RUAI BM: Menurut cerita ibu saya, belum ada injil diberitakan di tempat mereka pada waktu itu.

with No Comments

Saya dilahirkan dan membesar dalam keluarga Pagan atau Kafir. Ibu bapa saya sangat kuat dengan pegangan
dan amalan Pagan. Apabila kami adik-beradik sakit, mereka terus sahaja mencari bomoh. Asal sahaja sakit, sikit-sikit cari bomoh supaya sembuh daripada penyakit. Apalagi kalau demam berhari-hari, memang bomohlah sebagai hospital yang pertama. Tambahan pula, ketika itu klinik kesihatan sangat jauh dari rumah dan pengangkutan ialah menggunakan kerbau. Namun selepas tahun 80-an, barulah ada jalan raya yang belum berturap.

Ketika saya berusia 13 tahun, saya telah diajak oleh seorang kawan pergi ke Gereja Seventh Day Adventist (S.D.A). Saya baru tingkatan satu dan tinggal di asrama Yayasan Sabah. Sewaktu sampai di gereja, saya sangat takut dan tidak mahu masuk ke dalam gereja namun kawan itu menarik tangan saya dan akhirnya saya masuk dan duduk di bangku paling belakang. Mengapa saya takut? Hal ini kerana sejak lahir, saya dibesarkan dalam keluarga pagan iaitu pegangan kuat oleh nenek moyang saya. Mereka sangat kuat mengamalkan kepercayaan pagan sebab itulah warisan dari turun-temurun.

Belum ada injil diberitakan
Menurut cerita ibu saya, belum ada injil diberitakan di tempat mereka pada waktu itu. Kepercayaan pagan merupakan kepercayaan yang banyak pantang larang dan adat resam. Ketika tinggal di asrama, pengawas asrama memberitahu bahawa jika tidak menganut agama Islam, kami akan dikeluarkan dari asrama. Oleh demikian, saya dan rakan-rakan seperjuangan kembali ke kampung menemui orang tua. Tujuan kami balik ialah meminta keizinan daripada mereka supaya masuk agama itu.

Pada waktu saya meminta kebenaran berbuat demikian, “Dari kau sahaja tetapi kau sendirilah yang akan menanggung perbelanjaan sekolah,” kata ayah. Saya diam sahaja.

Fikiran remaja yang belum matang tidak dapat memikirkan akibat sesuatu dengan secara sempurna. Namun yang berlaku ialah saya tidak berasa takut. Apabila balik ke asrama, ramai rakan-rakan sebaya yang telah menganut agama Islam. Saya dan sahabat karib mengambil keputusan untuk mengikuti seorang pelajar perempuan senior ke gereja S.D.A. Ketika kami mengikutinya, ada yang mengolok-olokkan bahawa agama S.D.A ialah singkatan kepada sedia dalam api. Saya tidak peduli, yang penting saya ada agama dan mungkin tidak dipaksa masuk Islam.