Pada 20 Januari 2018, Daerah Kuching Barat telah menganjurkan sebuah program bersama-sama tentang pengurusan Kewangan. Kursus ini telah dianjurkan oleh gereja Trinity pelayanan BM. Tujuan kursus ini diadakan khusus untuk membantu jemaah pelayanan BM di daerah Kuching Barat tentang kepentingan pengurusan kewangan yang baik berdasarkan Firman Tuhan.

Kursus ini telah diadakan beberapa kali di gereja Trinity pelayanan BM pada beberapa tahun yang lalu. Oleh sebab kesaksian peribadi beberapa peserta kursus yang lalu tentang kursus itu telah membantu mereka, komiti pelayanan BM Daerah Kuching Barat menetapkan kursus ini dibuka kepada semua jemaah gereja pelayanan BM di daerah Kuching barat pada 20 Januari 2018, dari jam 2 petang sehingga 7 malam. Dengan harapan agar jemaah pelayanan BM dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka secara ekonomi iaitu cara mereka menguruskan kewangan mereka dengan baik dan teratur bagi masa depan keluarga khususnya anak-anak mereka.

Ini merupakan Kursus yang pertama kali bagi daerah Kuching barat bagi tahun ini, sebanyak 27 orang peserta daripada beberapa gereja BM di daerah Kuching barat telah mengikuti kurus ini (iaitu 2 orang dari City Mall, 7 orang dari Kota sentosa dan 17 orang dari Trinity). Terdapat beberapa orang peserta yang telah mendaftar diri tetapi tidak dapat hadir semasa kursus diadakan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sepanjang Kursus diadakan banyak perkara yang telah dipelajari dan dibangkitkan oleh setiap peserta khususnya mereka yang pertama kali mengikuti kursus serupa ini.

Sesi pertama dan kedua diajar oleh Rev Poh (Pastor-in-Charge TTM) yang banyak menyentuh pemberian persepuluhan dan persembahan di gereja. Rev Poh banyak menggunakan pengalaman-pengalaman peribadinya tentang memberi kepada Tuhan terutamanya persepuluhan dan persembahan pada kebaktian hari minggu. Dia mengutip beberapa ayat daripada Alkitab untuk menjadi dasar pengajarannya (sebagai Contoh: Melakhi 3:10 “..Bawalah seluruh persembahan persepuluhan itu ke dalam rumah perbendaharaan, supaya ada persediaan makanan di rumah-Ku dan ujilah Aku, firman TUHAN semesta alam, apakah Aku tidak membukakan bagimu tingkap-tingkap langit dan mencurahkan berkat kepadamu sampai berkelimpahan.

Selain itu, Rev Poh juga menyentuh berkat kerana setia memberi kepada Tuhan melalui persepuluhan dan persembahan pemberian pada kebaktian hari minggu. Dia menekankan bahawa memberi kepada Tuhan bukan pilihan tetapi kewajiban bagi setiap orang yang percaya kepada Tuhan sebab segala yang kita terima setiap hari adalah daripada Tuhan dan untuk kemuliaan Tuhan.

Rev Poh memperingatkan setiap peserta tentang “jalan Tuhan tidak sama dengan jalan manusia” kerana untuk mengalami berkat Tuhan dalam kehidupan ini secara rohani dan jasmani kita perlu mengamalkan kehidupan yang memberi, kita hidup sebagai pengurus harta Tuhan yang baik, dengan berbelanja menurut jumlah gaji yang kita terima setiap bulan, dengan teratur dan berhikmah setiap hari agar setiap bulan kita berkecukupan dari segi kewangan.

Bagi sesi yang terakhir Saudari Judith mengajar cara membuat bajet berdasar dengan jumlah gaji yang kita terima setiap bulan. Yang sangat penting bagi kita adalah menurut saudari Judith dalam pengurusan kewangan adalah “kita harus tahu dari mana wang itu datang dan ke mana wang itu akan pergi”, supaya kita tahu tentang pengaliran kewangan yang kita terima setiap hari. Untuk itu, seseorang harus mencatatkan setiap perbelanjaannya setiap bulan dengan mengenal pasti keutamaan dan perbelanjaan yang boleh diubah.

Dengan memiliki perancangan bajet yang jelas seseorang itu dapat mengurangkan perbelanjaan yang tidak berpatutan dengan menambahkan simpanannya. Sebab perancangan bajet ini sangat penting ialah “kita dapat mencapai sasaran masa depan kita tentang perkara-perkara yang tertentu” dan kita juga dapat mengurangkan masalah apabila kecemasan.

Pengurusan yang baik adalah Alkitabiah, Tuhan mahu setiap kita menjadi pengurus harta Tuhan dengan baik.

Pr Patrick Taie
Gereja Methodist Trinity, Kuching