Saya dilahirkan di dalam keluarga Kristian. Kebiasaannya, sekiranya kalian bertanya kepada saya tentang perbezaan antara sebelum dan selepas saya menjadi Kristian, dengan menundukkan kepala, saya hanya boleh menggunakan nada yang rendah menyatakan bahawa payah untuk saya nyatakan perbezaannya kerana saya hidup dalam kebahagiaan rohani sepanjang masa. Bukan tidak ada, cuma jika dibandingkan dengan yang lain kemungkinan besar kesaksian saya tidak sebegitu dramatik.
Saudara-saudari sekalian, saya pasti kalian pernah dengar pasal kewujudan Tuhan sejak di bangku sekolah lagi dan kita selalu jadikan tabiat mengatakan yang kita percaya kepada Tuhan. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah betulkah sedemikian? Apakah hidup kita betul-betul berpaut dan bersandar kepada Tuhan? Kalau betul kita percaya, mengapa kita mengeluh, menengking, dan senantiasa dalam kekhuatiran? Kita selalu menyatakan, Ya Tuhan, saya serahkan segalanya ke dalam tangan-Mu. Baru habis cakap, issshhhh, apa betul Tuhan akan menghulurkan tangan? Jalan mundar-mandir, pusing sana, pusing sini, mandi tak basahlah, makan tak kenyanglah, tidur tak lenalah dan bermacam-macam lagi. Apakah semua ini menandakan kita percaya kepada Tuhan ataupun kita sekadar ikut percakapan orang sewenang-wenangnya. Apakah buktinya yang kita percaya kepada Tuhan?
Pengalaman peribadi
Setiap seorang daripada kalangan kita pasti mempunyai pengalaman peribadi secara dekat dengan Bapa Syurgawi, saya juga tidak terkecuali. Sesungguhnya, saya tidak dapat menafikan bahawa yang ingin saya ceritakan di sini sedikit sebanyak telah mengubah hidup saya dan pemikiran saya mengenai panggilan Tuhan.
Tanggal 3 haribulan 12 tahun 2014, jam 5.30 petang, saya dalam perjalanan balik dari Lapangan Terbang Sibu menuju ke Pusat Bandar Sibu untuk menghabiskan sisa-sisa kerja yang tertinggal untuk Kem Muda-Mudi. Kelelahan pada ketika itu tidak dapat dipertikaikan lagi kerana sudah tiga hari berturut-turut saya dan pembantu-pembantu yang lain menyediakan bahan-bahan dan kami hanya mempunyai masa tidur 2 jam sehari. Saya langsung tidak merasa mengantuk dan masih sempat menerima panggilan daripada ibu menanyakan keberadaan saya ketika itu.
Tiba-tiba, “Tummm!” Bila pulak saya terlelap tapi saya tahu saya sudah terlambat, kereta saya sudah naik ke atas jejambat! Saya mulai panik! Saya cuba menstabilkan keadaan kenderaan saya tetapi kereta saya seperti tidak mendengar arahan saya! Yang saya tahu ialah saya mesti mengelakkan tiga batang pokok di hadapan! Hati saya berteriak, “Tuhan!!!!” Akhirnya, kereta saya terhenti akibat kematian enjin. Saya terus membuka pintu kereta saya untuk mendapat udara segar di luar. Saya serta-merta mengucap syukur kepada Tuhan! Ingatkan hal itu selesai di sini sahaja, tapi aduhai, saya tersilap!
“Cik, kau ada apa-apa?” Saya hanya geleng kepala. “Kau bernasib baik, tapi tak tahulah orang yang di sebelah sana.” Saya tergamam, mata saya terbeliak dan lidah saya kelu!
“Apa?! Saya terhantuk kereta orang lain?!! Alamak, Tuhan, apa yang saya lakukan ini?” Saya terus berdoa, “Tuhan, sekarang Engkau telah menyelamatkan aku, Engkau selamatkan dia juga, itu nyawa Tuhan, saya rela mengurangkan kadar hidup saya di dunia ini untuk biarkan dia hidup! Nyawa saya tidak penting Tuhan, saya sanggup lakukan apa-apa sahaja jika Engkau selamatkan dia!”
Kedengaran siren ambulan berbunyi tidak jauh, kami diangkat ke dalam ambulan dan dibawa ke hospital besar Sibu. Jururawat sempat bertanya keadaan kami satu persatu. Saya terus lega apabila saya mendengar mangsa tersebut berupaya untuk bercakap. Sekali lagi saya bersyukur kepada Tuhan! Saya cuba mendekati ahli-ahli keluarga mangsa tersebut tetapi mereka semacam tidak menghiraukan saya, kemungkinan mereka juga risau akan keadaan mangsa tersebut. Dengan berbaurkan hati yang berat, kusam dan penuh kekesalan saya berangkat ke balai polis dengan abang saya untuk membuat laporan.
