Nama saya Rosnita anak Andrus. Saya berumur 18 tahun. Saya dilahirkan pada 3 Januari 2000 di hospital bahagian Limbang. Saya mempunyai 3 adik-beradik. Saya merupakan anak kedua dan mempunyai seorang abang dan adik. Sebenarnya saya mempunyai empat adik-beradik namun salah seorang adik saya diangkatkan oleh orang Cina semasa dia masih kecil. Bapa saya berbangsa bisaya dan ibu saya berbangsa bidayuh. Sebelum adik saya dilahirkan, ibubapa saya bercerai dan pada masa itu saya masih kecil. Dengan itu, kami harus mengikuti ibu kami untuk tinggal di kampung Merang Bedup. Seterusnya saya bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Bedup.

Walaupun saya menganggap diri saya seorang Kristian, dibaptis semasa umur 11 tahun dan setiap minggu pergi ke gereja serta mengikuti sekolah minggu namun saya belum mengenal Yesus secara peribadi bagi hidup saya. Saya hanyalah seorang Kristian kulit, tidak pandai berdoa dan sebagainya. Setiap minggu saya mengikuti ibu saya pergi ke gereja, semuanya hanyalah sebagai rutin kehidupan saya.

Pada pemikiran saya, mengikuti dan melakukan semua program gereja dan kegiatan yang ada saya pasti menjadi seorang Kristian yang sempurna. Ternyata semuanya tidak, sebab saya tidak pernah merasakan keindahannya menjadi pengikut Kristus yang sejati. Tetapi sewaktu saya mula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Serian, ibu saya memberitahu saya bahawa dia mahu berkahwin lagi, dan saya bersetuju, sebab dalam fikiran saya bahawa dia akan berkahwin dengan seorang Kristian namun tidak. Hati saya sangat kecewa pada saat itu.

Sewaktu saya masuk ke sekolah menengah, saya tinggal di asrama dan di sekolah saya mulai tertarik dengan seseorang yang menjadi kawan yang sangat rapat dengan saya. Dia seorang Kristian yang mempunyai pegangan sangat kuat. Pada satu hari, dia mengajak saya untuk mengikuti persekutuan pelajar Kristian (ISCF) dan saya pun mengikutnya pergi ke persekutuan tersebut. Saya sangat tertarik dengan khutbah cikgu yang mengajar pada masa itu, dengan penggunaan ayat-ayat Firman Tuhan tentang Yesus, membuatkan hati saya sangat rindu untuk mengenal Yesus lebih dalam lagi.

Secara perlahan-lahan, saya mulai mengerti dan mengenal Yesus bagi hidup saya. Sebab kerinduan hati saya pada masa itu adalah ingin mengenal Yesus yang sebenarnya. Setiap hari Jumaat selepas sesi sekolah tamat, saya akan pulang ke kampung. Sewaktu saya pulang kampung, nenek saya datang ke rumah untuk mengajak saya pindah sekolah ke Kuching. Namun saya menolak ajakan nenek saya untuk berpindah, sebab saya mahu mengenal Tuhan Yesus lebih dalam lagi di sekolah yang saya berada pada masa itu.

Apabila saya tamat tingkatan 1, sekali lagi nenek saya mengajak saya untuk berpindah. Akhirnya saya bersetuju untuk berpindah ke Kuching, sebab saya tidak mahu tinggal bersama-sama dengan ibu saya dan bapa tiri saya. Secara umum, kehidupan keluarga kami sesungguhnya berkucar-kacir kerana abang saya tidak mahu meneruskan persekolahannya lalu dia pergi ke Miri untuk bekerja. Manakala adik saya tinggal bersama-sama dengan nenek dan datuk saya.

Semasa tingkatan 2 saya berpindah sekolah ke Sekolah Menengah Batu Kawa, amat mengejutkan hati saya adalah Sekolah Menengah Batu Kawa memiliki persekutuan pelajar Kristian. Saya diajak oleh kawan-kawan saya untuk menghadiri perjumpaan ISCF bersama-sama. Melalui persekutuan ISCF saya mengenal Tuhan Yesus secara peribadi. Saya mulai memahami erti hidup dan Tuhan sangat luar biasa dalam setiap langkah hidup saya. Saya mulai boleh berdoa dan terlibat dalam pelayanan Tuhan.

Saya percaya bahawa Tuhan tidak pernah melepaskan tangan kita, Dia sentiasa bersama-sama kita dan sentiasa menolong kita. Kasih-Nya terhadap kita tidak akan berubah sekalipun keadaan sekeliling kita berubah. Keadaan hidup saya sekarang ini menjadi lebih bererti, walaupun ibu saya bercerai lagi. Namun hidup kami sekarang ini sangat baik, iaitu adik saya mula bersekolah dan kami hidup bersama-sama di Kuching dengan bahagia.

Rosnita Ak Andrus
Pemudi PBM City Mall, Kuching