Pada 18 Jun 2016, hari Sabtu, Gereja Methodist Tudan (GMT) Miri telah mengadakan perayaan Rumah Terbuka Hari Gawai GMT yang menggunakan istilah “Ngiling Bidai” pada beberapa tahun yang lalu. Namun telah diperbaharui dengan menggunakan istilah “Rumah Terbuka” dalam meraikan penutupan Perayaan Hari Gawai bagi tahun 2016.
Hampir 400 orang hadir bagi memeriahkan acara ini. Tidak ketinggalan juga, GMT menjemput jemaah Pelayanan BM Gereja Methodist daerah Miri untuk turut serta pada malam tersebut. Perayaan ini sudah menjadi kebiasaan di GMT dan diadakan setiap tahun sejak tahun 2010. Sesudah meraikan perayaan Hari Gawai / Keamatan, pada masa yang sama perayaan ini berpeluang membawa saudara-saudari yang belum mempercayai Tuhan datang mengalami anugerah Tuhan.
Komiti Rumah Terbuka telah menetapkan satu tema iaitu “Yesus Hari Ini, Esok Dan Selama-lamanya” (1 Petrus 2:10). Pengerusi Komiti iaitu Saudara Augustine Huong berkata, tahun ini Rumah Terbuka GMT bertujuan menyalurkan kasih Tuhan kepada penduduk peribumi yang tinggal di sekitar kawasan Tudan.
Tema ini bersesuaian dengan pertumbuhan jemaah setelah menerima Tuhan, maka komitmen diri amatlah penting untuk memastikan diri mereka sentiasa percaya kepada Yesus dan tidak kembali kepada cara hidup yang lama dan membuat keputusan bahawa Yesus Hari ini, esok dan selama-lamanya dalam kehidupan mereka. Para hadirin diberkati melalui perkongsian Firman Tuhan daripada Ps. Rauth Nai bersesuaian dengan tema pada malam tersebut.
Pembukaan acara dimulakan dengan persembahan tarian tradisional Iban iaitu “Ngajat” dari kaum wanita yang berpakaian lengkap dengan mengenakan pakaian Tradisional suku Iban. Malah, pelbagai persembahan yang diadakan bagi meresponi ucapan syukur kepada Tuhan seperti Joget dari Persekutuan Ibu- Ibu yang bertajuk “Ku Puji Tuhan”, tarian persekutuan muda-mudi, persembahan khas anak-anak Pusat Pelajaran dan sebagainya. Acara malam tersebut tamat pada jam 9.00 malam dan diakhiri dengan majlis makan malam bersama.
Segala kemuliaan dikembalikan kepada Tuhan Bapa di Syurga!
Susanty Kedal
Gereja Methodist Tudan, Miri