Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga kristian dan saya mempunyai 11 orang adik-beradik. Saya merupakan anak ke-8 dan masih bergelar pelajar yang berusia 21 tahun. Puji Tuhan, sekarang saya masih diberi kesempatan untuk berkongsi tentang kebaikan Tuhan dalam kehidupan saya selama saya masih bernafas. Puji Tuhan yang tertinggi!

Tuhan itu hidup
Tuhan Bapa sungguh baik. Saya mengatakan demikian kerana selama saya mengikuti ibu bapa saya ke gereja, saya tidak mengetahui dan tidak mengerti pegangan kepada injil dan kepercayaan kepada Tuhan. Saya mengetahui bahawa Yesus itu Tuhan, dilahirkan oleh perawan Maria dan mati diseksa di atas kayu salib untuk menebus dosa kita yang berdosa tetapi masih tidak dapat memahami sebab saya harus memilih Yesus dan menyembah-Nya. Sehinggakan satu hari Tuhan telah bekerja dan membuka mata saya bahawa Tuhan itu hidup. Tuhan itu berkuasa dan dapat melakukan sesuatu yang tidak mungkin bagi kekuatan manusia. Firman Tuhan itu benar dan akan digenapi dan apa-apa yang dijanjikan Tuhan bukan janji kosong namun suatu janji yang akan ditunaikan dan bererti bagi setiap orang yang mempercayai-Nya.

Mengimbau kembali pada tahun 2012, saya berusia 15 tahun dan tahun tersebut merupakan tahun yang sangat mencabar bagi saya dan Tuhan mula mengajar dan membuka mata saya. Pada tahun tersebut, saya telah disahkan menghidapi kanser Nasopharyngeal (NPC) tahap 3 dan pada masa yang sama saya akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada bulan September 2012. Tahun tersebut sedikit mencabar bagi saya kerana saya ditempatkan di kelas yang teratas dan lazimnya guru-guru selalu meletakkan harapan tinggi bagi kami untuk mencapai keputusan yang terbaik dalam ujian tersebut. Saya berasa sangat tertekan pada mulanya. Saya berfikir saya tidak dapat fokus kepada pelajaran saya kerana saya akan mula sibuk pergi berjumpa dengan doktor untuk rawatan kanser saya. Saya mula hilang harapan dan saya pernah menanyakan Tuhan. ‘Mengapa saya Tuhan?’ Kenapa saya yang dipilih untuk menghadapi semua ini?

Menyedia PMR di hospital
Tuhan tidak pernah meninggalkan kita dan tangan-Nya tidak pernah lambat untuk menolong. Saya teruskan dengan rawatan kemoterapi dan radioterapi di Hospital Umum Sarawak. Saya telah dimasukkan ke dalam wad kanser dan kedua-dua rawatan saya berakhir pada bulan Julai 2012. Total semua rawatan kemoterapi sebanyak 3 pusingan dan radioterapi sebanyak 31 pusingan. Pada waktu itu, saya membawa sekali buku-buku belajar saya untuk mempersiapkan diri untuk peperiksaan PMR tersebut sehinggakan almari hospital saya penuh dengan buku. Namun, kesan daripada rawatan tersebut, saya tidak dapat fokus belajar dan kepala saya selalu pening dan badan berasa mual. Selain itu, kesan sampingan daripada rawatan tersebut, berat badan saya merosot sebanyak 10 kilo dalam masa dua minggu, saya tidak mempunyai selera makan, deria rasa saya hilang, rambut saya gugur, urat tangan saya terbakar dan leher saya memberi tanda-tanda hangus sehinggakan saya sukar untuk minum dan apatah lagi makan.

Walaupun semuanya ini berlaku, Tuhan tidak pernah meninggalkan saya. Pada saat itu, saya berputus-asa. Saya mengatakan bahawa saya tidak dapat lagi belajar seperti rakan-rakan saya yang lain. Saya rindu akan kawan-kawan saya. Saya rindu akan guru-guru saya dan kelas saya. Saya ingin belajar bersama dengan mereka. Tetapi dengan keadaan tersebut, saya berputus-asa dan mula berserah kepada Tuhan sahaja. Saya langsung tidak dapat fokus kepada pelajaran saya lagi. Saya hanya mampu membuka alkitab yang berada di sebelah katil saya sahaja. Saya mula membuka alkitab dan saya sangat terkejut kerana setiap firman yang saya baca pada waktu itu menjawab segala persoalan yang saya tanyakan pada diri saya sendiri dan kepada Tuhan sebelum ini.

