Nama saya Airrene Wilson dan saya berumur 19 tahun. Saya merupakan pelajar lepasan STPM di SMK Bandar Bintulu. Dari kecil saya membesar di kampung bersama dengan datuk dan nenek saya. Saya tidak pernah mengenal gereja, apatah lagi Tuhan Yesus. Saya tidak pernah didedahkan kepada ajaran agama Kristian kerana keluarga kami mengamalkan kepercayaan Animisme, iaitu penyembahan berhala atau “Miring” dalam kalangan masyarakat Iban. Apabila berumur 11 tahun, saya dibawa oleh ibu bapa berpindah ke bandar Bintulu dan bersekolah di sana.

pelajaran semakin merosot
Ketika dalam tingkatan 1, saya mula mengikuti kegiatan sosial yang tidak sihat bersama dengan kawan-kawan seperti lepak, ponteng kelas dan sebagainya. Saya juga tidak menghiraukan pelajaran saya yang semakin merosot. Ibu bapa saya sering memarahi saya kerana tidak mengambil berat terhadap pelajaran. Saya juga selalu memberontak dengan ibu bapa kerana mengongkong dan menghalang saya melakukan apa-apa yang saya mahu. Kerana sikap yang selalu memberontak, saya pernah membuat ibu menangis atas kata-kata pedas yang dilontarkan kepadanya. Akan tetapi sejak hari itu, saya belajar untuk tidak menyakiti hati ibu lagi.

Saya mula menjejakkan kaki ke gereja apabila saya berumur 14 tahun. Saya dibawa oleh ibu saya ke Gereja Methodist Gloria setelah dia menerima ajakan jiran kami. Gereja inilah adalah gereja yang pertama kali saya sertai hingga sekarang. Di gereja tersebut, saya diinjil oleh seorang saudari dengan menggunakan Buku Empat Hukum Rohani. Melalui Buku Empat Hukum Rohani tersebut, saya dibawa berdoa menerima Yesus sebagai Juruselamat peribadi dalam hidup saya. Dari situlah saya mula menjalani kehidupan saya bersama dengan Tuhan. Ibu saya dan adik beradik saya yang lain juga aktif bersama dengan saya di gereja dan setia beribadah pada setiap minggu.

Saya dibaptiskan pada hujung tahun tingkatan 2 oleh Pendeta Su Chii Ann, presiden SCAC, di Gereja Gloria Methodist. Setelah dibaptiskan, saya mula menyertai beberapa pelayanan gereja iaitu pelayan tetamu dan penari rebana. Saya juga dipilih menjadi AJK dalam persekutuan Muda Mudi. Namun begitu, ketika berumur 15 tahun, saya mula ditentang oleh ahli keluarga saya kerana terlalu kerap ke gereja. Hal ini kerana saya terlalu sibuk dan aktif dalam pelayanan dan kadang-kadang saya lupa bahawa diri saya ini masih seorang pelajar. Saya pernah terfikir untuk meninggalkan gereja dan pelayanan kerana tidak dapat bertahan menghadapi amarah keluarga saya. Saya juga sering dibanding-bandingkan dengan saudara saya yang lain dari segi pelajaran dan juga dari aspek sikap saya.

Atas dorongan saudara saudari seiman, saya memilih untuk setia dalam Tuhan dan tetap beriman kepada-Nya. Saya juga belajar membahagikan masa dengan pelayanan dan masa untuk mengulang kaji pelajaran. Atas belas kasihan Tuhan, saya berjaya melewati PT3 dan keputusan yang diperoleh juga agak memuaskan walaupun kurang memberangsangkan keluarga saya. Oleh hal yang sedemikian, mereka semakin tegas menentang saya pergi ke gereja. Namun begitu saya tidak mempedulikan mereka dan tetap dengan keputusan untuk terus di gereja serta dalam pelayanan. Pada masa yang sama, ibu saya juga semakin hari semakin jarang ke gereja dan dia hanya datang apabila ada sambutan yang besar-besaran di gereja.

