Saya Pauline Bundong berumur 44 tahun,suami saya iaitu Louise Tom berumur 47 tahun dan kami mempunyai 3 orang anak, dua orang perempuan dan seorang lelaki. Bersyukur kepada Tuhan Yesus Kristus kerana kami sekeluarga telah menerima Yesus sebagai Penyelamat dalam hidup kami.

Kami sekeluarga menerima Tuhan Yesus Kristus dalam hidup kami semasa anak sulung saya menghidapi masalah penyakit jantung. Dulu kami sememangnya mengamalkan adat istiadat lama seperti miring,berubat pada bomoh atau dukun serta menggunakan azimat atau sakang. Tuhan telah membuka mata rohani kami sekeluarga ketika sahabat saya datang ke rumah untuk menginjil. Setelah itu,kami pun pergi ke kebaktian lalu suami serta anak saya menerima Tuhan Yesus pada tahun 2006 manakala diri saya telah menerima Tuhan Yesus semasa saya masih di bangku sekolah.

Kami sekeluarga terus bersandar pada Tuhan kerana Tuhan Yesus telah menyembuhkan penyakit anak saya, Isspinna. Kami sekeluarga terus melayani Tuhan. Keluarga saya diberkati Tuhan. Walaupun kami percaya pada Tuhan Yesus, namun kami adalah manusia biasa yang tidak akan terlepas daripada cubaan,dugaan dan rintangan dalam kehidupan kami.

Cubaan datang dalam hidup saya semasa abang saya sakit lalu meninggal dunia. Dia menanggung kesakitan selama tiga tahun lebih. Saya sentiasa mendoakan agar Tuhan Yesus menyembuhkan abang saya tetapi abang saya tidak sembuh sebaliknya meninggal dunia. Hati kecil saya menyalahkan Tuhan kerana abang saya tidak dapat disembuhkan dan saya rasa seperti doa saya tidak didengari. Kami sekeluarga berasa sukar untuk melepaskan pemergian abang saya. Semenjak itu, pelayanan saya di gereja tergugat. Saya juga jarang menghadiri persekutuan yang diadakan di gereja. Walau bagaimanapun, saya tetap berdoa dan membaca Firman-Nya. Cubaan terus mendatang kepada keluarga saya semasa suami saya tidak turun kerja selama beberapa tahun. Hati kecil saya bertanya kepada Tuhan sebab begitu banyak cubaan yang datang dalam kehidupan saya.

Saya tahu bahawa Tuhan sentiasa memimpin saya. Dia tidak pernah meninggalkan keluarga saya walaupun saya jatuh dalam cubaan. Dia tetap memimpin langkah saya. Dia Tuhan Maha Kuasa dan Maha Agung. Tuhan menyediakan segala keperluan kepada keluarga saya sewaktu keluarga saya menghadapi cubaan. Tuhan menyediakan duit bagi keluarga saya untuk membayar hutang. Suami saya pula turun kerja. Dari situ saya tahu bahawa Tuhan sentiasa mempunyai rencana yang baik bagi keluarga saya.

Semasa saya mengikuti seminar yang diadakan di Telang Usan pada bulan lepas, kehidupan rohani saya telah dipulihkan oleh Tuhan Yesus. Dia melepaskan segala kesengsaraan yang terbuku dalam hati dan kehidupan saya. Saya berterima kasih terhadap penyertaan Tuhan Yesus dalam hidup saya dan keluarga saya. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana keluarga saya diberkati oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Saya berharap agar Roh Kudus sentiasa membimbing kami sekeluarga supaya kami terus bersandar kepada Tuhan. Hanya Tuhan Yesus yang memberikan kita hidup… Amin!

Pauline Bundong
Gereja Methodist Tudan, Miri