” Maka sebagai hamba setia Tuhan, haruslah rela berkorban, tak kira dari segi masa, tenaga ataupun keselesaan diri dan sebagainya. Persidangan Paroki BM dirasmikan dengan doa pimpinan oleh Presiden Hii Kong Hock.
Dengan diketuai oleh Ketua Paroki BM, Rev. Markus Sigar, para pendeta menyampaikan detik-detik pelayanan
sepanjang tahun ini, cabaran yang dihadapi dan keperluan masing-masing. Dalam tahun 2019, terdapat lebih kurang 700 orang jemaah telah mengikuti ibadah mingguan, antaranya lebih kurang 250 daripadanya merupakan ahli gereja Methodist yang sah.
Demi menggalakkan jemaah dapat berdikari dari segi ekonomi, sesetengah gereja di kawasan luar bandar atau pedalaman turut membantu jemaahnya memulakan projek-projek pertanian dan penternakan, contohnya projek penternakan khinzir (babi) bagi Pusat Penginjilan Mangkalias.
Selain itu, projek pembinaan gedung gereja sesetengah gereja yang sedang menghadapi masalah rumit dalam pengurusan pindah hak milik tanah turut memerlukan keprihatinan dan doa daripada para jemaah. Tuan Presiden turut mengambil kesempatan ini untuk menasihati dan mengingatkan para pendeta dan pemimpin gereja wajib cermat dalam hal-ehwal pengendalian tukar milik hak tanah dan segala dokumentasi mesti siap selesai dikendalikan secara rasmi agar mengelakkan masalah rumit yang tidak diingini daripada berlaku sehingga pelayanan penginjilan terganggu.
Persidangan ini tamat pada pukul satu lebih petang. Persidangan Paroki BM tahun depan akan diadakan pada 2hb Oktober 2020.
Oleh Chin chia vun, SAC, Sabah