Kursus perkahwinan merupakan satu siri yang mengandungi tujuh sesi yang direka bentuk bagi membantu mana-mana pasangan suami isteri untuk memperkukuh hubungan mereka.

Tujuh sesi ini telah bermula dari 2 Mac sehingga 20 April 2018 yang diadakan di Gereja Methodist Mei Ann pada setiap hari Jumaat.

Pasangan suami isteri yang telah menjalani Latihan Fasilitator menjadi tunggak utama dalam menyampaikan sesi ini dengan penuh kreativiti dan dalam suasana yang sangat romantik.

Seramai 10 peserta yang telah berjaya menamatkan tujuh sesi dan hanya 8 peserta daripada mereka yang mengikuti Upacara Peneguhan Perkahwinan pada 29 April (Ahad) dengan dihadiri semua jemaah BM Daerah Miri (Gabungan).

Pastor Ladeq, pengkhutbah pada hari tersebut berkata “Untuk mengasihi sesama suami isteri, haruslah menggunakan kasih Agape yang mengasihi tanpa syarat, sanggup berkorban dan kasih kekal. Jika kita mengasihi dan mencintai dengan kasih kita sebagai manusia tidak mungkin akan kekal.”

Dengan meneladani kasih Yesus, kita pasti akan kekal di dalam perkahwinan”.

Meskipun sudah hampir 20 lebih tahun mendirikan rumah tangga, buta huruf bukanlah alasan bagi seorang peserta yang berjaya menghafal ikrar di hadapan suami tercinta dan ini suatu kesaksian yang sangat baik. Penerimaan peserta sangat positif terhadap kursus ini. Mereka mengatakan;-

“Sebuah keluarga harus mengutamakan Tuhan” – Hallan, Tudan

“Menyelesaikan masalah dengan cool & relax dan selalu minta maaf.” – Rozie, Gan En

“Berkomunikasi dengan baik. Mengalah bukan bererti takut, tetapi kerana hormat dan sayang isteri.” – Jimmy, Tudan

“Walaupun usia perkahwinan sudah lama, tetapi sangat baik untuk dihadiri pasangan yang baru atau lama.” – Janggok, Yi En

Oleh Pastor Susanty Kedal
Pelayanan Bm Gereja Methodist Mei Ann, Miri