Tidak dapat kita sangkal bahawa kelas disciple banyak mengubah kehidupan peribadi Jemaah gereja yang selama ini, hanya Kristian kulit. Setelah mereka berusaha melalui kelas selama 34 minggu banyak perubahan yang kelihatan daripada perkataan, perbuatan dan pemikiran mereka. Mereka menjadi semakin berkeyakinan, berani dan bersemangat untuk melayani Tuhan. Hal ini disebabkan kebenaran Firman Tuhan itu mengubah mereka menjadi serupa dengan Yesus.

Kelas disciple jika kita melihat daripada jangka masa yang perlu dilaburkan oleh seseorang pelajar untuk menghabiskannya, memang sangat mencabar terutamanya bagi mereka yang bekerja. Sebab mereka perlu banyak mengorbankan masa yang digunakan oleh mereka untuk sesuatu perkara tertentu perlu diasingkan.

Berikut adalah beberapa kesaksian pelajar yang telah mengikuti kelas disciple merah dan hijau selama setahun ini. Apakah yang mereka katakan tentang kelas disciple?

Sdri Tagi Kudang
2017 – selasai kelas disciple Merah,
2018 – selasai kelas disciple Hijau
2019-2020 – dipilih menjadi komiti pelayanan kelompok Sel

Pada mulanya saya merasakan kurang yakin dengan diri saya sebab hal-hal yang tertentu, bukan hanya itu, saya juga merasa sangat takut untuk mengikuti kelas disciple sebab saya adalah seorang yang kurang berpendidikan tinggi dan kelas disciple ini menuntut bacaan dan penulisan yang banyak. selain itu, dalam hati kecil saya berkata bolehkah saya melaksanakan setiap tugasan yang diberikan kepada saya. Perasaan ini sering kali menyerang pemikiran saya sewaktu saya ingin maju dalam kelas disciple ini.

Dengan anugerah dan kasih Tuhan, saya berusaha untuk melaksanakan setiap tugasan saya dengan sebaik-baiknya. Kelas disciple banyak memerlukan masa untuk membaca dan menulis, meskipun banyak cabaran yang saya hadapi tetapi saya dapat mengatasi dan menyelesaikan semuanya. “Zakaria 4:6 Maka berbicaralah ia, katanya: “Inilah firman TUHAN kepada Zerubabel bunyinya: Bukan dengan keperkasaan dan bukan dengan kekuatan, melainkan dengan roh-Ku, firman TUHAN semesta alam..” Memang tidak dapat disangkal bahawa banyak perkara yang saya tidak fahami selama membuat kerja rumah saya dan itulah sebabnya saya perlu belajar lebih lagi Alkitab.

Secara peribadi saya sangat diberkati setelah melalui kelas disciple ini, banyak perkara yang baharu telah saya belajar dan membantu saya untuk terus bertumbuh secara peribadi. Hubungan saya dengan Tuhan menjadi akrab dan erat, iman saya juga semakin teguh dan kuat sebab pengertian akan kebenaran Firman Tuhan semakin mendalam.

Oleh sebab saya sangat diberkati melalui kelas disciple ini, maka saya juga ingin orang lain diberkati Tuhan seperti diri saya. Oleh itu, saya mendorong semua Jemaah gereja untuk mengambil kesempatan ini untuk mengikuti kelas disciple, jangan membiarkan kekurangan kita mengatasi kuasa Tuhan dalam membentuk dan menolong kita secara rohani. Ingat kata Firman Tuhan ini:

“Tetapi berfirmanlah TUHAN kepada Samuel: “Janganlah pandang parasnya atau perawakan yang tinggi, sebab Aku telah menolaknya. Bukan yang dilihat manusia yang dilihat Allah; manusia melihat apa yang di depan mata, tetapi TUHAN melihat hati.” (1 Samuel 16:7)

Sdri. Catherine Sawai anak Kaba
Berasal dari Bintulu.
Suami: Herry berasal Pusa, dari Betong
Anak: 4 orang anak
2018 – Disciple Merah
2019-2020 – Komiti Pendidikan Kristian

Penghujung 2017, saya berdoa kepada Tuhan untuk petunjuk kepada saya supaya lebih dekat Dia. Tuhan membuka jalan kepada saya untuk mengikuti kelas disciple merah. Walaupun banyak cabaran dan dugaan yang saya harus tempuhi namun saya dapat menghabiskan kelas disciple dengan baik.

Kelas disciple, banyak memberikan pengajaran kepada saya terutamanya cerita yang tidak pernah saya ketahui selama ini sebab saya tidak membaca Firman Tuhan. Saya tidak tahu apa-apa yang terjadi dalam Alkitab. selain itu, saya juga dapat membaca seluruh Alkitab.

Kelas disciple mendisiplinkan saya dalam semua aspek kehidupan saya khususnya kehidupan doa saya yang harus diutamakan, sebagai seorang ibu, cabaran adalah sangat kuat, kerana saya harus melakukan segala kerja untuk keluarga di dapur dan saya juga bekerja. Oleh itu, tanggungjawab saya sangat berat namun Tuhan memberikan saya kekuatan. Saya harus banyak memberikan masa saya untuk menyelesaikan kerja rumah kelas disciple saya sehingga jam 9.00 – 10.30 malam. Saya ketepikan masa menonton siaran TV.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana telah memberi kekuatan kepada saya dan juga kerjasama yang sangat baik dalam keluarga saya semasa kelas disciple ini diadakan. Saya juga bersyukur kepada Tuhan kerana kesempatan yang sangat baik untuk berdoa bersama-sama dengan pelajar-pelajar disciple yang lain semasa kelas dijalankan. Oleh itu, saya boleh katakan tanpa kekuatan yang dilimpahi daripada Tuhan kepada saya, tidak dapat menamatkan kelas disciple pada tahun ini.

Akhir sekali, saya ingin mendorong semua jemaah gereja untuk mengambil kesempatan ini untuk mengikuti kelas disciple. Berdoalah pasti Tuhan akan menunjukkan jalan bagi kita. Saya rasa tidak rugi kerana mengikuti kelas disciple, malah saya sangat diberkati Tuhan.

Oleh itu, marilah kita memusatkan segala tenaga kita kepada pembelajaran Firman Tuhan bersama-sama melalui Disciple Merah dan Hijau, sebab kamu akan mengetahui kebenaran. Dan kebenaran itu akan membebaskan kamu.”.” (Yohanes 8:32).

Pastor Patrick Taie
Gereja Methodist Trinity, Kuching