Menunggu waktu Kursus fasilitator Kids EE 2018, untuk bermula merupakan sesuatu perkara yang sangat menggoncangkan perasaan, emosi dan hati para peserta yang telah mendaftar. Tidak terkecuali para penganjur Kursus Kids EE pada tahun ini, sebab banyak perkara yang harus dipersiapkan dan disediakan, baik dari segi rohani atau jasmani. Walaupun banyak persoalan yang telah menghantui perasaan para penganjur selama ini namun semuanya tidak dapat mematahkan semangat para penganjur untuk terus melaksanakan Kursus fasilitator Kids EE.

Dengan berkat kemudahan yang sedia ada dimiliki oleh Gereja Methodist Sentosa, maka program Kursus Fasilitator Kids EE dapat dijalankan dengan sangat lancar. Semua peserta yang datang dari Miri sebanyak 4 orang, Sibu sebanyak 9 orang, Bintulu sebanyak 2 orang, ditempatkan di hostel gereja. Selain itu, beberapa peserta yang datang daripada Daerah Kuching memilih untuk tinggal di hostel gereja juga. Dengan adanya kemudahan-kemudahan yang dimiliki oleh gereja Kota Sentosa maka Kursus ini tidak menghadapi masalah yang banyak terutamanya masa, pengangkutan dan sebagainya. Hal ini disebabkan tempat gereja sangat mencukupi.

Kehadiran para peserta yang datang seawal sehari sebelum kursus, sudah cukup untuk merancakkan program Kids EE lagi pada tahun ini. Lebih-lebih lagi para komiti penganjur yang sebanyak 18 orang telah memudahkan proses pelaksanaan kursus. Para penganjur sangat bersemangat untuk menguruskan tugas mereka masing-masing. Maka perjalanan dan pelaksanaan program dapat berjalan dengan sangat baik tanpa menghadapi masalah. Walaupun terdapat beberapa perubahan perjalanan para peserta dan penceramah. Semuanya dilakukan dengan sukacita tanpa mengira keletihan dan kesibukan yang dihadapi oleh mereka masing-masing. Para komiti penganjur sesungguhnya memberi komitmen sepenuhnya sehingga semuanya dilaksanakan dengan baik.

Demi masa depan gereja

Sesi demi sesi berlalu, keletihan dan kepadatan program tidak melemahkan semangat para peserta. Dalam sesi yang pertama, penceramah menceritakan tujuan Kids EE diadakan. Dengan mengerti maksud Kids EE diadakan di gereja maka para peserta tahu perkara yang harus dilakukan oleh mereka. Disebabkan kerinduan setiap peserta adalah untuk membangunkan gereja masing-masing baik dari segi rohani dan jasmani anak-anak yang ada di gereja masing-masing. Secara umumnya, pelayanan Kids EE membantu gereja-gereja setempat untuk terus bertumbuh secara rohani dan jasmani. Sebab generasi pelapis harus dipersiapkan untuk masa depan gereja. Oleh itu, penekanan Kids EE adalah untuk melengkapkan jemaah dewasa dalam gereja untuk menginjili anak-anak di sekeliling mereka. Agar pada hari akan datang, anak-anak ini menjadi pemimpin dan penginjil kawan-kawan mereka. Yang pasti adalah para peserta memiliki harapan yang sangat tinggi daripada penceramah.

Penceramah Kids EE sangat berkarisma dalam melatih para peserta yang sudah ada, sebab mereka sudah melibatkan diri dalam pelayanan Kids EE ini sekian lama. Dengan pengalaman yang dimiliki oleh mereka maka Kursus ini mengekalkan semangat setiap peserta untuk tetap bersemangat. Penceramah menekankan kepentingan pelayanan penginjilan antara anak-anak di gereja. Melalui anak-anak maka orang tua mereka juga boleh mengenali Tuhan dalam hidup mereka secara peribadi. Penginjilan anak-anak sangat penting dititikberatkan oleh gereja pada masa ini sebab anak-anak adalah pemimpin masa depan gereja hari ini.

Kekurangan penekanan penginjilan kepada kanak-anak akan mengakibatkan gereja menjadi mandul pada hari akan datang. Penceramah dengan berulang-ulang memperingatkan para peserta bahawa Kursus Kids EE ini diadakan untuk melengkapi orang dewasa supaya menceritakan Injil kepada anak-anak. Dengan kata lain supaya orang dewasa dapat dibantu untuk menjelaskan Injil kepada anak-anak dalam tahap pengertian anak-anak. Sebab moto Kids EE adalah untuk membawa anak-anak kepada Kristus, supaya menjadi murid Kristus.

Orang dewasa dilengkapi

Program Kids EE pada kebiasaannya diadakan selama 5 hari, sebab harapan program ini supaya banyak orang dewasa dilengkapi untuk membawa Injil kepada anak-anak yang ada di sekeliling mereka.

Sesi yang sangat menarik perhatian para peserta kursus Kids EE adalah sesi bahagian praktikal. Semua peserta tidak berhenti-henti ketawa dan bersahut-sahutan dengan setiap pasukan yang mempersembahkan persembahan mereka. Sebab dalam sesi praktikal semua peserta yang tidak terlibat dalam persembahan akan menjadi anak-anak sekolah minggu. Mereka akan berkelakuan seperti anak-anak. Hal ini yang akan menyebabkan para peserta melakukan sikap mereka seperti anak-anak. Secara keseluruhan semua persembahan mereka dengan sangat hebat dan menakjubkan. Kebolehan yang dimiliki oleh mereka sesungguhnya luar biasa. Secara umum penceramah sangat diyakinkan dengan persembahan mereka masing-masing. Dengan itu, mereka pasti boleh melayani di gereja masing-masing dengan berkesan.

Setiap sesuatu pasti akan berakhir, Kursus Kids EE berakhir pada 25 Mar 2018, setelah berlangsung selama 4 hari. Mari kita berdoa agar para peserta akan terus bersemangat untuk terus melayani di gereja masing-masing. Harapan kita agar banyak jemaah gereja dalam pelayanan BM akan dilengkapi dan dipersiapkan untuk generasi yang akan datang, agar generasi yang sekarang ini dapat diganti dengan generasi yang baharu.

Oleh Pastor Patrick Taie
Gereja Methodist Trinity, Kuching