Saya dan kumpulan pelayanan dari Gereja Xin Fu Yuan telah mengikuti Misi Jangka Pendek Ke Batang Igan, Sibu, pada 22 – 23 September 2018 yang lalu. Inilah pertama kali saya mengikuti misi ini. Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang melayani bangsa saya sendiri iaitu orang Iban. Saya melihat keperluan mereka melalui pimpinan Roh Kudus Tuhan. Saya dapat merasakan lawatan Tuhan sepanjang pelayanan misi kami di sana.

Penduduk rumah panjang amat memerlukan Tuhan, mereka kelihatan begitu haus akan Firman Tuhan. Kedatangan kami di sana diterima dengan tangan yang terbuka. Saya banyak belajar cara sebenarnya membantu mereka. Kita memerlukan penuai/hamba Tuhan yang benar-benar mempunyai hati untuk membawa domba yang telah lama sesat kembali kepada Tuhan. Mohonlah kepada Tuhan agar Tuhan menempatkan hamba Tuhan lebih banyak lagi untuk melayani jemaah rumah panjang di Batang Igan. Marilah kita sama-sama berdoa agar Tuhan terus melawat jemaah di rumah panjang Batang Igan dan membangkitkan mereka. Tuhan memberkati.

Oleh Christina Nawi Anak Kantan
Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu

Sehari sebelum kami bertolak ke Batang Igan, saya sangat teruja sehingga saya menghadapi kesukaran untuk tidur. Saya cuba untuk tidur awal kerana saya takut lewat bangun pada keesokan hari. Walaupun saya tidur lewat, puji Tuhan, saya dapat bangun pada pukul 4 pagi. Setelah saya bangun, saya terus memanaskan 25 biji pau untuk sarapan semua orang.

Pada hari pertama di rumah panjang Batang Igan, saya memang sangat teruja untuk melayani, ada juga perasaan takut; takut tidak diterima atau dilayan oleh penduduk di sana. Tetapi puji Tuhan semuanya berjalan dengan lancar. Selain itu, ini ialah kali pertama saya membuat kesaksian di hadapan orang ramai tentang Tuhan Yesus.

Kami pergi ke 3 buah rumah panjang. Di rumah panjang yang ketiga juga, saya berpeluang untuk memancing. Sudah sekian lama saya berada di bandar, saya lama tidak memancing. Pada sebelah malam, saya juga pertama kali mandi sendiri di tempat yang gelap yang bercahayakan bulan pada malam itu.

Pada hari yang kedua, saya, Emylyia dan Rev Layam pergi ke kampung orang Melanau. Kami telah membuat kebaktian di sana. Setibanya kami di sana, kami pergi ke sebuah gereja yg lama sudah tidak dikunjungi oleh penduduk di sana, gereja itu sangat kotor dan banyak benda yang sudah rosak. Selepas itu, kami melawat ke rumah seorang nenek yang sedang sakit. Nenek itu sakit tenat sekali dan dia tidak mempunyai suami begitu juga anak-anak.

Dalam misi ini, saya belajar mengenai banyak perkara, sehinggakan ini membuatkan saya berhasrat untuk pergi lagi buat kali kedua.

Oleh Alexiush Duat, Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu

Pelayanan kali ini adalah kali kedua saya menyertai Misi Jangka Pendek Batang Igan. Pada mulanya, saya mempunyai satu persoalan, iaitu dalam banyak orang kenapa saya dan rakan-rakan saya yang terpilih dan rela hati untuk melayani di Batang Igan? Saya bersyukur Tuhan membuka hati saya untuk menyertai misi tersebut.

Melayani Orang Iban di kampung Batang Igan bukan sesuatu yang mudah. Kami terpaksa menggunakan bot ke sana. Cabaran pertama kami ialah, masa kami untuk bersama dengan mereka di sana terhad kerana kami perlu pergi ke beberapa buah rumah panjang. Bersyukur, penduduk kampung di sana menyambut baik kedatangan kami yang membawa berita baik kepada mereka. Tuhan sangat baik dan menjaga penduduk kampung dengan baik sekali. Dahulunya, penduduk kampung tidak mempunyai elektrik tetapi kali kedua saya ke sana, mereka sudah ada dibekal dengan bekalan elektrik.

Walaupun mereka tinggal jauh dari bandar, mereka tetap dijaga oleh Tuhan, buktinya, mereka masih dapat mencari ikan dan udang di sungai. Sedangkan kita di bandar perlu membeli ikan dan udang tetapi mereka boleh mendapatkannnya dengan mudah. Walaupun tempat mereka dan kita berbeza, Tuhan tetap memberkati kita dan menyayangi kita tanpa batas.

Puji Tuhan! Tuhan memberikan kita jalan dan kehidupan yang benar. Semoga kita semua terus percaya dan setia kepada Yesus.

Oleh Emylyia Francisca
Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu