Saya dibaptis ketika saya masih kecil lagi. Bermula saya dibaptis, saya terus dibawa sembahyang setiap kali pastor datang ke rumah panjang kami. Tetapi saya hanya tahu ikut sembahyang sahaja. Saya tidak tahu tujuan saya harus sembahyang waktu itu.
Setelah itu, saya mendirikan rumah tangga dan mempunyai 3 orang anak tetapi saya masih tidak tahu arah tujuan saya. Sampai pada suatu saat, jemaah gereja ini iaitu jemaah cina, mengajak saya beribadah di Gereja ini. Jemaah tersebut merupakan rakan sekerja saya.
Kali pertama saya datang ke gereja ini ialah pada Hari Pribumi tahun 2010. Bermula pada tahun tersebut saya dan anak saya turun beribadah setiap minggu. Kami juga melayani bersama-sama. Selepas saya melayani di sini, baru saya tahu Tuhan Yesus yang disembah selama ini. Selepas saya mengenali Tuhan, saya merasa damai sejahtera dan sukacita. Kehidupan kami sekeluarga jauh berubah setelah kami kenal dan percaya kepada Tuhan Yesus. Saya sangat bersyukur kerana dulu saya bersama anak perempuan dan anak lelaki bongsu saya bersama saya ke gereja. Kini, anak sulung saya dan isterinya juga bersama dengan kami di gereja.
Kami amat bersyukur kerana Tuhan mempersatukan kami sekeluarga dengan kasih Tuhan. Kami juga percaya Tuhan sentiasa mendengar doa setiap kita walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan. Tetapi Tuhan selalu bersama dengan kita semua.
Kini, dalam keluarga hanya suami saya sahaja yang tidak bersama kami ke gereja. Namun begitu dia tidak pernah menghalang kami ke gereja. Dia percaya Tuhan Yesus itu ada, cuma dia belum pernah bersama kami ke gereja. Mohon doa kalian agar pintu hati suami saya terbuka untuk bersama kami melayani dan datang ke gereja. Sekian saja kesaksian saya, terima kasih dan Tuhan Memberkati.
Bermas Ak Ngaoh
Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu