Segala kemuliaan dikembalikan kepada Allah Bapa!

Saya begitu bersyukur kepada Tuhan atas berkat dan anugerah yang berkelimpahan dalam persekutuan muda-mudi kami. Bersesuaian dengan misi kami iaitu menjadi garam dan terang, kami diberi karunia untuk memuliakan Tuhan. Baik dari segi pujian dan penyembahan, kami juga sudah mahir dalam bermain alat muzik seperti drum, gitar elektrik, bass, piano dan sebagainya. Bukan itu sahaja, muda–mudi perempuan juga sering mengikuti seminar rebana sehingga menarik banyak muda–mudi perempuan yang lain untuk mengikuti rebana. Aktiviti ini sangat membantu untuk menarik jiwa muda-mudi pribumi. Dengan visi kami iaitu menyampaikan Firman Tuhan bersama-sama, saling membina iman antara satu sama lain, dan saling mengasihi telah mendorong kami untuk terus giat dalam pelayanan muda–mudi. Terdapat pelbagai aktiviti yang dapat mendorong muda-mudi untuk terus giat aktif dalam pelayanan.

Sepanjang 10 tahun ini, kami sering terdedah dengan aktiviti di luar gereja. Aktiviti seperti kem muzik, kem kepimpinan, bengkel pujian dan penyembahan, dan sebagainya telah menarik banyak jiwa muda-mudi pribumi untuk mengikutinya. Saya sangat bersyukur kerana melalui aktiviti ini kami secara tidak langsung telah melakukan penginjilan untuk membawa mereka semakin dekat kepada Tuhan.

Selain itu, aktiviti dalam persekutuan muda-mudi kami telah menarik lebih banyak muda-mudi datang untuk merasai cara bersekutu bersama-sama. Bukan itu sahaja, muda-mudi yang lama sangat ramah sehingga mereka yang baru menyertai persekutuan juga rasa disayangi dan diterima dalam keluarga GMT (Gereja Methodist Tudan). Dengan bantuan, senior yang dahulunya pernah mengikuti pesekutuan muda-mudi telah membantu kami untuk menghidupkan persekutuan ini. Mereka juga banyak membantu dalam aktiviti yang kami lakukan. Bukan itu sahaja, senior kami juga banyak memberi motivasi kepada kami untuk terus melayani walaupun banyak halangan kami hadapi. Kami juga terdedah dengan penginjilan di luar. Kami juga belajar cara untuk memberitakan kebaikan Tuhan dalam hidup kami. Saya percaya muda-mudi kami dapat diubah dan diguna pakai oleh Tuhan.

Kami juga mengadakan persekutuan bersama-sama dengan gereja Methodist yang lain seperti Grace Methodist Church, Hwai En Methodist, Senadin Methodist, Life Methodist dan sebagainya. Dengan gabungan persekutuan ini, kami banyak belajar dari mereka cara mereka memimpin muda-mudi mereka. Mereka menerima kami dengan penuh kasih meskipun setiap kami mempunyai kekurangan yang banyak terutamanya dari segi percakapan kerana kebanyakan mereka hanya fasih dalam Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris.

Saya berharap agar persekutuan muda-mudi kami dapat sentiasa berjalan dan kami juga boleh mengatasi segala rintangan yang kami hadapi seperti kekurangan alat muzik dalam melakukan persekutuan. Saya juga berharap agar setiap anda semua terus mendoakan persekutuan kami supaya terus berbangkit, bercahaya dan bersinar bagi Tuhan. Saya juga percaya setiap kami juga akan diguna pakai Tuhan untuk menjadi terang dan garam kepada dunia. Segala kemuliaan, hormat dan syukur dikembalikan kepada Tuhan!

Tuhan memberkati anda semua! Emmanuel!

Sabrina Alicia Endoh
Gereja Methodist Tudan, Miri