Kebanyakan masa saya dihabiskan dengan benda lain selain berdoa. Selain sibuk dengan aktiviti harian, saya juga banyak melakukan sesuatu tanpa berdoa terlebih dahulu. MPG kali ini memberi sesuatu yang telah membuka fikiran saya. Apabila kita mahu melakukan sesuatu tak kira perkara itu baik atau tidak, kita harus berdoa dahulu. Mengapa kita harus berdoa terlebih dahulu? Itulah pekerjaan Roh Kudus yang bekerja dalam hati kita sebagai penolong dan penasihat kita supaya kita boleh melakukan sesuatu tanpa menimbulkan kemurkaan Tuhan.

Berdoa juga banyak membantu dalam meredakan kemarahan saya apabila saya terlalu marah, saya akan cuba untuk berkomunikasi dengan Tuhan dan meluahkan perasaan saya kepada Tuhan. Kadangkadang cara saya untuk meredakan kemarahan saya juga adalah dengan mendengar lagu rohani, menyanyikan lagu pujian dan penyembahan.

Persekutuan Doa juga adalah suatu ibadah. Kita tidak harus berdoa hanya pada waktu persekutuan doa sahaja tetapi haruslah menerapkan amalan berdoa secara berdisiplin tidak kira waktu dan masa, setiap hari dalam apa-apa keadaan pun.

Saya telah mempelajari sesuatu iaitu tanpa kasih, apa-apa yang kita doakan itu hanyalah sia-sia dan tidak memberi apa-apa. Kerana kasih, Tuhan Yesus berdoa bagi kita supaya kita sentiasa berwaspada dalam godaan dan cabaran.

Berdoa memerlukan disiplin bukan hanya berdoa apabila perlu. Saya juga cuba mengamalkan berdoa secara bersendirian dengan lebih kerap seperti 2-4 jam walaupun buat masa ini saya hanya berdoa paling lama ialah ½ jam- 45 minit sahaja.

Saya belajar supaya saya harus belajar percaya kepada Tuhan jika saya telah memilih untuk mengikuti Dia, saya harus mengikuti segala kehendak-Nya, percaya bahawa Allah akan mengendalikan segalanya, mengadakan hubungan intim bersama Tuhan. Saya juga belajar menahan diri dalam banyak perkara seperti yang saya pelajari semasa di MPG, iaitu berpuasa menahan diri daripada keinginan daging, menggunakan masa berdoa dan berpuasa untuk merenungkan perhubungan dengan Tuhan dan mencari kehendak Tuhan.

Untuk mengikut Yesus bukanlah sesuatu yang mudah tetapi saya dapat mengendalikan segalanya dengan kekuatan dan penyertaan Roh Kudus, bersiap sedia memikul salib dan belajar untuk bersabar dan terus kukuh dalam Tuhan.

Saya ingin mengucap syukur kerana sampai saat ini saya masih berkesempatan untuk melayani Tuhan dan hati saya terus ingin mencari Dia. Puji syukur kepada Tuhan. Amin.

Rozalia Mathew, Gereja Methodist Gloria, Bintulu