Pelayanan Pemuda-pemudi Gereja Methodist Tudan (GMT) telah memulakan Alpha Belia sejak Jan 2016. Sepanjang Alpha Belia berlangsung, hampir setiap minggu ada rakan baharu yang dibawa untuk belajar Firman Tuhan bersama.
Pada 3 Julai 2016, hari yang dinantinantikan telah tiba. Terdapat seramai 62 orang pemuda-pemudi telah berkumpul di gereja sejurus selepas kebaktian. Setelah pendaftaran, aktiviti dimulakan dengan suai-kenal yang dikendalikan oleh Gilbert dan Martin.
Sesi pertama dimulakan oleh Saudari Susanty Kedal yang mengajar “Siapakah Roh Kudus?”. Ini adalah kali pertama pemuda-pemudi ini mendengar perbicaraan mendalam Roh Kudus.
Seterusnya kami bergerak ke pantai Lutong untuk mengadakan pelbagai permainan yang menarik dan menyerookan.
Sesi yang seterusnya ialah perkongsian dilakukan oleh Cikgu Wong Kung Kui yang berkaitan dengan “Pekerjaan Roh Kudus”.
Pada keesokan hari, kami mulakan hari baru dengan saat teduh yang dipimpin oleh saudara Arin Manja. Sesi seterusnya telah dikongsikan oleh Cikgu Charles Ling yang bertemakan “Bagaimana dipenuhi Roh Kudus?” Penceramah menjemput para peserta kem untuk membuka hati dan berdoa untuk dipenuhi Roh Kudus agar Tuhan dapat bekerja dalam kehidupan mereka masingmasing.
Pada hari yang terakhir, kami berpeluang melakukan perkongsian pengalaman kami semasa menyertai kem Youth Alpha ini.
Salah satu perkongsiannya adalah melalui saudara Roger yang mula menyedari bahawa Tuhan sekarang telah menunjukkan penyelamatan kepadanya bersama rakan-rakannya. Beliau berkata,
“Pada mulanya saya hanya datang ke gereja disebabkan ajakan rakan saya dari gereja ini. Setelah saya mula menyedari bahawa Yesus merupakan satu-satunya jalan penyelamatan. Saya mula berfikir dan saya telah membuat keputusan untuk mengenali Yesus dan menerima penyelamatan-Nya. Saya telah mengajak rakan-rakan saya yang lain agar mereka dapat menyertai kem ini. Melalui kem seperti ini mereka juga akan dapat mengenali Yesus dan saya juga turut dapat mengenali-Nya dengan lebih mendalam.”
Saudari Sabrina selaku Pengerusi, berkata,
“Sebelum kem ini dianjurkan, saya mempunyai banyak pergumulan kerana terdapat pelbagai masalah yang harus saya selesaikan dan pada masa yang sama saya harus memikirkan STPM yang semakin hampir. Saya hampir berputus asa dan berasa begitu tertekan. Saya berasa agak kecewa kerana pada mulanya peserta yang mendaftar hanya beberapa orang. Saya mula berkata Kepada Tuhan ‘sekiranya hanya belasan orang peserta yang mengikuti kem ini, saya akan membatalkan kem tersebut dan akan berhenti menjadi pengerusi kerana saya tidak sanggup untuk menghadapinya tetapi sekiranya Engkau turut bekerja dan memberi kami sejumlah muda/i yang mencapai sasaran kami, saya akan terus melayani Engkau untuk menjadi seorang pengerusi muda/i. Tuhan telah menyatakan janjinya, Dia telah memberikan sejumlah muda/i yang lebih daripada sasaran yang kami jangkakan. Dia juga turut mencukupkan setiap keperluan kami sepanjang kem tersebut. Saya berasa sangat bersyukur kerana Tuhan Tidak pernah lupakan kita yang meminta daripada-Nya.”
Cynthia Herisson & Juliza Bali
Youth Alpha Weekend away GMT 2016