Sejak kecil saya selalu memperhatikan cara seseorang individu mahupun satu keluarga Kristian menjalani kehidupan mereka sehari-harian mereka tidak kira situasi sukar, menakutkan, tanpa pengharapan ataupun yang menyenangkan. Melalui pengamatan saya, ada ramai Kristian yang menjalani kehidupan mereka tidak jauh beza dengan orang yang tidak percaya. Ramai kami yang Kristian dan keluarga kami Kristian meresponi situasi sukar dengan sikap marah, penolakan dan kepahitan, kekhuatiran, tertekan, hilang pengharapan dan akhirnya menyerah kalah kerana putus asa. Peribadi kami dan Institusi kekeluargaan kami begitu rapuh untuk mempertahankan cara hidup yang benar sebagai seorang Kristian apabila berhadapan dengan kemodenan, kebudayaan baru, kemiskinan, kekayaan dan juga kebudayaan lama kami.

Walaupun kami Kristian, kami tidak dapat membuat keputusan yang baik untuk peribadi kami dan keluarga kami. Ada bapa atau ibu yang sanggup meninggalkan keluarga mereka dan bercerai apabila keluarganya menghadapi masalah. Ada anak-anak mengambil jalan mudah dengan mengambil minuman keras, bergaduh, terlibat dalam masalah sosial sebagai jalan keluar dari masalah. Atau ada yang berjudi, menyabung ayam, pergi ke kelub-kelub malam untuk mencari hiburan. Seakan-akan semua orang berbuat apa-apa yang benar menurut pandangannya sendiri sebagai cara hidup sehari-harian mereka (Hakim-Hakim 17:6).

Namun ada juga golongan orang atau peribadi yang menjalani kehidupan seharian mereka sangat berbeza.

Dalam masa sukar, mereka tetap ada pengharapan dan tetap bertahan, mereka menjalani kehidupan yang baik dan kurang baik bersama keluarga. Mereka mengutamakan Tuhan lebih daripada wang, mereka melihat setiap ahli keluarga mereka penting dan sanggup berjuang untuk mempertahankan kesatuan dalam keluarga mereka. Situasi sukar yang dihadapi, mereka respon dengan matang, tenang tanpa berputus asa, Mereka berdiam dan menantikan pertolongan Tuhan dan apabila bantuan Tuhan datang, mereka akan mengucap syukur. Saya seringkali bertanya, “Apakah yang membuatkan mereka memiliki kekuatan untuk bertahan? Apakah yang menyebabkan iman mereka tahan diuji? Apa yang mereka ada tetapi saya tidak miliki?”

Persoalan ini seringkali muncul dalam fikiran saya. Saya ingin sekali mencari sebab orang ini dapat duduk tenang dalam perahu yang terumbang-ambing dipukul badai dan ribut taufan kehidupan (Markus 4:35-41). Mereka dapat mempertahankan komitmen yang tinggi sebagai seorang bapa, ibu dan anak bagi keluarga mereka. Akhirnya saya menemukan jawapan bagi persoalan saya apabila saya mengikuti Kelas Pemuridan Buku merah yang diadakan oleh Sarawak Chinese Annual Confrence (SCAC) Bahagian Bahasa Malaysia.

Melalui kelas ini saya mengetahui rahsia untuk seseorang dapat bertahan dalam kesukaran hidup dan dewasa membuat keputusan, memilih apa-apa yang berfaedah bagi mereka dan keluarga mereka. Pemuridan adalah jawapan bagi seseorang yang terumbang-ambing, yang mudah putus asa, mudah kecewa dan yang mahu menjadi dewasa dalam hidup. Melalui pemuridan seseorang akan disedarkan bahawa Firman Tuhan adalah perkataan dari Allah yang diberikan kepada manusia melalui manusia. Firman Tuhan adalah suatu panduan hidup yang boleh dipercayai, berkuasa dan yang dikatakan dalamnya pasti akan terjadi. Melalui pemuridan, seseorang dijadikan pengikut Kristus yang sesungguhnya, dia akan dibantu sehingga dia mencapai potensinya yang tertinggi dalam pertumbuhan menjadi semakin serupa dengan Yesus dari hari ke hari dalam hidupnya. Dia akan berfikir, memiliki gerak hati, dan motif yang benar seperti Yesus dalam meresponi segala situasi dalam kehidupannya. Sehingga dia tidak hanyut atau jatuh dari standard yang telah ditetapkan oleh Tuhan terhadap manusia.

Pemuridan juga mengajar kita untuk mengasihi Tuhan dengan seluruh keberadaan kita dan mengasihi sesama kita seperti diri kita sendiri. Jika kita mengasihi Tuhan dengan kata lain murid Tuhan, kita tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum-hukum Tuhan, dan tidak akan melakukan sesuatu yang menyakitkan sesama kita manusia. Mengapa pemuridan memiliki dampak yang besar terhadap orang-orang yang merelakan diri dimuridkan?, Pemuridan akan membentuk satu sikap hormat, tunduk dan taat terhadap kehendak Allah. Orang yang hormat, tunduk dan taat kepada Tuhan sehingga sanggup mati tidak mungkin akan menentang Allah, dengan menceraikan isterinya, membuang anak-anaknya atau minum dan makan apa-apa yang tidak memuliakan Tuhan. Orang yang kesukaannya menyenangkan hati Tuhan tidak akan senang dengan perjudian, menyabung awam dan pub-pub.

Pemuridan adalah alat yang boleh kita gunakan untuk kita belajar menundukkan diri di bawah kekuasaan Allah. Pemuridan menolong kita untuk belajar dengan konsisten Firman Tuhan supaya kita boleh melihat sendiri isi hati, akibat tindakan kita, apakah sesuai dengan kehendak Tuhan atau sebaliknya? Dan jika kita mendapati cara berfikir, motif dan tindakan kita tidak bersesuaian dengan kehendak Tuhan, maka kita memiliki peluang untuk mengubah diri kita menjadi seorang peribadi yang dewasa. Apabila kita telah menjadi orang Kristian yang dewasa, kita akan meresponi situasi hidup yang mendatang dengan keputusan yang bijak, tenang dan dewasa.

Pastor Roselind Merang
Gereja Methodist Gan En, Miri