Nama saya Bermas. Saya dibaptis ketika saya masih kecil lagi. Bermula saya dibaptis, saya terus dibawa sembahyang setiap kali pastor datang ke rumah panjang kami. Tetapi saya hanya ikut bersembahyang sahaja. Saya tidak tahu tujuan sebenar saya harus sembahyang waktu itu.

Selepas itu, saya mendirikan rumah tangga dan mempunyai 3 orang anak tetapi saya masih tidak tahu arah tuju saya. Sampai pada masa, seorang jemaah dari gereja Xin Fu Yuan iaitu jemaah cina, mengajak saya beribadah di Gereja ini. Jemaah tersebut merupakan rakan sekerja saya.

Kali pertama saya datang ke gereja ini ialah pada Hari Pribumi tahun 2010. Bermula pada tahun tersebut saya dan anak saya pergi beribadah setiap minggu. Kami juga melayani bersama-sama.

Selepas saya melayani di sini, baru saya tahu tentang Tuhan Yesus yang disembah selama ini. Selepas saya mengenali Tuhan, saya merasa aman sejahtera dan sukacita. Kehidupan kami sekeluarga jauh berubah setelah kami kenal dan percaya kepada Tuhan Yesus. Saya sangat bersyukur kerana dulu anak perempuan dan anak lelaki bongsu saya akan hadir ke gereja bersama saya. Kini, anak sulung saya dan isterinya juga turut bersama dengan kami ke gereja.

Kami amat bersyukur kerana Tuhan mempersatukan kami sekeluarga dengan kasih Tuhan. Kami juga percaya Tuhan sentiasa mendengar doa setiap kita walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan. Tetapi Tuhan selalu bersama dengan kita semua.

Kini, dalam keluarga hanya suami saya sahaja yang belum ke gereja bersama kami. Namun begitu, dia tidak pernah menghalang kami ke gereja. Dia percaya Tuhan Yesus itu ada, cuma dia belum pernah pergi ke gereja bersama kami. Mohon doa kalian agar pintu hati suami saya terbuka untuk bersama kami melayani dan datang ke gereja. Sekian terima kasih dan Tuhan Memberkati.

/ Bermas anak Ngaoh
Gereja Methodist Xin FuYuan, Sibu