Pendahuluan
Hari Gawai ialah perayaan dirayakan oleh suku kaum Dayak secara besar-besaran dan meriah. Gawai ialah bahasa asli yang bermaksud “pesta”. Hari Gawai dalam pemahaman suku Dayak ialah Pesta Tahun Baru, bermula dengan malam 31hb Mei (“ambil air pengayu” yang menandakan panjang umur, sihat dan makmur). 1hb Jun merupakan Hari Gawai yang pertama. Perayaan Gawai akan berlangsung menurut keadaan rumah panjang masing-masing. Ada yang menyambut selama seminggu, ada yang selama 15 hari, dan yang paling lama sambutan perayaan Gawai ialah kira-kira 30 hari / 1 bulan. Walaupun demikian, perayaan Gawai pasti akan ditutup dengan satu perayaan yang dipanggil “Ngiling Bidai”.

“Ngiling” bermaksud “gulung” dan “Bidai” ialah “tikar”, dengan kata lain Ngiling Bidai dalam itu maknanya Gulung Tikar. Ini amat berkaitan dengan adam resam dan budaya suku kaum Dayak. Ketika perayaan Gawai bermula, setiap keluarga atau bilik akan membentangkan tikar untuk menyambut tetamu ke tempat mereka untuk meraikan bersama-sama. Dengan upacara Ngiling Bidai iaitu gulung tikar ia bermaksud perayaan tersebut sudah berakhir dan semua orang harus kembali ke tempat masing-masing untuk memulakan pekerjaan mereka. Biasanya selepas Ngiling Bidai, maka mulalah musim menanam atau biasanya dipanggil “Bumai”.

Dengan kata lain, Gawai ialah sambutan Tahun Yang Baharu selepas musim menuai. Ngiling Bidai ialah penutup bagi Gawai dan juga permulaan bagi musim menanam. Keadaan ini akan berlangsung tahun demi tahun dan menjadi adat kebiasaan bagi suku kaum Dayak. Jadi perayaan Ngiling Bidai atau penutupan Gawai ialah masa di mana kita semua boleh “MULA BARU”.

Isi Kandungan
Untuk “MULA BARU” terlebih dahulu kita harus mengenalpastikan siapakah yang akan bertakhta dalam hidup kita. Amsal 3:5 berkata “Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri.” Ayat ini jelas memberitahu bahawa untuk “MULA BARU”, kuncinya ialah kita harus “PERCAYA”. Tanpa percaya semuanya sia-sia. Dengan percaya semua perkara tidak mustahil kerana Allah yang kita sembah ialah Allah yang Maha Kuasa, langit dan bumi
adalah di bawah tahkta kerajaan-Nya.

Percaya di sini bukanlah percaya sembarangan, tapi “PERCAYA kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan tidak bergantung kepada pengertian sendiri.” Manusia seringkali lebih suka bergantung kepada kekuatan sendiri daripada percaya kepada TUHAN. Manusia lebih suka bergumul sendiri, menggunakan cara sendiri, ikut hati sendiri, ikut kawan, ikut keadaan daripada “PERCAYA sepenuhnya kepada TUHAN”.

Cuba renungkan:
Apabila kita menghadapi cabaran hidup, siapakah yang kita selalu harapkan?

Apabila kita menghadapi kegawatan ekonomi, siapakah yang kita cari dulu?

Apabila kita dalam persimpangan jalan untuk membuat pilihan, siapakah yang kita ingat dahulu?

Amsal 3:6a berkata, “Ingatlah akan TUHAN dalam segala perbuatanmu.” Untuk “MULA BARU” selain daripada PERCAYA, kita juga harus “BERHARAP”. Setakat percaya kepada TUHAN adalah tidak mencukupi, kita haruslah “BERHARAP” kepada-Nya. Berharap bermaksud sangat bergantung kepada TUHAN: TUHANlah yang menentukan jalan hidup dan TUHANlah yang mengendalikan segala sesuatu.

Jadi, untuk “BERHARAP” kepada Tuhan, haruslah ingat akan TUHAN dalam segala perbuatan kita. Ketika berharap kepada TUHAN, Amsal 3:6b berkata: “dan Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepadamu.” Dengan kata lain, cara hidup yang baik hanya akan ditunjukkan apabila kita BERHARAP kepada TUHAN. Dengan BERHARAP, kita akan mempunyai cara hidup yang baik.