Luka-Nya telah menyembuhkan saya
Disebabkan ini, saya semakin ingin mengetahui lebih banyak lagi dan mula membaca lebih banyak. Puji Tuhan! Setiap kali saya membuka lembaran baharu, saya rasa seolah-olah Tuhan sedang berbicara dengan saya melalui firman-Nya yang hidup. Saya berasa terhibur kerana setiap janji Tuhan penuh dengan pengharapan. Saya masih ingat satu ayat dari injil 1 Petrus 2:24.

‘Dia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk perbenaran. Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu.’

Saya berasa sungguh tersentuh dengan janji Tuhan. Saya mulai mengaminkan ayat ini dan percaya dengan iman bahawa saya telah disembuhkan baik dari fizikal mahupun secara kerohanian. Tuhan mengajar saya satu demi satu melalui firman-Nya dan saya merasai ketenangan. Semakin hari saya berasa semakin haus akan firman-Nya. Saya terus membaca dan telah mencatat nota sampingan pada alkitab saya setelah membacanya.

Tuhan juga telah menghantar kawan-kawan saya untuk memberi sokongan kepada saya, guru-guru saya datang melawat saya. Pastor dan juga rakan-rakan gereja juga berdoa untuk saya dan juga keluarga saya sendiri yang selalu bersama dengan saya di sana sepanjang rawatan saya. Tuhan telah menggunakan mereka untuk menunjukkan bahawa doa adalah yang terbaik antara segala rancangan mahupun rawatan yang saya terima. Hubungan yang intim dengan Tuhan adalah sangat penting.

Semasa didoakan, saya mulai berasa sangat tenang dari segala apa-pun. Saya mulai meletakkan iman saya kepada Tuhan sepenuhnya dan takkan meragukan apa-apa lagi yang akan berlaku kerana bagi saya Tuhan ada bersama dengan saya di mana-mana pun saya berada dalam apa-apa pun keadaan dan masa. Bagi saya, ‘tiada yang mustahil bagi Tuhan’ (Lukas 1:37).

Pada bulan Julai 2012, saya telah menamatkan rawatan kemoterapi dan radioterapi dan sekarang hanya dalam pemerhatian doktor selama 5 tahun untuk melepaskan kes tersebut dan akan berjumpa dengan doktor untuk setiap 3/6 bulan atau setahun sekali. Sepanjang temu janji tersebut, keputusannya semuanya baik dan saya terus berharap kepada Tuhan dan tidak akan berpaling daripada-Nya.

Tinggal dua bulan lagi untuk menghadapi peperiksaan PMR. Sememangnya saya takut dan tidak beberapa bersedia untuk menghadapinya. Habis rawatan, saya terus ke sekolah untuk ‘catch up’ pelajaran yang tertinggal. Kawan-kawan saya dan guru-guru saya banyak membantu saya sebaik yang mungkin dengan menjalani kelas tambahan dan belajar secara berkumpulan.

Tangguh untuk menjalani PMR?
Sehingga suatu hari, ibu bapa saya bertanya sama ada saya mahu teruskan menjalani peperiksaan tersebut atau saya mahu ambil pada tahun hadapan sahaja kerana keadaan saya yang masih belum stabil. Pada waktu itu, badan saya masih lemah, tidak mampu berdiri sendiri dan sering terjatuh, mata mulai kabur dan pening yang teramat sangat. Ibu bapa saya bertanya sekiranya saya tetap dengan keputusan saya tersebut.

Tiada yang mustahil bagi Tuhan
Disebabkan saya percaya bahawa tiada yang mustahil bagi Tuhan. Tuhan pasti akan menolong saya. Saya sungguh-sungguh percaya dengan kekuatan Tuhan walaupun saya lemah. Saya tidak akan takut kerana Tuhan sentiasa ada dengan saya. Saya memberitahu kepada ibu bapa saya bahawa saya tidak akan tangguhkan peperiksaan tersebut. Saya tahu saya tidak berapa bersedia namun saya yakin Tuhan ada! Saya akan berdoa dan meminta Tuhan membantu saya untuk melakukannya bagi saya. Ibu bapa saya menghormati keputusan saya dan mereka teruskan hanya dengan berdoa untuk saya.

Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dijalankan pada bulan September 2012. Sebelum melakukan apa-apa pada kertas ujian, saya akan berdoa bahawa Tuhan ada dengan saya pada setiap masa. Setelah saya percaya, saya tidak lagi gentar dan risau. Pada suatu hari, pada waktu itu kawan saya menemui saya untuk minta didoakan kerana dia risau untuk menghadapi kertas sejarah tersebut. Jadi, kami pergi ke belakang blok guru sambil mengucapkan doa ringkas.

“Ya Bapa kami disorga, selamat pagi Bapa. selamat pagi Roh Kudus. Pimpinkanlah kami untuk menghadapi peperiksaan kertas sejarah nanti. Kami tidak meminta banyak tetapi kami hanya mahu membuatnya dengan tenang sahaja. Ini doa kami. Di dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Amin.”

