Kami sangat bersyukur kerana dengan Anugerah Tuhan kami Yesus Kristus, memimpin pelayanan Lawas Care Center (LCC) setakat ini dengan baik. Semua anak-anak kami yang berjumlah 20 orang pada tahun ini tetap hadir ke sekolah dan juga sedia tinggal bersama di pusat jagaan kami meskipun harus berpisah dan berada jauh dari keluarga mereka. Kesedaran untuk belajar mendorong mereka kembali lagi ke pusat jagaan pada semester kedua ini. Puji Tuhan!
Pada tahun ini semua tenaga penjaga di LCC telah menyusun beberapa kegiatan rohani bagi mendedahkan anak-anak kami kepada kehidupan Kristian yang berdisiplin dan mengenali Yesus Kristus sebagai Juruselamat. Kegiatan tersebut melibatkan semua anak-anak dari usia kanakkanak sehingga remaja. Sebahagian aktiviti dilaksanakan di pusat jagaan dan juga di luar, di gereja.
Kegiatan dalaman
1. Renungan Singkat: Renungan singkat diadakan selama 15 minit sebelum masa belajar malam. Renungan singkat dipimpin oleh Pastor Pelipus dan isterinya. Dalam renungan telah memberi kesedaran kepada anak-anak tentang betapa pentingnya mereka menerima TuhanYesus menjadi Juruselamat secara peribadi. Hanya atas kehadiran Kristus dalam hati boleh membawa perubahan dalam kehidupan setiap orang. Dalam kegiatan ini anak-anak diwajibkan untuk membaca Alkitab secara bergilir-gilir dan merenungkan Firman Tuhan.
2. Latihan koir dan muzik: Latihan koir dan muzik dilaksanakan pada setiap malam hari Khamis. Latihan ini memberi peluang kepada anakanak mengenali karunia yang diberikan Tuhan kepada mereka. Dengan adanya latihan ini juga untuk mempersiapkan anak-anak di pusat jagaan dapat mempersembahkan beberapa pujian semasa mengadakan lawatan dan kebaktian bersama di beberapa gereja yang kami lawati
3. Meraikan Hari Jadi: Anak-anak diajar tentang kuasa dan kasih Tuhan yang telah menciptakan mereka untuk menjadi manusia yang istimewa di hadapan Tuhan. Dengan kegiatan ini, mereka diajar agar menggunakan hidup mereka untuk memuliakan Tuhan dan menghargai karunia Tuhan kepada mereka. Bahkan mereka boleh menghargai atau berterima kasih kepada ibubapa mereka yang telah melahirkan dan memelihara mereka selama ini.
Kegiatan di luar
1. Mengikuti kegiatan di gereja:
Pada setiap malam hari Jumaat remaja melibatkan diri dalam kebaktianRemaja dan Pemuda Pemudi di BEM Bandar Lawas. Sedangkan anak-anak kecil diberi pendidikan Kristian dalam Kebaktian Kanak-Kanak yang diajar oleh guru-guru dalam pelayanan Kanak-kanak pada pagi hari Ahad. Anak-anak bersama keluarga Pastor beribadah hari minggu dalam Ibadah Raya di BEM Bandar Lawas setiap hari Ahad/minggu.
2. Mengadakan lawatan dan Kebaktian bersama di luar: Pada semester pertama, anak-anak jagaan kami telah mengadakan lawatan sambil belajar di SIB Baru Jumpa Tenom, Sabah. Kehadiran anak-anak kami telah menarik perhatian jemaat di sana dan mereka sangat berharap agar anak-anak kami akan datang lagi. Selain beribadah dalam gereja BEM Bandar Lawas anak-anak juga dibawa untuk beribadah di gereja yang lain seperti di BEM Long Tuma, Lawas. Kegiatan ini dilakukan untuk memperkenalkan LCC khususnya bagi anak-anak Suku Penan yang merupakan salah satu suku yang unik di negeri Sarawak.
Untuk memulakan sesuatu yang baru bukanlah mudah. Untuk menciptakan suatu perubahan pasti menghadapi pelbagai cabaran. Walaupun tidak banyak perubahan yang kami lihat namun sedikit perubahan dalam diri mereka merupakan satu titik terang yang menjadi harapan agar kami tidak akan berputus asa dan kecewa.
Adalah menjadi harapan kami bersama melalui usaha dan doa agar generasi ini dapat mengalami perubahan yang menyenangkan hati Bapa di Syurga. Bahkan generasi ini boleh berdiri setanding dengan beberapa suku yang lain pada masa depan ini. Marilah tetap mendokong kami baik sebagai tenaga penjaga dan seluruh anak-anak jagaan LCC agar tetap bersemangat mencapai matlamat Tuhan dan gereja. Sehingga akhirnya kami menuai dengan bersorak sorai. (Mazmur 126:5-6) AMIN.
Ps. Aminah Sapat
Guru Rohani dan Tukang Masak,
LCC, Lawas