Saya dilahirkan di Jakarta, tempat yang penuh dengan perjudian dan pelacuran. Aku merupakan anak sulung yang hidup tanpa bapa dari kecil sehingga darjah 6. Saya melaluinya dengan bekerja untuk mendapatkan makan dan membayar wang sekolah. Saya tak ada agama atau mempercayai adanya Tuhan. Saya hidup dengan bergantung pada kekuatan saya sendiri.

Semasa saya memasuki SMP (Tingkatan 1) aku dibawa oleh makcik ke Bandung dan disekolahkan di Sekolah St Maria, di sana saya diajar tentang kewujudan Tuhan, tapi hati saya masih belum percaya akan kewujudan Yesus. Sahabatku di sekolah telah mengajakku pergi gereja GBI Bethany (SIB). Semasa saya berdoa aku terdengar ada suara yang mengatakan “Anakku sekarang kau Kupilih & di tempat ini engkau akan melayani-Ku”. Aku terkejut dan tanya sahabatku “kau bercakap dengankukah?” Dia kata “tidak”. Suara itu terus terdengar di telinga dan dalam fikiranku. Sehingga malam, akhirnya aku doa kepada  Tuhan, dan memberitahu kepada Tuhan bahawa saya tidak boleh pergi ke gereja sebab jauh, saya tidak mempunyai wang untuk pengangkutan (elaun saya di sekolah hanya Rp.1000 = RM0.50), bagaimana saya pergi ke gereja setiap minggu?

Pada keesokan harinya ada orang dari gereja GBI datang ke rumah saya dan saya dapat mengikutinya pergi ke gereja dan sekarang dia telah menjadi kakak rohaniku. Sepanjang masa saya di GBI, perwatakan saya dibentuk dan mengalami pemulihan hati daripada Bapa supaya saya dapat memaafkan ayah saya yang telah meninggalkan saya. Hatiku berasa aman dengan kehadiran Tuhan Yesus sehingga aku menerima Yesus pada tanggal 8 Jun 1998, dibaptis dan belajar melayani-Nya dengan menjadi seorang Penasihat.

Hidupku berubah secara drastik dan saya tidak lagi bergantung pada kekuatan sendiri sehingga saya dapat membawa mama dan adikku untuk menerima Yesus. Kini, ayahku telah kembali kepada kami dan keadaan kewangan kami dipulihkan supaya saya dan adik saya dapat menamatkan persekolahan di sekolah menengah.