RUAI BM

Nama saya Nancy anak Rainggau. Saya mempunyai lima orang anak dan merupakan seorang suri rumahtangga. Sebelum saya menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat, kehidupan saya sangat susah. Tambahan lagi saya tiada tempat bergantung kerana ibu dan ayah saya sudah meninggal. Saya seorang anak yatim piatu. Hati saya cukup sedih kerana tiada adik-beradik yang dapat bersama saya untuk menanggung kesusahan.

Saya pernah beberapa kali mendirikan rumah tangga. Perkahwinan pertama saya adalah dijodohkan oleh keluarga saya pada usia yang sangat muda.

Saya berfikir saya akan bahagia selepas berkahwin seperti orang lain, namun yang saya impikan tidak menjadi kenyataan.

Perkahwinan yang menderita

Pada peringkat awal perkahwinan, saya berasa bahagia bersama suami saya, tetapi semakin lama, hubungan kami mula mengalami masalah. Setiap hari kami bergaduh dan berselisihan faham. Tambahan pula, suami saya seorang pemabuk dan saya selalu menjadi mangsa deraannya. Suami saya sering memukul saya. Perasaan sewaktu itu sangat menderita.

Penderitaan saya tidak berakhir di situ sahaja, sehinggalah suami saya dihantar bekerja ke Kuala Lumpur. Saya bersyukur pada saat itu kerana dia telah mendapat pekerjaan (ketika di Sarawak, dia kurang bekerja dan selalu minum dan berjudi). Tetapi anggapan saya ini salah, malah suami saya menjadi lebih teruk apabila dia berada di Kuala Lumpur. Saya sangat kecewa dengan suami saya, dan dia juga tidak pernah mengirimkan wang untuk menampung perbelanjaan saya dan anak-anak. Selama dua tahun dia di sana, saya yang mengirimkan wang perbelanjaan kepada dia kerana waktu itu juga saya turut bekerja untuk mencari nafkah keluarga di sini.

Dalam perkahwinan ini saya berasa sangat menderita, saya tiada tempat bergantung. Yang saya lakukan ialah bekerja keras untuk menanggung perbelanjaan hidup. Sehinggalah pada suatu saat, saya terpaksa menurut kehendak suami saya bahawa dia ingin bercerai. Saya merasa seperti sudah hilang arah, kerana ramai yang memfitnah saya dengan bermacam-macam tuduhan. Saya pun bercerai dengan suami saya dan mengikut haluan masing-masing.

Kemudian saya membuat keputusan untuk meneruskan pekerjaan saya dengan membantu keluarga angkat saya di kedai runcit sambil membuat kuih untuk menampung perbelanjaan anak-anak saya. Perjalanan sebagai seorang ibu tunggal memang bukan senang.

Bertahun lamanya menjadi ibu tunggal, sekali lagi saya jatuh cinta kepada orang yang betul-betul saya cintai. Saya pun berkahwin dengannya. Bersyukur kepada Tuhan kerana dia dapat menerima saya yang seadanya.

Tiada sesiapa
beritahu tentang Yesus

Selama ini tiada sesiapa yang membawa saya ke rumah Tuhan. Tiada sesiapa yang memberitahu saya tentang Tuhan Yesus. Selepas berkahwin dengan suami sekarang saya, saya ditemukan dengan adik ipar yang begitu baik; dia seorang kristian dan mengenal Tuhan Yesus kepada saya. Dia menceritakan kepada saya bahawa Tuhan Yesus telah mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Semasa dia menceritakan Tuhan Yesus, hati saya belum terbuka untuk menerima-Nya. Tetapi selepas saya mengikuti persekutuan ibu-ibu mengemas baju di Pusat Laicee, hati saya mula terbuka untuk menerima Tuhan Yesus sabagai Juruselamat saya. Selepas saya menerima Tuhan Yesus dalam kehidupan saya, banyak berkat yang saya terima daripada Tuhan.

Saya banyak menggiatkan dalam aktiviti gereja, seperti menyertai persekutuan ibu-ibu dan ibadah pada hari Ahad. Dalam persekutuan ibu-ibu, saya banyak belajar sesuatu yang baharu. Pastor Sency banyak mengajar kami cara menjadi seorang ibu yang baik dan menjalinkan keluarga yang bahagia. Saya juga belajar membaca Alkitab, dan memahami isi Alkitab dengan lebih mendalam. Saya juga belajar menari bersama ibu-ibu yang lain, dan belajar menyanyi puji penyembahan.

Sungguh besar kasih Tuhan Allah kepada saya. Saya mahu mendekati Tuhan Yesus dalam kehidupan saya. Saya bersyukur dengan kehidupan saya sebagai seorang Kristian. Amin.

Nancy anak Rainggau
Gereja Methodist Xin Fu Yuan, Sibu