Brendstein Kulleh
Saya mengucapkan syukur kepada Tuhan dan beterima kasih kerana berkesempatan untuk belajar di MTS. Selama empat tahun belajar di sini, saya merasakan sangat diberkati sekali dan penuh dengan suka cita. Di MTS, saya dibentuk, diajar dan dilatih untuk menjadi hamba Tuhan yang menyenangkan hatiNYa. Saya juga mengenali ramai rakan yang berlainan bangsa dan latarbelakang khususnya pelajar Cina. Pembelajaran di MTS mengajar saya erti kehidupan sebagai seorang Kristian yang matang. Kasih sayang dan layanan yang diterima di MTS menjadi sebuah pengelaman yang terindah dan yang teristimewa bagi saya.

Johaness Nyambang Ak Sim
Saya mulakan kesaksian saya di MTS bermula dari mengikuti STMS Iban pada tahun 2015. Panggilan saya ingin menjadi pengembala atau melayani Tuhan sepenuh masa bermula semasa saya menyertai STMS Iban. Selepas itu saya terus menyerahkan diri untuk menjadi pelajar sepenuh masa di MTS pada tahun 2016.

Banyak pekara yang menyentuh hati saya semasa belajar di MTS. Salah satu yang banyak membantu saya dalam pertumbuhan rohani ialah doa pagi. Doa pagi bukan sahaja membantu saya lebih merapatkan hubungan saya dengan Tuhan tetapi juga membantu saya semakin baik dalam berkhutbah.

Di MTS, saya juga belajar melalui praktikal pada hujung minggu dan juga pada hujung tahun. Praktikal membantu saya untuk bersedia dalam pelayanan yang sepenuh masa. Saya juga bermanfaat daripada ilmu-ilmu pengetahuan yang diajarkan oleh pensyarah.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pensyarah dan rakan-rakan di MTS yang membantu saya dari segi kewangan, pelajaran, praktikal dan sebagainya. Ayat Alkitab yang menjadi pedoman dalam hidup saya ialah “Sebab itu pergilah kepada segala bangsa di seluruh dunia, jadikanlah mereka pengikut-pengikut-Ku. Baptiskan mereka dengan menyebut nama Bapa, dan Anak, dan Roh Allah. Ajarkan mereka mentaati semua yang sudah Kuperintahkan kepadamu. Dan ingatlah Aku akan selalu menyertai kalian sampai akhir zaman.”Matius 28:19‭-‬20

Dollen Ijok Brayan
Sepanjang saya di MTS, banyak perkara yang dapat saya pelajari, walaupun ada kalanya susah dan menyakitkan. Saya juga merasakan Tuhan membentuk dan mengubah diri saya menjadi baru, terutamanya dalam kehidupan rohani saya. Saya berharap apa yang saya sudah pelajari dan hadapi disini akan dapat saya mempraktikannya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah yang banyak mengajar dan memberi bimbingan, di dalam kelas atau diluar kelas. Terima kasih juga kepada kawan-kawan dan kakitangan di MTS, kerana banyak menolong dan mendorong saya. Semua itu oleh kerana kasih Tuhan di antara hubungan kita. Yang selebihnya saya serahkan kepada Tuhan, hanya Dia sahaja yang dapat mengerti akan semua yang kita rasakan dalam pengumulan kita. Sikap dan cara manusia dalam tindakan memang tidak sama, tapi satu perkara yang harus kita tahu tentang hal ini, iaitu tujuannya cuma satu mahu menuju kebenaran dalam Kristus. Seperti Firman-Nya yang ada mengatakan di (Yohanes 14:6) –Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.”

Danny Janti Anak Belawan
Di sini saya ingin memberi satu perhargaan besar kepada MTS kerana memberi peluang saya belajar disini. Syukur kepada TUHAN juga kerana telah membimbing saya menghabiskan pelajaran saya disini. Secara jujurnya sebelum saya masuk ke MTS, rohani dan ilmu teologi saya memang lemah. Tetapi semua itu telah berubah setelah saya menghabiskan pelajaran saya disini. Pensyarah disini juga banyak membantu saya untuk memahami tentang Firman TUHAN.

Perkara lain yang saya dapat belajar disini adalah bergaul dengan pelajar-pelajar lain yang ada panggilan untuk menjadi pengembala TUHAN. Ini adalah satu keunikan di MTS kerana saya boleh berbincang tentang Firman TUHAN tanpa ada rasa serba salah. Walaupun tidak sekelas dengan mereka, ada juga pelajar yang berbangsa lain dan berasal daripada negara lain, tetapi kami boleh berbual dan berkongsikan pengalaman antara satu sama lain. Ini adalah perkara yang sangat bernilai bagi saya.

Mungkin kadang-kala ada perselisihan faham antara saya dengan pelajar lain, tetapi ianya juga merupakan satu pengalaman dan pembelajaran bagi saya terutamanya apabila saya bekerjasama dengan orang lain yang berbezanya bangsa dan budaya. Dalam masa yang sama, saya cuba belajar bagaimana mengawal perasaan dan selalu merendahkan diri dengan pelajar-pelajar yang lain. Seperti ajaran di Amsal 3:5-6, “Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu.”