Selama berpuluh-puluh tahun sebagai Kristian, inilah kali pertama saya menyertai konvensyen doa yang beribu orang ramainya. Dalam fikiran saya, konvensyen ini setakat sesi ceramah dan doa sahaja. Puji Tuhan! Semasa saya mengikuti konvensyen doa ini, saya begitu menikmatinya melalui perkongsian topik-topik ceramah dan saling mendoakan sehingga tidak terasa masa berlalu dengan begitu cepat sekali, lupa akan semua kesibukan perkerjaan dan kehidupan seharian.

Antara mesej yang menyentuh dan menusuk hati saya adalah seperti berikut:
1. Doa itu tidak ada tarikh luput. Kita ini sebagai Iman, haruslah sentiasa berdoa kerana doa itu berkat.
2. Kita harus berdoa seperti Nabi Nehemia, sentiasa berdoa dan berdoa berpuasa. Melalui doalah kita boleh mendapat kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup.
3. Sebagai murid Yesus, kita mesti mengikuti langkah Yesus Kristus, kita harus mengutamakan Tuhan, harus sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan Tuhan, iaitu berdoa.
4. Kita harus mencontohi rasul Paulus, sentiasa berdoa menangis di kaki Tuhan demi gereja.
5. Berdoa dalam nama Tuhan Yesus Kristus adalah begitu besar kuasanya. Allah adalah Bapa Syurgawi kita dan kita adalah anak-Nya, kita boleh ber
doa dan meminta daripada-Nya apa-apa saja yang kita perlukan.
6. Doa menyatupadukan semua Kristian di Malaysia.

Pada hari terakhir konvensyen doa ini, saya berpeluang mengikuti kebaktian bersama lebih daripada 5,000 orang. Keadaan itu seolah-olah berada di syurga yang penuh dengan suara pujian beramai-ramai.

Akhir sekali, saya sangat bersyukur dapat mengikuti MPC ini dan berharap saya akan lebih rajin berdoa dalam kehidupan seharian saya.

Oleh Wong Ai Ming
Gereja Methodist Gloria, Bintulu