Saya bersyukur kerana saya dapat mengikuti Disciple Hijau dan belajar menjadi murid Yesus. Bersyukur pada Tuhan kerana telah memberi saya kekuatan kerohanian untuk belajar firman Tuhan setiap hari melalui pemuridan ini. Tuhan juga telah membimbing saya agar saya sentiasa dekat dengan Tuhan. Melalui belajar firman Tuhan dalam Disciple Hijau telah memberi saya kesedaran betapa pentingnya firman Tuhan dalam kehidupan saya sebagai seorang Kristian. Sekali lagi saya mengucap syukur kepada Tuhan kerana kebaikan-Nya memimpin saya sepanjang kelas Disciple Hijau dengan jayanya. [ Sagat Rasat ]
Saya sangat bersyukur dapat mengikut kelas Disciple Hijau tahun lepas. Saya berterima kasih kepada fasilitator yang telah membimbing kami setiap minggu, dan gembira bersama pelajar yang lain. Sepanjang 32 minggu ini, saya mempunyai komitmen dalam menyiapkan pelajaran dan menghadiri kelas. Ada 2 kali atau sekali saya tak hadir kerana ada hal tertentu. Melalui kelas ini saya dapat melihat kehidupan saya rohani bertumbuh dan di samping itu pengetahuan Alkitab lebih mendalam. Fokus kelas ini membawa firman Tuhan dalam kehidupan seharian, saya melihat diri saya juga menghidupkan firman ini. Saya ingin mendorong jemaat untuk mengikuti kelas Disciple Merah dan Hijau ini untuk membina pengetahuan Alkitab dan mematangkan kerohanian kita. Lalu kita hidup sebagai pengikut Kristus yang berbuah. [ Agnes Ayun ]
Saya bersyukur dengan keputusan yang telah saya buat awal tahun lepas untuk mengikuti kelas Disciple Hijau, kerana dua tahun lepas saya tidak dapat menyelesaikannya. Menyelesaikan 32 pelajaran merupakan satu perjuangan yang berat tetapi sangat berbaloi. Puji Tuhan saya dapat menyelesaikannya kali ini.
Mengikuti kelas Disciple ini membantu saya untuk mengurus masa dengan betul, dari bangun pagi sehingga tidur waktu malam. Dengan masa yang terurus dengan betul, maka saya dapat menyelesaikan tugasan yang perlu disiapkan sebelum masuk ke kelas, dalam masa yang sama kerja rumah dapat diselesaikan.
Kelas Disciple Hijau ini juga mengajar saya bahawa komitmen saya pada awal tahun bukan komitmen kepada manusia tetapi kepada Tuhan. Oleh itu, saya dapat mengatakan saya telah menyelesaikan kelas ini kerana anugerah Tuhan, dan kemuliaan hanya untuk Tuhan.
Banyak yang saya telah pelajari dari kelas Disciple ini, namun di sini saya mahu berkongsi satu perkara yang special. Melalui perbincangan dalam kelas, saya mempelajari peribadi Paulus. Saya mendapati bahawa bagi Paulus, setiap masa adalah kesempatan untuk memberitakan Injil. Paulus tidak berfikir tentang diri sendiri, adakah dia dalam keadaan yang selesa atau bahaya, yang penting khabar baik dapat diberitakan. Perjuangan Paulus itu adalah perjuangan yang sangat luar biasa. [Sokimah ]
Saya bersyukur dapat menghabiskan kesemua 32 bab kerana satu bab pun saya tak ada ketinggalan. Hal ini adalah anugerah kurniaan-Nya yang menguatkan saya berkomitmen untuk terus mengikuti kelas. Sebenarnya memang niat saya kepada Tuhan untuk menghabiskan kesemua bab, saya tak mahu tinggal satupun, saya minta dengan Tuhan untuk mempermudah segala yang saya alami dan keperluan saya untuk mencapaikan misi saya. Ternyatalah Tuhan sentiasa ada dengan saya, mendengar keinginan dan niat saya kerana kita mampu merancang tetapi Dia yang menentukan segalanya bagi kita dulu, sekarang dan selamanya; Yesus Tuhan kita tetap ada untuk kita.
Saya bersyukur juga kepada Tuhan kerana menguatkan keluarga saya, anak-anak dan suami saya sanggup mengikuti saya setiap kelas pada hari Isnin. Saya percaya kerana kasih kurnia Bapa di syurga yang mengutkan dalam segala hal dan Tuhan campur tangan, kalau tidak semuanya tak akan terjadi.
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana melalui kelas ini saya dapat memahami firman-Nya dengan lebih mendalam, terutamanya dalam Perjanjian Baru, tak terlintas dalam fikiran saya, seperti Alkitab Roma, Korintus, Efesus, Galatia Kolose, Filipi dan Tesalonika adalah tempat yang dikunjungi oleh Paulus untuk mengkhabarkan pemberitaan Berita Baik dan tentangan-tentangan, halangan-halangan yang dihadapi Paulus. Kalau saya tak mengikuti kelas ini, mungkin sampai sekarang saya tak tahu kebenaran dalam setiap buku ini. Mungkin saya hanya membaca tetapi tidak tahu langsung kebenarannya.
Saya bersyukur juga semasa di kelas kami dapat berkongsi dan bercerita tentang apa-apa yang kami alami, baik dari segi peribadi kami. Setiap bab yang kami pelajari, Tuhan sentiasa memberi damai sejahtera dan sukacita, sentiasa bersemangat.
Puji Tuhan kepada Kak Sitie, Saudari Tagi yang sudi bersama kami untuk belajar bersama-sama (mengajar). Untuk yang lain Kak Sokimah, Agnes Ayun, Sagat, Russel & Lionel, teruskan menaati firman Tuhan walaupun tidak ada kelas tahun depan.
Kepada jemaah yang ada kerinduan untuk belajar firman Tuhan, ayuh kita sama-sama bangkit dalam kerajaan-Nya supaya kita lebih tahu setakat mana keimanan kita, walaupun kita selalu pergi beribadah. Ambil peluang untuk belajar kelas Disciple Merah tahun ini atau tahun depan, kerana tidak ada yang mustahil bagi Tuhan kita. Saya harap ini diambil sebagai dorongan buat anda semua. Buat yang terbaik dalam hidup anda selagi ada kesempatan. Mari kita sama-sama mengutamakan kerajaan-Nya. Amin. [ Catherine Sawai Anak Kaba ]
Saya sangat bersyukur kerana dapat menghabiskan 32 bab dalam Disciple Hijau selama 8 bulan lebih.
Apa yang dibelajar dalam Disciple Hijau ini adalah peribadi seorang penginjil yang sangat taat kepada-Nya sebagai contohnya Rasul Paulus.
Rasul Paulus telah mengajar keberanian untuk menginjil atau memberitakan Berita Baik tentang Tuhan Yesus. Saat Rasul Paulus diancam bahaya, Roh Kudus selalu memimpin dia atau menghalang dia untuk pergi ke sesuatu tempat.
Dalam kelas Disciple ini juga, saya dapat belajar antara satu sama lain melalui pengongsian peserta masing-masing.
Sekali lagi saya ingin menaikkan pujian syukur kepada Tuhan kerana tanpa Tuhan saya mungkin tidak dapat tahan mengharungi kelas ini. [Lionel Jong ]