Saya berasal daripada sebuah keluarga Bidayuh di kawasan pedalaman, iaitu di Ulu Padawan. Keluarga saya suatu waktu dahulu hanyalah Kristian pada nama, tapi masih terikat dengan pelbagai upacara dan ritual adat tradisional yang sama sekali berlawanan dengan prinsip Alkitab.

Sejak kanak-kanak lagi, saya didedahkan dengan sistem kepercayaan menurut hukum dan pantang-larang masyarakat Bidayuh. Sebagai contoh, apabila kami ingin pergi ke huma padi, kami akan mendengar bunyi burung. Bunyi burung merupakan penentu sama ada perjalanan kami akan selamat atau sebaliknya. Terdapat banyak lagi pantang-larang yang harus diingat dan dipatuhi dari semasa ke semasa dalam kehidupan harian. Semua ini membuatkan saya membesar sebagai seorang remaja yang selalu merasa khuatir, risau, mempunyai keyakinan diri yang sangat rendah dan juga tiada damai di dalam hati.

Saya mula mengenal Tuhan dan membaca Alkitab semasa di sekolah menengah, hasil daripada penyertaan dalam Persekutuan Pelajar Kristian (ISCF). Apabila bapa saya mengetahui hal ini, beliau amat marah dan melarang keras saya untuk membaca Alkitab kerana risau tumpuan saya terhadap pelajaran terganggu. Saya menerima Yesus secara peribadi pada tahun 2007. Dalam masa yang sama, saya terus berdoa untuk bapa saya.

Di dalam Yesus, saya menemui ketenangan yang sejati. Tiada kekhuatiran akan pelbagai nasib buruk dan sebagainya apabila terdengar bunyi burung dan lain-lain. Saya lebih ceria, lebih yakin dan mempunyai pengharapan apabila berdepan dengan masalah. Tuhan sangat baik dan menjawab doa dengan luar biasa. Ketika saya sedang meneruskan pengajian di Kuala Lumpur, Tuhan sedang melakukan sesuatu di dalam keluarga saya. Apabila saya balik ke kampung, saya hairan melihat bapa saya mulai membaca Alkitab. Dulu, dia tidak ingin ke gereja tapi sekarang dia selalu pesan suruh kami adik-beradik bangun awal menghadiri kebaktian hari Ahad.

Walaupun dia baru mengenal Tuhan, dia sangat bersemangat dan sangat terbuka kepada firman Tuhan. Dia juga sudah tidak mabuk-mabuk minum minuman keras lagi. Keadaan di rumah sudah sangat berbeza sekarang.

Saya sangat bersyukur kerana anugerah Tuhan dalam kehidupan saya dan keluarga saya. Kami adalah orang-orang yang tiada pengharapan dan hidup dalam kegelapan. Tapi kasih Tuhan telah mengubah semuanya. Sungguh hanya tangan Tuhan yang mampu membuat semua ini. Segala kemuliaan hanya bagi Dia.

Sdri Liserd
Gereja Methodist Trinity, Kuching