PBM Daerah Kuching Barat Khemah Wanita Daerah Kuching Barat telah menetapkan sebuah khemah khusus untuk pelayanan wanita pada tahun ini di Bukit Doa Gereja Methodist Petra. Seramai 57 orang peserta yang telah mendaftarkan diri untuk mengikuti khemah yang pertama kali diadakan oleh daerah sejak daerah Kuching Barat didirikan. Tujuan khemah ini adalah untuk membantu pelayanan wanita daerah untuk terus bertumbuh secara rohani terutamanya dalam bidang doa. Inilah sebab tema khemah ini ditetapkan “bangkit dan berdoa”.

Tema Khemah Wanita ini dipilih bersesuaian dengan tempat khemah ini diadakan “Rumah Doa” yang baru siap dibina di Gereja Petra Methodist Bau. Penceramah untuk Khemah ini adalah Rev Elizabert Injut dari Gereja Iban Methodist Kuching.

Program Khemah Wanita ini ialah hasil dorongan daripada Pastor Dorothy yang pada masa itu melayani di Gereja Methodist Matang. Walaupun pada tahun ini Pastor Dororty telah ditempatkan ke Selangau, namun program ini tetap kami teruskan. Walaupun ketiadaan pastor Dorothy, Tuhan menyediakan Rev Pauline. Syukur kepada Tuhan kerana kerjasama daripada pasukan Rev Pauline penganjuran Khemah telah berjalan dengan lancarnya. Setelah berbulan perbincangan dan persiapan, pada 11-12 August 2019, semua wanita dari 5 buah pelayanan BM di daerah Kuching Barat datang bersama-sama berkumpul di Bau untuk menghadiri Khemah Wanita Daerah ini.

Penganjuran khemah ini telah memberkati banyak wanita yang ada di daerah Kuching Barat. Berikut adalah beberapa perkongsian peserta Khemah Wanita yang telah menyertai kem selama 2 hari satu malam tentang apa-apa yang telah dialami oleh mereka sepanjang khemah tersebut:

Sdri Joance Chee: Saya memuji Tuhan atas kesempatan ini, walaupun masa itu terlalu singkat namun saya sangat bersyukur kerana berpeluang mendaki bukit untuk menenangkan diri dan berdoa kepada Tuhan. Secara peribadi saya sangat suka mendengar nyanyian yang dibimbing oleh saudari Michele dari TMC, hati saya tersentuh dan air mata saya mengalir, saya percaya Tuhan tahu isi hati saya sewaktu saya berdoa. Tuhan berkata berserulah kepada-Ku dan lepaskan hatimu yang bersedih dan ampuni orang yang bersalah terhadap kamu. Saya belajar ayat Firman Tuhan ini: 1 Yohanes 5:15. Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu, kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apaapa yang kita minta daripada-Nya.

Pr Sabiyah: Saya menerima berkat yang luar biasa melalui Firman Tuhan yang dikongsikan oleh Rev. Elizabeth pada malam 11.8.19, perkongsiannya sangat menyentuh saya. Pada pagi 12.8.19, sesi berdoa dan berpuasa, kami naik ke bukit doa, sementara menunggu kawan-kawan yang lain datang. Saya mengambil masa untuk berdoa dan membaca Firman Tuhan. Apabila saya berdoa tiba-tiba saya menerima sebuah penglihatan iaitu Mazmur 42. Lalu saya membuka Mazmur 42 dan membacanya.

Sdri Shantiny: Sewaktu pujian dan penyembahan saya dapat merasakan kehadiran Tuhan di tengah-tengah kami, saya menyanyi dan menangis kerana urapan Tuhan yang sangat kuat.  Selain itu, saya juga sangat diberkati melalui tayangan klip video yang ditonton. Pengalaman saya dengan Khemah Wanita adalah sangat baik, terutamanya sesi bersendirian bersama dengan Tuhan, masing-masing bersendirian di rumah doa yang tinggi, saya dapat menikmati saat yang sangat indah, saya boleh bergaul dengan Tuhan secara peribadi.

Sdri Flora: Puji tuhan saya dapat menyertai Khemah Wanita ini dan saya dapat menikmati satu hari yang sangat indah bersama Tuhan di rumah doa. Sewaktu saya berdoa saya merasakan ada air mata yang jatuh. Saya merasakan kehadiran Tuhan dengan sungguh-sungguh nyata semasa berdoa. Senah: Saya sangat bersyukur kerana dapat mengikuti khemah wanita pada tahun ini. Walaupun saya berasa letih setelah balik dari sibu, tetapi saya tidak lemah semangat untuk terus berdoa.

Sebab saya memiliki banyak perkara yang perlu saya doakan terutamanya untuk saudara, keluarga, anak-anak saya yang masih bersekolah dan lain-lain lagi. Yang paling membebankan hati saya adalah anak saya yang bernama Emylia yang bakal menduduki peperiksaan STPM. Kesihatannya tidak begitu baik. Sebagai seorang ibu, saya rasa sangat tercabar, jadi saya berserah kepada Tuhan untuk pertolongan. Saya percaya bahawa Tuhan akan menolong kami dan Dia pasti mendengar doa saya.

Pr Patrick Taie
Gereja Methodist Sentosa, Kuching