RUAI BM

2020 merupakan tahun yang sangat mencabar, bukan hanya kepada sesetengah orang tetapi juga kepada seluruh dunia. Kesan daripada wabak penyakit COVID-19 telah menggoncangkan seluruh dunia. Banyak kebiasaan harian manusia harus dihentikan sementara ataupun diperbaharui caranya. Pelbagai bidang khususnya dari segi ekonomi, sosial dan politik negara mengalami banyak tamparan. Melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan-perniagaan tidak dapat dijalankan seperti biasa. Malahan hubungan sosial di kalangan sesama juga terjejas. Ramai yang harus membuat perubahan mendadak terhadap gaya dan cara hidup mereka. Pihak kerajaan harus melaksanakan langkah-langkah untuk mencegah wabak pandemik daripada menular.

Melalui peristiwa dan pengalaman pandemik ini, banyak renungan dan pencerahan telah diperolehi. Antaranya adalah seperti yang berikut:

1. Manusia sangat rapuh, virus kecil yang tidak nampak pun dapat mengalahkannya.

“Manusia dilahirkan lemah dan tidak berdaya, hidup mereka singkat dan susah.” (Ayb 14:1)

2. TUHAN itu maha agung dan besar. Manusia tidak mampu menanggung kemurkaan-Nya, hanya mampu mendapat belas kasihan-Nya.

“Kami binasa kerana kemurkaan-Mu; kami takut kerana kemarahan-Mu. Usia kami dikurangkan kerana kemurkaan-Mu; hidup kami berakhir seperti satu hembusan nafas.” (Maz 90:7,9)
“Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau murka? Kembalilah dan kasihanilah hamba-hamba-MU.” (Maz 90:13)

3. Hari kedatangan Yesus kedua kali sudah semakin dekat, berjaga-jagalah!

“Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba? Yesus berkata, “Berjaga-jagalah … Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit. …” (Luk 21:7-12)

4. Hargailah apa yang anda miliki, kerana ia tidak akan bertahan selamaya.

“Kami seumpama rumput yang bertunas pada waktu pagi, yang tumbuh dan berbunga, tetapi layu dan mati pada waktu petang.” (Maz 90:5b-6).

5. Bertekunlah dalam hal berkumpul bersama, melayani, saling mengasihi kerana tidak diketahui bilakah masanya pintu rahmat tertutup.

Wabak pandemik COVID-19 telah membantutkan jemaah-jemaah Tuhan berkumpul seperti biasa. Semua perkumpulan hanya dapat dilakukan secara talian sahaja. Pada masa begini, adalah sangat sukar untuk melaksanakan pelayanan sesama secara nyata. Oleh itu hargailah masa “pintu rahmat yang masih terbuka”, terdapatnya peluang bersama, kerana ia akan tertutup tanpa disedari.

“Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, … Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tidak tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang.” (Ibr 10:25)

6. Hidup ini adalah kesempatan. Lakukanlah apa yang patut anda lakukan sebelum terlambat kerana masa tidak menunggu kita.

“Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.”(Mat 24:44)

“‘Bagus’, kata tuan itu, ‘kamu hamba yang baik dan setia. … Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!’” (Mat 25:21, 23)

Rev Bulan Yiong
Kini melanjutkan pendidikan teologi di STS, Sabah