Pelayanan muda-mudi di City Mall Preaching Centre, Kuching bermula pada 06 Ogos, 2017. Pelayanan ini dimulakan kerana kebanyakan jemaah yang menghadiri kebaktian adalah pemuda-pemudi. Oleh sebab itu, untuk membangun dan meningkatkan pelayanan mereka lagi maka persekutuan pemuda-pemudi perlu diadakan. Perjumpaan pemuda-pemudi yang pertama dipimpin oleh Pr Patrick. Fokus utama pelayanan ini adalah untuk membentuk anak-anak muda agar pada hari akan datang mereka akan menjadi pemimpin.
Pelayanan Bahasa Malaysia (PBM ) City Mall bermula di rumah jemaah gereja yang dihadiri oleh beberapa orang anak kecil dan orang dewasa. Setelah berpindah ke bangunan gereja, kehadiran anak-anak muda menjadi semakin meningkat sehingga 20 orang. Oleh sebab kehadiran anak-anak muda ini maka perlulah diadakan satu perjumpaan khas untuk mereka agar mereka dapat dilayani dengan baik dan dibentuk menjadi pemimpin gereja. Dengan itu komiti penyelaras pelayanan BM City Mall membentuk sebuah komiti khusus untuk muda-mudi yang dipimpin oleh saudari Sherlyn. Walaupun usia saudari Sherlyn sangat muda namun kualiti kepimpinannya sangat baik. Dia memiliki kekuatan yang sangat luar biasa dalam menggabungkan semua muda-mudi bersama-sama malah menarik anak-anak muda yang lain untuk datang ke gereja.
Selain kebolehan yang miliki oleh saudari Sherlyn, dia juga mudah bergaul dan senang untuk menerima nasihat dan tunjuk ajar daripada pemimpin gereja. Apa yang lebih, kebanyakan anak muda yang hadir di persekutuan muda-mudi ini adalah perempuan. Mereka sangat berkurnia dalam menyanyi dan bermain alat muzik. Persekutuan muda-mudi diadakan setiap hari Ahad selepas kebaktian umum iaitu pukul 5:30-6:00 petang.
Setelah beberapa bulan mengadakan perjumpaan, satu perbincangan telah diadakan untuk mengadakan Minggu Muda-mudi. Walaupun mereka belum pernah mengadakan Minggu Muda-mudi tetapi semangat yang dimiliki mereka telah mendorong mereka untuk mengadakannya. Dengan persiapan yang sederhana mereka telah melaksanakan Minggu Muda-mudi yang ditetapkan pada 29 Oktober 2017 dengan sangat baik. kehadiran anak muda City Mall yang seramai 21 orang sudah cukup untuk mendorong semua yang hadir. Bagi kami ini merupakan satu permulaan yang sangat baik dan sangat mendorongkan. Dengan berkat doa, semua orang yang hadir diberkati dan disentuh.
Secara lazimnya semua acara Kebaktian Minggu Muda-mudi dikendalikan oleh semua anak-anak muda. Pengacara kebaktian dipimpin oleh saudari Felanina, yang memimpin pujian dan penyembahan oleh saudari Naveeda dan perkongsian oleh saudari Tania dan kesaksian peribadi oleh saudri Naveeda.
Daripada perkongsian mereka, kita boleh melihat kebaikan dan anugerah Tuhan yang sungguh luar biasa dalam kehidupan mereka. Kasih mereka kepada Tuhan sangat dalam dan kuat, hidup mereka diubah oleh Tuhan dalam masa yang sangat singkat. Walaupun kebanyakan ahli keluarga mereka belum lagi datang ke gereja tetapi mereka tetap bersemangat untuk melayani Tuhan. Mereka memberikan hidup mereka sepenuhnya untuk melayani Tuhan. Cabaran hidup yang dihadapi mereka tidak dapat menggugat hubungan mereka dengan Tuhan. Semuanya menjadi kekuatan bagi mereka sebab melalui semuanya mereka dapat melihat kuasa Tuhan.
Oleh itu, marilah kita terus berdoa untuk kehidupan mereka agar Tuhan terus memakai hidup mereka untuk menyentuh muda-mudi yang lain.