Selang dua minggu kemudian, saya menerima suatu berita yang lebih menggemparkan! Dalam keadaan kesakitan akibat dari kemalangan tersebut, salah seorang rakan saya menyampaikan berita yang lebih menyayatkan hati saya! Kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta Hilux dan di tempat yang sama tetapi malangnya pemandu lori tersebut mati di tempat kejadian! Air mata saya jatuh berderai. “Tuhan, nyawa saya ini sememangnya milik Engkau! Siapalah saya kalau bukan Engkau yang menopang?!” Jika imbas kembali, kereta saya cuma kereta Proton biasa, terus-terang kereta itu hanya membungkuskan besi buruk dengan isi-isi kusyen, lebih teruk lagi ialah kereta saya tidak berbekalkan beg udara (air bag)! Tapi lori?! Ini seperti kehilangan rasionalnya, tak logik betul, yang tu besi tulen, saiz pun besar, Tuhan, tak masuk akal langsung! Namun, dalam lubuk hati saya faham hanya Tuhan mampu melakukan mukjizat, tiada yang mustahil di tangan Tuhan!
Selepas suatu jangka masa insiden ini berlalu, kami sekeluarga mengadakan persekutuan perkongsian mengenai perkara yang perlu bersyukur dalam setahun. Saya sempat bertanya kepada ibu saya sekiranya saya lebih cepat meninggalkannya pada ketika itu, apakah perasaan ibu pada waktu itu? Ibu dengan serius menyatakan yang dia pasti akan meraung dan menjadi gila! Saya mendiamkan diri, saya pegang erat tangan ibu saya. Saya hanya mampu meminta maaf kepada ibu saya.
Saya faham sekadar meminta maaf tidak dapat menggantikan betapa insafnya jiwa ini, jadi sempena penyambutan Hari Warga Emas di gereja pada tahun 2015, saya berhasrat mendendangkan sebuah lagu untuk mengucapkan betapa cintanya dan berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya yang bersusah-payah membesarkan saya. Saya mengambil inisiatif untuk meluahkan “Aku cinta padamu, ayah dan ibu!” dan saya berkeras menunaikan permintaan ini kerana saya tidak ingin kesal seumur hidup disebabkan saya tidak pernah menyatakan betapa dalamnya kasih saya kepada mereka. Terlintas juga dalam pemikiran saya ketika itu, bahawa selagi hayat terkandung di dalam badan ini, selagi itulah saya sudi menyanyi!
Langit terbuka
Selain itu, ingin juga saya menyatakan ribuan terima kasih kepada salah seorang jemaah saya iaitu saudari Arlene kerana sewaktu saya dalam keadaan tenat, beliau tidak pernah putus asa untuk mendoakan kesihatan saya. Bukan itu sahaja, saudari Arlene juga pernah mengkongsikan penglihatan daripada Tuhan ketika beliau tidak dapat menghubungi saya sewaktu ditimpa kemalangan. Dia terlihat langit terbuka dengan pancaran cahaya bersertakan pelangi yang merupakan petanda daripada Tuhan bahawa saya perlukan doa dan saya terselamat dari malapetaka. Justeru, saudari Maning kerana keprihatinan beliau dalam penyediaan ubat herba tradisi bagi menyembuhkan dalaman.
Tidak lupa juga bagi mereka yang datang melawat, dan memberi kata-kata semangat serta dorongan seperti saudari Kelly Kiew, saudari Hiong Lui, saudari Nga Ing, saudari Wendy Lau atas kemuliaan hatinya untuk menumpang saya hampir setengah tahun bagi menghadiri pelayanan di dalam gereja (engkau pasti tidak tahu betapa terhutang budi saya kepadamu); mentor saya Cikgu Ma Nar atas sokongan padu dan iringan doanya; Pengerusi Pelayanan Bahasa Melayu Saudara Tony dan isterinya saudari Siew Hie; orang pertama melawat saya di hospital, Pengerusi Kepemimpinan Gereja Masland Methodist Encik Wong Tian Jian dan juga sebelum saya terlupa, saudara T-Han Lee (Pengerusi Persekutuan Pre-Belia Tahun 2016-2017) atas keprihatinan beliau untuk menghantar sebuah SMS bermesejkan kata-kata semangat. Saya terima dengan hati penuh kesyukuran dan saya doakan semoga Tuhan memberkati segala pekerjaan yang perlu dilaksanakannya dan selalu berada di bawah perlindungan Almasih sepanjang perjalanan rohani beliau dengan-Nya.
Sebelum saya mengakhiri kesaksian saya, izinkan saya mengkongsikan salah satu ayat suci yang Tuhan sampaikan kepada saya dari Alkitab. Walau apapun yang terjadi di dalam hidup kita, jangan sesekali kita memilih untuk meninggalkan Tuhan, bapa Syurgawi kita. Sewaktu manusia mampu menguris dan meninggalkan kita, hanya Tuhan sahaja berada di sisi, dan hanya Tuhan sahaja langsung tidak ada niat untuk berganjak daripada hidup kita! Saudara dan saudari sekalian, terimalah ayat-ayat suci dari Tuhan:
“Janganlah gelisah hatimu; percayalah kepada Allah, percayalah juga kepada-Ku.” (Yohanes 14:1)
Tuhan memberkati kalian semua dan bersama-sama kita menjayakan misi Tuhan untuk menjangkau mereka yang belum lagi mendengar berita baik pasal Yesus Kristus! Amin!