Saya mula dibimbing oleh hamba Tuhan di gereja pada umur saya 16 tahun. Saya banyak mengalami Tuhan dalam hal-hal peribadi serta dalam pelajaran. Saya selalu diajar dan diminta menghafal ayat firman Tuhan untuk membantu dalam pertumbuhan rohani saya. Hasil daripada menghafal firman Tuhan, mukjizat berlaku dalam hidup saya iaitu pelajaran saya semakin meningkat semasa berada di Tingkatan 4. Atas belas kasihan dan penyertaan Tuhan serta kesungguhan belajar, akhirnya saya mendapat keputusan SPM dengan gred yang agak baik dan memuaskan. Ibu bapa saya tidak lagi menentang saya ke gereja bahkan menyokong kehadiran saya di gereja.

Namun begitu, selepas menerima keputusan SPM, saya berhadapan dengan keadaan yang saya harus menentukan masa depan diri sendiri. Ibu bapa saya sangat bersemangat untuk saya melanjutkan pelajaran di Politeknik Mukah. Untuk memuaskan hati mereka, saya mengisi borang kemasukan pelajar ke Politeknik Mukah dalam jurusan Perakaunan. Pada masa yang sama saya juga masuk ke Tingkatan 6, di SMK Bandar Bintulu. Setelah 2 minggu berada di Tingkatan 6, saya diterima dalam jurusan perakaunan ke politeknik. Namun, saya sangat bergomol dengan pilihan antara tingkatan 6 ataupun mengikut keputusan keluarga ke Politeknik.

Pada masa itu, saya merupakan Naib Pengerusi di Persekutuan Belia Remaja dan calon pengerusi. Saya sangat keberatan untuk meninggalkan pelayanan dan tanggungjawab saya. Lebih-lebih lagi Persekutuan Belia Remaja ketika itu baru mahu bertumbuh dan berkembang. Saya betul-betul berdoa dan berpuasa di hadapan Tuhan untuk mencari kehendak Tuhan. Akhirnya saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan 6.

Kerana keputusan itu, ahli keluarga saya termasuk saudara-mara saya yang terdekat mula memarahi saya. Mereka berpendapat bahawa saya tidak mempunyai masa depan jika saya berada di Tingkatan 6. Bahkan mereka memulaukan saya. Saya pernah dihalang masuk ke rumah kerana keputusan ini. Namun demikian, saya tetap teguh dengan keputusan saya dan pada masa yang sama sangat tekun belajar. Walaupun cabaran demi cabaran saya hadapi, saya tetap juga melayani di gereja dan beribadah.

Akhirnya ibu bapa saya terpaksa akur dengan pilihan saya belajar di tingkatan 6 kerana mereka tidak mampu lagi menasihati saya untuk mengubah keputusan. Kerana kasih anugerah Tuhan yang melimpah, akhirnya saya berjaya melewati Tingkatan 6 yang terkenal dengan sukatan pelajaran yang paling susah dalam kalangan orang ramai. Tanpa dijangka saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam STPM. Saya sangat mengucap syukur kerana Tuhan kerana tidak pernah meninggalkan saya selama ini dan telah membela saya.

Sekarang, ibu bapa saya selalu beribadah di rumah Tuhan bersama dengan saya dan adik saya yang lain. Satu ayat firman Tuhan yang sangat memberkati saya dan selalu saya terapkan dalam kehidupan ialah dalam Matius 6:33 “Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu”. Ayat ini mengajar saya selalu mengutamakan Tuhan dalam kehidupan dan hal-hal yang lain harus saya kemudiankan.

Setelah tamat tingkatan 6, saya telah dihantar oleh pihak gereja ke Kem Kepimpinan Muda-mudi di Miri selama 3 bulan. Sekarang, sementara menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti, saya melayani di gereja dan membantu dalam pengurusan.

Airrene Wilson
Gereja Methodist Gloria, Bintulu