Setelah berdoa, kami ke tempat dewan peperiksaan kami masing-masing. Dewan peperiksaan saya berada di tingkat 2 dan harus menggunakan jalan tangga untuk ke sana.

Pada waktu itu, keadaan saya masih lemah. Saya berjalan sambil memegang besi atau konkrit kelas untuk membantu pergerakan saya. Berjalan lurus pun saya tidak mampu berjalan dengan teguh apatah lagi hendak naik ke tingkat 2 menggunakan tangga. Berdiri sahaja di depan anak tangga, saya mengaminkan lagi dalam hati saya bahawa saya dapat berjalan ke atas dengan bantuan Tuhan. Roh Kudus Tuhan akan membantu saya. Saya terus beriman dan melangkah.

Semasa naik ke tingkat 2, saya merasakan bahawa kedua-dua belah tangan saya seperti diangkat dan badan saya berasa ringan sekali. Saya tidak berasa penat. Saya hanya merasakan sangat ringan dan saya masuk sahaja ke dalam dewan peperiksaan dan duduk di kerusi saya sambil kepala diletakkan di atas meja saya.

Sepanjang peperiksaan kertas sejarah tersebut, kepala saya diletakkan di atas meja sahaja manakala tangan masih menanda jawapan pada kertas jawapan.

Pada permulaan soalan kertas sejarah tersebut saya masih dapat lakukan sehingga 20 soalan di belakang saya berdoa kepada Tuhan untuk pertolongan-Nya. Saya tidak yakin dengan dua subjek iaitu sejarah dan kemahiran teknikal. Saya tidak pandai dalam dua subjek ini. Saya begitu berserah pada masa itu dan saya merasakan seolah-olah Roh Kudus berbicara melalui hati saya untuk membulatkan saja apa-apa yang hati saya katakan. Dengan iman, saya percaya dengan pekerjaan Tuhan.

Minggu peperiksaan sudah selesai dan yang dinantikan ialah pengumuman keputusan PMR tersebut. Pada hari keputusan PMR diumumkan, saya dan keluarga saya tidak pergi ke sekolah awal untuk mengambil keputusan. Lazimnya, pelajar tidak sabar ingin tahu keputusan mereka dan sudah beratur awal untuk mengambil keputusan. Namun tidak berlaku kepada saya.

Jam 1 petang bertolak ke sekolah dan hanya seorang rakan saja yang saya jumpa di sana yang masih belum balik dari sekolah. Dia melihat ke arah saya namun saya tidak mengenalinya. Adakah itu tanda baik? Atau sebaliknya? Saya tidak menghiraukannya dan bapa saya telah mewakilkan saya untuk mengambil keputusan PMR tersebut di pejabat guru. Saya tidak berapa sihat waktu itu dan masih dalam keadaan lemah.

Keputusan cemerlang
Bapa saya mengucapkan tahniah kepada saya kerana saya merupakan antara salah seorang yang memperoleh keputusan cemerlang dan tergolong dalam senarai pelajar cemerlang. Saya memperoleh semua A dalam semua subjek dan itu merupakan sesuatu yang sungguh tidak disangka.

Bukan dengan kekuatan manusia. Namun kekuatan dari Tuhan! Ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya dan mereka mengatakan bahawa mereka sungguh bangga dengan saya. Namun saya menyatakan kembali kepada mereka, ’Tuhan yang bekerja. Dengan kekuatan saya, saya tidak mampu. Saya tidak layak dan saya percaya Tuhan pasti ada rancangan di sebaliknya. Saya sedar bahawa Tuhan itu berkuasa dan maha tahu. Tiada yang mustahil bagi Dia!’ Terpujilah nama Tuhan.

Tuhan memberkati hidup saya dan keluarga saya. Saya mula mempercayai dan menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat setelah saya mengalaminya sendiri kuasa Tuhan dalam hidup saya. Saya mulai menerima Tuhan secara peribadi. Semakin hari, semakin haus akan firman-Nya. Saya mula komited untuk mengenalinya dengan lebih lagi dan juga telah mengikuti kursus pembaptisan dan telah dibaptiskan pada hujung tahun 2012 di Trinity Methodist Church, Kuching.

Begitu besar kasih karunia Tuhan terhadap kami. Sehingga ke hari ini, saya tidak akan takut lagi kerana Tuhan saya hidup dan senantiasa menyertai saya ke akhir zaman! Di mana-mana pun saya berada, tidak kira di semenanjung, jauh dari ibu bapa dan saudara terdekat, Tuhan selalu ada!

Begitu juga dengan anda semua. Tuhan mempunyai rancangan yang indah bagi kamu dan tekunlah berdoa serta beriman. Tuhan memberkati!

Felicia Magdalene Anak Achan
Samarindah Preaching Centre, Kuching