Selain “BERHARAP” haruslah juga “TAAT” dan “SETIA”. Amsal 3:7 berkata, “Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya. Taatlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan.” Ketergantungan manusia kepada TUHAN haruslah disusuli dengan ketaatan. Ketaatan haruslah juga disertai dengan kesetiaan. Tanpa “TAAT” sukar untuk mempertahankan “BERHARAP” kepada TUHAN. Tanpa “SETIA”, ketaatan hanya bertahan sementara sahaja.

Untuk “TAAT” kita haruslah sentiasa sedar diri dan jangan memandai-mandai. Ayat 7a: “Jangan anggap dirimu lebih bijaksana daripada yang sebenarnya”, ini bermaksud jangan memandai-mandai. Haruslah seperti resmi padi, “semakin berisi semakin tunduk”. Ketaatan boleh ditonjolkan melalui kerendahan hati. Dengan kerendahan hati, kita akan semakin berharap kepada TUHAN.

“TAAT” tanpa “SETIA” itu akan membawa “BERHARAP” menjadi sementara. Jadi, “TAAT” harus disertai dengan kesetiaan. Untuk kita terus setia ayat 7c: “jauhilah kejahatan.” Dalam Doa Bapa Kami, Tuhan Yesus juga mengajar kita “Janganlah membawa kami ke dalam pencubaan. Tetapi lepaskanlah kami daripada yang jahat.” Sekiranya tidak menjauhkan diri daripada kejahatan, kita bagaikan meletakkan diri kita di ambang bahaya atau di lubang singa yang kelaparan. Kejahatan akan menggoncangkan kesetiaan kita kepada TUHAN, jauhi kejahatan ialah mempertahankan kita untuk tetap setia.

Amsal 3:8, sebenarnya merupakan hasil daripada “TAAT” dan “SETIA”. “Perbuatanmu itu akan menjadi seperti ubat yang menyembuhkan lukamu dan menyegarkan badanmu.” Ketaatan dan kesetiaan akan menghasilkan penyembuhan dan kesegaran dalam hidup kita. Selain itu, ayat 9 berkata: “Hormatilah TUHAN dengan memberi Dia persembahan daripada harta benda dan hasil tanamanmu yang terbaik.”

Selain penyembuhan dan kesegaran dalam hidup, sebenarnya ayat 9 jelas mengajar kita untuk meresponi “PERCAYA”, “BERHARAP”, “TAAT” dan “SETIA” iaitu memberikan persembahan yang terbaik sebagai tanda hormat kepada TUHAN.

Berilah yang terbaik kepada TUHAN. Jangan kedekut dengan TUHAN. Kedekut dengan TUHAN bermaksud kedekut dengan berkat. Kita sebenarnya telah menghalang TUHAN melimpahi kita dengan berkat sekiranya tidak memberi atau berkira apabila memberi persembahan kepada TUHAN. Maleakhi 3:10 “Bawalah seluruh persepuluhan kamu ke Rumah-Ku supaya ada banyak makanan di sana. Ujilah Aku, maka kamu akan nampak Aku membuka tingkap-tingkap syurga dan melimpahi kamu dengan segala yang baik.” Dengan memberi persembahan kepada TUHAN, maka kita sebenarnya membenarkan TUHAN membuka tingkap-tingkap berkat syurgawi dan melimpahi kita.

Ayat 10 juga berkata, “Jika kamu berbuat demikian, gudang-gudangmu akan penuh dengan gandum, dan wain kamu akan berlimpah-limpah sehingga tidak cukup tempat untuk menyimpannya.” Dengan kata lain, dengan PERCAYA, BERHARAP, TAAT dan SETIA melalui persembahan, maka kita akan diberkati. Kita telah mengundang berkat TUHAN melimpahi kita.

Penutup
Sempena perayaan Ngiling Bidai, marilah kita semua MULA BARU pada tahun yang baru ini. Apabila Bidai / Tikar dingiling / digulung, kita menggulungkan dan melupakan semua yang sudah berlalu dan MULA BARU. Seperti yang dikatakan oleh Rasul Paulus dalam Filipi 3:13 “Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan”.

Untuk kita MULA BARU, marilah kita mengingati 5 langkah yang ditunjukkan di dalam Amsal 3:5-10 iaitu
1. PERCAYA
2. BERHARAP
3. TAAT
4. SETIA dan akhirnya
5. DIBERKATI.

Semoga Allah sentiasa merahmati semua agar kita sebetulnya mentaati firman-Nya dan berusaha gigih untuk memenangi Mahkota Kehidupan pada masa hadapan.

Oleh: Yiong Yai Ling
Pendeta di Gereja Methodist Gloria,
Bintulu