Pada malam Hari Natal, saya dan ibu bapa saya berserta adik telah menghadiri jamuan bersama dengan rakan saudara lama dari Gereja BEM Sibu di Kuching. Ayah saya telah menggunakan ayat daripada Matius 6:13, “Janganlah membawa kami ke dalam percubaan… “ dalam sesi perkongsian selepas makan malam. Ayah saya memberitahu kami bahawa dia akan menggunakan ayat ini dalam doanya setiap kali dia keluar dari rumah. Tuhan Bapa bukan sahaja melindunginya daripada percubaan, malah juga melindungi kami sekeluarga daripada percubaan.

Pada bulan Mac yang lepas, ibu saya telah dikesan menghidap penyakit kanser. Atas keberkatan Tuhan dan bantuan kawan-kawan, ibu saya telah dirujuk ke Hospital UM, di Kuala Lumpur. Tuhan tahu keperluan kami dan telah mengatur serta menyelesaikan segalanya masalah yang kami hadapi di sana. Sekarang dia dalam penyembuhan. Melalui peristiwa yang berlaku pada mak saya, saya telah nampak keyakinannya terhadap Tuhan Yesus. Melalui mukanya (sebelum, selepas pembedahan), saya nampak ketenangan, dia tidak risau tetapi menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. Dia tahu Tuhan akan membimbingnya melalui semua ini. Pada masa yang sama, saya juga mengalami keprihatinan Tuhan terhadap kami.

Selepas pembedahan, mak saya dimasukkan di hospital selama 5 hari. Sehari sebelum mak saya dibenarkan keluar hospital, kami telah mengalami masalah penginapan (sebenarnya, bilik di Anjung Penyayang (‘hotel’ di UM) telah penuh). Selama 5 hari itu, kami perlu menempah bilik setiap hari, maksudnya ada kekosongan, barulah kami diberi bilik. Pada awal pagi Hari Easter, sebelum kami menghadiri penyembahan Hari Easter, kami telah ke kaunter untuk menanya kepastian tentang bilik kosong, tapi jawapan yang kami terima ialah tidak ada. Jadi, kami pun terus menghadiri penyembahan di gereja dan menyerahkan hal itu kepada Tuhan. Selepas kami balik dari penyembahan, kami tanya lagi di kaunter, tetapi jawapannya masih sama. Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menempah bilik di sebuah rumah penginapan Kristian dari Persatuan Methodist, tetapi malangnya tempat itu tidak beroperasi pada hari Ahad. Jadi, kami pun mengemas dan bersedia untuk berpindah ke hotel yang terdekat. Apabila bapa saya pergi ke kaunter untuk ‘check-out’, pekerja memberitahu kami terdapat seorang pelanggan yang menempah bilik telah membatalkan tempahannya. Terima kasih Tuhan, Dia seorang yang prihatin, Dia tahu keperluan kami.

Selepas peristiwa ini, saya telah berkongsi dengan bapa saya, dia beritahu saya bahawa, setiap kali dia dan ahli keluarga meninggalkan rumah, dalam doanya, dia pasti akan menggunakan ayat dalam Matius 6: 13: “Jangan membawa saya / kami ke dalam percubaan…” Kita manusia yang ada kelemahan, jadi kita perlukan Tuhan untuk membawa kita keluar dari sebarang percubaan. Terima kasih Tuhan atas keberkatan-Nya telah membimbing saya melalui tahun 2016. Tahun 2016, Tuhan telah memberkati ahli keluarga saya. Dia telah menyediakan semua untuk kami sekeluarga. Terima kasih Tuhan.
Hii Kiew Hung
Gereja Methodist Zion, Sibu