Kunjungan rombongan jemaah daripada gereja Methodist Tudan (15 Oktober 2017) telah memberikan sesuatu semangat dan dorongan yang baru kepada komiti di kedua-dua pihak gereja pelayanan BM, terutamanya perkongsian pengalaman setiap komiti dalam pelayanan masing-masing. Walaupun masanya sangat singkat namun kunjungan ini cukup untuk memperkenalkan satu yang lain tentang penglibatan masing-masing dalam pelayanan. Pengerusi bagi kedua-dua PBM gereja iaitu trinity dan Tudan telah banyak membantu kami mengenali permulaan setiap pelayanan masing-masing. Secara peribadi kami sungguh diberkati kerana cara Tuhan bekerja di kedua-dua pelayanan sangat berbeza.

Walaupun masa bersama adalah singkat namun sudah cukup untuk menimbulkan rasa kekeluargaan antara kedua-dua pelayanan BM ini. Perkongsian pengalaman pelayanan menciptakan kekuatan dan dorongan yang sangat berharga antara satu yang lain. Mungkin dari segi cara dan permulaan pelayanan memang tidak sama namun tujuan pelayanan ini adalah sama. Demikian juga dalam aspek cabaran yang dihadapi oleh pelayanan masing-masing juga tidak serupa. Akan tetapi matlamat setiap pelayanan adalah sama iaitu untuk membawa orang kepada Yesus.

Sesi suai-kenal dengan rombongan Gereja Methodist Tudan bermula dengan makan bersama-sama iaitu kira-kira jam 6:45 petang. Rombongan ini dipimpin oleh Rev Nicklaus dan seramai 21 orang ahli jemaahnya. Mereka tinggal di hostel gereja Methodist sentosa selama 3 hari, iaitu bermula dari 15-18 Oktober 2017. Tujuan mereka datang ke kuching adalah untuk mengadakan retreat komiti. Dengan kesempatan ini, mereka telah merancang untuk mengunjungi setiap pelayanan BM yang di kuching pada setiap malam. Kami, komiti PBM Gereja Methodist Trinity berasa gembira dengan kunjungan rombongan Rev Nicklaus, sebab ini adalah satu peluang untuk kami mengenal dan mendengar daripada mereka secara langsung. Kami berasa sangat diberkati sepanjang pertemuan tersebut. Kami juga rindu akan program yang serupa boleh dilakukan oleh setiap PBM di seluruh Sarawak untuk mendorong dan membantu satu yang lain dalam pelayanan Tuhan.

Kunjungan rombongan Rev Nicklaus ke gereja kami juga telah membuka mata kami untuk mengunjungi jemaah PBM yang ada di daerah yang lain pada hari yang akan datang. Hal ini kerana melalui kunjungan seperti ini, kita dapat melahirkan rasa kekeluargaan antara jemaah kita secara umum. Kita boleh memahami dan belajar daripada satu yang lain cara kita boleh melayani dengan lebih baik lagi. Keperluan yang sangat mustahak dalam pelayanan gereja pada hari ini. Program yang memberi impak yang besar dalam pelayanan masing-masing. Rancangan yang seperti ini perlu diadakan oleh setiap jemaah pelayanan BM di Sarawak untuk mendorong dan belajar dari satu yang lain.

Kesimpulannya, pertemuan dengan jemaah gereja Methodist Tudan sangat baik dan mendorongkan. Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan yang ada untuk menggalak dan mendorong antara satu yang lain selagi kita masih kuat. Pertemuan kami dengan rombongan Rev Nicklaus diakhiri dengan nyanyian dan doa yang dipimpin oleh Rev Nicklaus.

Pastor Patrick Taie
Gereja Methodist Trinity, Kuching