Setelah sekian lama merancang, akhirnya Kelab Sosial, Gereja Methodist Wesley sekali lagi berjaya menganjurkan aktiviti Fun Trip untuk golongan istimewa pada 1 Mei 2017 lalu. Kali ini kami telah membawa golongan istimewa dan ahli keluarga mereka melawat Kampung Budaya 1 Malaysia yang terletak bersebelahan dengan Bukit Aup, Sibu.

Disebabkan kekurangan sukarelawan, rancangan untuk membawa mereka untuk pergi ke tempat yang lebih jauh menjadi suatu kesukaran. Hal ini kerana kumpulan sukarelawan terbabit bukan saja perlu terlibat dalam perancangan aktiviti malah aspek keselamatan golongan istimewa ini turut diambil kira. Biarpun begitu, itu bukan satu alasan ataupun halangan bagi kami sebagai sukarelawan untuk membawa mereka bersuka ria seperti orang biasa. Kami sentiasa percaya bersama Tuhan setiap perkara itu pasti akan menjadi sekirannya kita menaruh kepercayaan sepenuhnya dengan-Nya. (Matius 19:26) “Bagi manusia hal ini tidak mungkin, tetapi bagi Allah segala sesuatu mungkin”. Malah kami juga yakin Allah akan membimbing kami untuk merancang aktiviti yang sesuai dengan golongan istimewa.

Ya, betul atas berkat Tuhan setiap kali kami mengadakan aktiviti di luar kawasan geraja, kami sentiasa diberkati dengan cuaca yang baik. Malah setiap aktiviti yang dirancang itu juga berjalan dengan lancar. Biarpun, masalah kecil tetap timbul namun kami (pekerja sosial) merasai kehadiran Tuhan kerana setiap masalah yang timbul semasa aktiviti dijalankan dapat kami tangani.

Seramai 43 orang peserta istimewa yang berusia dalam lingkungan belasan hingga 40-an termasuk ahli keluarga mereka dan lapan orang sukarelawan telah mengikuti aktiviti Fun Trip kali ini. Kami bertolak dari gereja kira-kira jam 7.45 pagi dan tiba di Kampung Budaya 1 Malaysia lebih kurang jam 8.10 pagi. Selepas menikmati sarapan, kami telah membawa para peserta melawat Kampung Budaya 1 Malaysia. Selepas itu, kami memulakan aktiviti ‘warming up’ iaitu menyanyi sambil menari. Kami berasa amat gembira apabila melihat mereka yang hadir pada aktiviti kali ini mempamerkan perasaan yang baik sekali. Kesemua peserta diperlihat amat teruja dan seronok dalam menyertai setiap acara hari itu termasuk segmen game.

Acara yang paling kami gemari pada hari itu ialah Perang Air. Kepelbagaian air pancut dalam Kampung Budaya 1 Malaysia menambahkan keserian dan kemeriahan Perang Air lagi. Kami main ala Running Man. Para peserta berseronok dengan membaling belon air antara satu sama lain.

Kami berasa amat terharu semasa melihat senyuman daripada golongan istimewa ini terutama apabila melihat senyuman yang tergantung di bibir ibu bapa mereka. Biarpun, kami faham bahawa yang kami lakukan ini tidak seberapa namun setiap kali berkumpul, kami pasti akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada mereka, malah kami juga ingin memberitahu ibu bapa golongan istimewa ini bahawa mereka tidak kesepian dalam menghadapi liku-piku kehidupan ini.

Amanda Ting
Gereja Methodist Wesley, Sibu