Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan saya peluang untuk membuat kesaksian sebelum dan selepas saya mengenal Tuhan Yesus, dan bagaimana kehidupan saya selepas menjadi seorang kristian?

Tidak Mengenali Diri Sendiri Ada dua perkara yang berlaku kepada diri saya sebelum saya menjadi  seorang kristian. Yang pertama: Saya Tidak Mengenali Diri Sendiri. Saya hanya tahu bahawa saya adalah anak kepada ibu bapa saya, iaitu sebagai anak yang harus mendengar dan menuruti kehendak ibu bapa.

Yang Kedua: Saya Tidak Mempunyai Tujuan Hidup. Ketika saya masih darjah, saya selalu ditanyakan mengenai apakah cita-cita saya apabila saya sudah besar nanti? Pada masa yang sama juga ketika rakan saya ditanyakan soalan yang sama, rakan saya menjawab bahawa dia mahu menjadi ahli bomba. Saya pun tidak ragu-ragu untuk member jawapan yang sama kepada cikgu saya.

Saya mula datang ke Gereja Methodist Xin Fu Yuan ketika saya darjah 4 iaitu tahun 2005. Pada masa itu saya masih kecil dan masih mengikuti sekolah minggu. Pada usia sebegini, saya masih belum mengenal siapakah Tuhan Yesus dan siapakah Dia bagi manusia? Saya hanya ikut tanpa mengenal siapa Tuhan Yesus. Ketika saya berumur 14 tahun iaitu tahun 2009, saya masih datang ke gereja dan menyertai ibadah dan setiap persekutuan yang ada di gereja dalam pelayanan BM. Saya semakin mengenal dan mula tahu siapa Tuhan Yesus dan kenapa Dia hadir dalam hidup saya. Saya juga sudah mempunyai cita-cita.

Tahun 2010, saya dibaptis dan menyerahkan hidup saya sepenuhnya kepada Tuhan Bapa. Saya mula melayani di gereja dan sangat suka datang ke gereja, saya merasakan ketika saya berada di gereja saya akan merasa tenang. Namun, keinginan saya datang ke gereja hanya sampai tahap ini sahaja, saya mula menjauhkan diri daripada Tuhan kerana saya merasa sudah cukuplah saat saya datang kepada Tuhan.

Saya mula meninggalkan Tuhan ketika saya berumur 16 tahun. Saya menghadapi pelbagai pergumulan; yang pertama saya berhenti sekolah. Saya merasakan bahawa saya sudah tidak memerlukan Tuhan lagi kerana saya sudah mendapatkan yang saya perlu untuk hidup, iaitu saya sudah tahu tujuan saya perlu hidup, untuk menerima dan percaya kepada Yesus; yang kedua saya sudah mempunyai cita-cita.

Tidak Memerlukan Tuhan
Jadi, saya tidak memerlukan Tuhan lagi. Saya pun mula tidak datang ke gereja, tidak pergi ke sekolah dan tidak bekerja juga. Apa yang saya buat? Saya pergi berfoya-foya dan menggunakan masa muda saya melakukan hal-hal yang tidak berfaedah. Selama satu tahun saya meninggalkan Tuhan, saya sedar akan kesalahan yang saya lakukan tetapi saya tetap lakukan sehingga suatu hari saya mendapat tahu pastor yang melayani di gereja ketika itu sudah bertukar.

Seorang jemaat menghubungi saya dan menjemput saya kembali ke gereja dan dia menyatakan hasratnya untuk melawat saya ke rumah dan membawa pastor yang baru melayani di gereja. Saya tidak menolak hasrat mereka itu, sehingga mereka datang dan ingin membawa saya kembali ke gereja. Tanpa berfikir panjang, saya pun mula kembali ke gereja. Dan kebetulan pada ketika itu saya memang tidak bekerja, saya juga bernasib baik kerana pastor menjemput saya untuk bekerja di gereja, ketika itu saya berumur 17 tahun. Pada tahun itu juga, saya memulihkan jiwa saya yang sudah jauh daripada Tuhan dan memperbaik hubungan saya dengan Tuhan. Tuhan tetap mengampuni saya sehingga saya diterima kembali menghadap-Nya.

Tuhan Mengubah Hati Saya
Pada tahun 2012, saya menyerahkan diri saya kepada Tuhan selepas setahun dipulihkan, saya menerima peneguhan jemaat. Saya mula melayani sehingga sekarang, saya menghadapi pelbagai cubaan dan menempuhinya dengan kasih Tuhan. Tuhan mengubah hati saya menjadi yang baru dan mahu saya agar tetap setia kepada-Nya. Saya mahu berlari mencapai tujuan saya iaitu menjadi pengikut-Nya yang setia sampai akhir, melupakan apa-apa yang di belakang. Saya juga mengambil teladan dari Paulus bahawa saya mahu hidup untuk Kristus.

Pada tahun 2018, saya sedang belajar di Seminari Teologi Sabah (STS). saya sangat bersyukur kerana Tuhan telah memberi saya peluang untuk belajar di tempat ini, iaitu belajar mengenai teologi dalam asas Alkitab. Saya mengambil Program CTS selama 2 tahun.

Pada mulanya saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana Tuhan sentiasa memberikan yang terbaik dalam kehidupan saya, terutamanya Dia memberikan saya panggilan ini dan saya selamat sampai di sini, dan saya juga banyak belajar sesuatu yang baru dalam asas Alkitab.

Namun, selama semester pertama saya berasa sangat janggal kerana situasi yang tidak sama dengan situasi semasa saya masih bekerja. Dan tiba-tiba saya kembali ke sekolah untuk belajar. Jadi apabila saya mahu belajar saya agak sukar, tetapi perlahan demi perlahan dan sedikit demi sedikit Tuhan banyak menyertai saya. Sehingga saya masuk ke semester yang kedua, saya banyak lagi belajar tentang teologi.

Cara Kehidupan Semakin Berubah Dan sepanjang saya berada di STS, cara kehidupan saya semakin berubah, terutamanya dalam kerohanian saya, kehidupan saya yang biasa dan hubungan saya bersama dengan Tuhan. Kehidupan dan kerohanian saya semakin meningkat. Saya selalu merenungkan firman Tuhan dan selalu berdoa. Walaupun sebenarnya suatu ketika dahulu saya tidak suka berdoa, tapi sekarang ini, ketika saya berada di STS, saya mula mengerti bahawa pentingnya hidup dalam doa. Saya mengambil penting dalam hal berdoa kerana ini satu cara saya untuk berkomunikasi dengan Tuhan.

Jadi saya sangat bersyukur kerana Tuhan sentiasa memberikan dan selalu mengurniakan hal yang sangat baik dalam kehidupan saya. Kini saya sudah menerima sijil tamat Program CTS dan mula melayani di Gereja Xin Fu Yuan sepenuh masa.

Murni Anak Mikai
Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu