Saya ingin berkongsi tentang kehadiran Yesus dalam hidup saya dan saya menerima Yesus sebagai Juruselamat saya.

Saya bukannya berasal daripada keluarga Kristian. Ibu bapa saya masih memegang adat lama, bapa saya merupakan tuai rumah panjang dan dia juga ketua adat. Setiap kali ada hal-hal atau keramaian, seperti Gawai, dia sering kali dipanggil untuk mengendalikan upacara seperti miring dan mentafsir erti burung-burung dan sebagainya. Jadi, masa kecil saya, saya tidak didedahkan tentang Firman Tuhan.

Kali pertama saya diperkenalkan tentang Firman Tuhan semasa saya di sekolah rendah, guru yang mengajar agama mendedahkan kami dengan Firman Tuhan bahawa Yesus Kristus adalah Juruselamat.

Semasa saya Darjah 5, saya terbuka hati untuk mengikuti kelas pembaptisan. Setelah saya dibaptis, saya mula bergiat aktif dengan aktiviti di gereja. Ketika saya Tingkatan 1, saya tinggal di asrama yang dikendalikan oleh gereja Katolik, dan dipimpin oleh pastor-pastor dan Sister dari Belanda, sehinggalah saya Tingkatan 3.

Namun, mungkin kerana ketika itu saya belum betul-betul mengalami Tuhan, jadi setelah saya berkahwin, saya lupa akan Tuhan, saya tidak lagi pergi ke gereja, saya kembali kepada hidup lama saya.

Pada tahun 2010, anak-anak saya datang ke gereja Methodist Gloria mengikut abang saudara mereka, Bryan. Saya selalu menghantar mereka untuk menunggu van datang ambil mereka. Dari saat itu dalam hati saya mula kerinduan untuk pergi ke gereja dan kembali kepada Tuhan. Jadi, pada Hari Ahad bulan April, 2011, saya mengikut anak-anak datang ke gereja ini. Setelah saya selalu datang dan mendengar khutbah tentang Firman Tuhan, hati saya rasa mulai diketuk untuk terus mencari wajah Tuhan. Saya mula aktif dalam pelayanan dan mengikuti kelas-kelas dan sekarang saya di kelas Top 1.

Dalam kehidupan saya sekarang, saya banyak mengalami mukjizat dan berkat daripada Tuhan. Antaranya, seumur hidup saya, saya tidak pernah bermimpi untuk bekerja di bawah naungan gereja Methodist ini tetapi sekarang, saya bekerja sebagai penjaga Pusat Khidmat Kasih di Bintulu Sentral. Oleh itu, saya merasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana dapat berkhidmat untuk masyarakat, khususnya masyarakat pribumi. Saya juga berterima kasih kepada Pendeta Bulan dan pengurus-pengurus kami yang tidak pernah jemu untuk membimbing kami.

Di sini saya menyeru saudara dan saudari, jangan pernah sekali-kali meninggalkan Tuhan walau apa pun pergomolan yang anda lalui dalam kehidupan yang sangat mencabar ini. Seperti perumpamaan anak yang sesat dalam Lukas 15:11-32, kerana saya pernah tersesat dan sekarang saya sudah kembali.

Riti Ak Nyantau, Gereja Methodist Gloria, Bintulu