Secara peribadi bagi saya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan masa yang diberikan Tuhan kepada saya untuk merenungkan dan mengaplikasikan apa-apa yang sudah saya dengar dalam Pastor School’s cum Family Discipleship pada 2-5 Mac yang lalu iaitu beberapa hari sebelum PKP diumumkan oleh pihak kerajaan bagi memutuskan rantaian covid-19 yang meragut ribuan nyawa. Saya sangat dicabar oleh Tuhan untuk membuat sesuatu bagi keluarga saya. Inilah masanya!
Pada 15 Mac (Ahad) merupakan kebaktian yang terakhir hingga pada saat ini selepas PKP diumumkan bermula 18 Mac.
Selama bertahun-tahun, datang ke gereja pada hari minggu merupakan kebiasaan yang sudah dilakukan dalam keluarga saya sehingga saya menjadi seorang hamba Tuhan sepenuh masa, kebiasaan ini masih diteruskan dengan tanggungjawab yang lebih penting iaitu berkhutbah, mengajar kelas-kelas yang diadakan pada hari minggu, pertemuan dengan Jemaah dan banyak lagi.
Menjadi seorang hamba Tuhan bukan hanya pada hari minggu sahaja, bahkan pada hari Selasa sehingga Sabtu juga banyak pelayanan yang perlu dilakukan seperti Komsel, Kelas Murid, Top 1, Kelompok Muda Mudi & Wanita dan sebagainya. Hari-hari dalam hidup saya kebanyakan dihabiskan dengan melakukan perkara itu setiap hari sehingga menjadi norma hidup yang biasa. Namun sejak PKP diumumkan, semuanya itu terhenti seketika entah sampai bila-bila. Segala kesibukan membuat persiapan pelayanan kelihatan semakin surut dan masa yang terluang semakin banyak. Dalam masa terluang itulah Tuhan berbicara kepada saya untuk melakukan sesuatu untuk keluarga saya. Mengatur Mezbah bersama keluarga semula, aktiviti kekeluargaan yang telah pudar selama ini dek kerana kesibukan.
Sebagai gembala, jujur saja PKP ini juga banyak menimbulkan kekhuatiran dalam diri saya terhadap Jemaah. Bagaimana keadaan mereka kalau tidak ke gereja, tidak mengikuti kelompok sel, tiada persekutuan muda mudi, tiada sekolah minggu, tiada kelas-kelas pemuridan dan pelayanan lainnya? Renungan pagi yang selalu saya hantar kepada jemaah melalui kumpulan WhatApps tetap dilakukan. Puji Tuhan dengan adanya teknologi, boleh dikirakan 60% Jemaah dapat mengikuti kebaktian umum secara langsung yang diadakan di Gereja Masland dan yang lainnya tidak dapat sebab tidak memiliki telefon bimbit canggih, masalah talian Internet dan ada juga yang balik ke kampung.
Kalau itu adalah tentang saya, maksud saya cerita Tuhan dalam kisah saya, sekarang adalah tentang pelayanan sepanjang PKP. Selepas PKP diumumkan, kami mendapati bahawa terdapat keluarga-keluarga Jemaah yang bergaji harian mungkin menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, pihak gereja kami telah mengambil peluang ini untuk membantu jemaah dari segi keperluan makanan. Pelayanan BM gereja kami sangat bersyukur kerana berkat daripada ramai jemaah dari bahagian bahasa cina yang melihat keperluan ini sehingga mereka membantu dari segi kewangan, menderma beras dan sebagainya.
Sampai pada hari ini sebanyak 7 kali bantuan makanan yang sudah diberikan kepada semua jemaah. Pada mulanya, kami hanya memberi kepada 70 buah keluarga jemaah dan pada akhirnya kami telah memberi bantuan kepada 234 buah keluarga termasuk bukan jemaah. Kami berbual-bual sesama barisan pemimpin gereja bahawa memberikan bantuan kepada mereka bukan untuk mengumpan mereka datang ke gereja tetapi kerana itu merupakan tanggungjawab kami kepada semua orang di dunia ini tidak kira orang percaya atau bukan.
Hal ini mengingatkan saya kepada satu ayat dalam Matius 5:46-48 yang berbunyi: “Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.”
Bukan setakat memenuhi keperluan jemaah secara jasmani, kami juga perlu berfikir untuk memastikan setiap jemaah memperoleh kepenuhan secara rohani. Oleh itu, Kelas Murid (Merah), komsel masih dapat dijalankan melalui aplikasi ‘ZOOM’ dan ‘WhatApps voice’. Kuiz Alkitab, bahan doa, menyalin Alkitab dan renungan harian juga masih dapat disalurkan kepada jemaah pada musim PKP ini dan mendapat respons serta penglibatan yang aktif daripada jemaah. Kalau selama ini setiap kali kami mengadakan lawatan kami hanya boleh pergi kepada 4-5 buah keluarga setiap kali lawatan tetapi kali ini sangat luar biasa apabila melalui pengagihan bantuan makanan kami dapat melawat semua jemaah sekali gus dan dapat menyalurkan Injil serta kasih Tuhan kepada yang belum percaya Tuhan juga. Luar biasa rencana Allah.
Perkara yang saya lihat selama musim PKP ini, semuanya berbalik kepada pentingnya mezbah keluarga dan hubungan peribadi dengan Tuhan secara peribadi. Pada saat seperti ini, kita dapat melihat sejauh mana kita memandang penting mezbah bersama keluarga dan hubungan peribadi kita sendiri dengan Tuhan dan bukan hanya menghadirkan diri ke gereja untuk kebaktian dan pelayanan. Kiranya cerita Tuhan dalam cerita pelayanan kami sepanjang PKP memberkati kita semua.